Saturday 17 January 2015

Peristiwa Charlie Hebdo Percayakah Kamu Ini Juga Konspirasi Jahat?


MAJALAH KONTROVERSI, MENCABAR DENGAN PROVOKASI, KATA MEREKA INI DEMOKRASI.

Kota Paris Berduka.

Malaysia antara negara tidak terkecuali mengutuk serangan Terrorist keatas syarikat penerbitan majalah kontroversi Perancis, Charlie Hebdo yang diserang tiga lelaki bersenjata pada Rabu lalu yang meragut 12 nyawa.

Serangan tidak berperikemanusiaan itu amat mengejutkan dunia kewartawanan, rentetan daripada itu kebanyakan laporan berita daripada agensi media antrabangsa dilihat mengulas cerita pelbagai cara untuk menzahirkan rasa sedih mereka atas insiden yang berlaku.

Selain pihak media, berkongsi rasa sedih bersama keluarga mangsa ialah beribu-ribu orang awam turut sama hadir berkumpul di ibu kota Paris untuk solidariti bagi mengecam serangan tersebut.

BBC dalam laporannya menyatakan beberapa orang awam turut dilaporkan cedera ekoran dilanggar oleh kereta yang dipandu tiga lelaki bersenjata sebelum mereka menyerbu masuk ke syarikat penerbitan Charlie Hebdo.

Menurut agensi berita AFP, mengesahkan saksi di tempat kejadian melihat dua orang lelaki yang menutup kepala memasuki bangunan berkenaan dengan senjatapi Kalashnikov dan pelancar roket kemudian melepaskan tembakan.

Rakaman amatur yang tersebar luas di internet juga menunjukan seorang lelaki bertopeng berpakaian serba hitam bersenjatakan raifal Kalasnikov bertindak kejam tanpa belas ihsan menembak mati seorang anggota Polis beragama Islam, Ahmed, 42 tahun warganegara Perancis. Sumber Dailymail.co.uk, menyatakan Ahmed meninggalkan dua orang anak dan seorang balu.

Ekoran serangan Terorist berkenaan di Paris, AFP melaporkan kawalan keselamatan keatas syarikat akhbar Denmark Jyllands-Posten dipertingkat bagi mengelak sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.

Syarikat akhbar Denmark berkenaan pernah mencetus kontroversi apabila menerbitkan kartun menghina Nabi Muhammad SAW pada 2005. Manakala syarikat penerbitan majalah Perancis, Charlie Hebdo mengulang cetak karikatur berkenaan pada 2011.

Presiden Perancis, Francois Hollande mengumumkan hari ini sebagai hari berkabung seluruh negara sebagai tanda bersedih atas kematian 12 orang dalam serangan bersenjata terhadap pejabat akhbar mingguan satira, Charlie Hebdo.

Hanya lima kali sejak tempoh 50 tahun lalu Perancis mengisytiharkan hari berkabung di negara itu.

"Perpaduan adalah senjata paling terbaik bagi kita," kata Hollande dalam siaran televisyen bagi mengumumkan perkara itu.

Beliau juga mengarahkan agar semua bendera negara dikibarkan separuh tiang selama tiga hari.

"Tiada apa yang boleh memecah-belahkan kita, tiada apa yang boleh pisahkan kita. Kebebasan sentiasa lebih kuat daripada kekejaman," katanya yang menyifatkan serangan itu sebagai tindakan tidak bertamadun.

Sebelum itu, Masjid dan surau menjadi sasaran pihak yang tidak berpuashati dengan kejadian serangan bersenjata terhadap syarikat akhbar, semalam.

Menurut laporan AFP, tiga bom dilontar ke sebuah masjid di bandar Le Mans, barat Paris. “Sebuah lubang kesan dari peluru juga ditemui.

Beberapa tembakan juga disasarkan ke sebuah dewan sembahyang, tidak lama selepas sembahyang Asar,” dipetik laporan itu.

Letupan berlaku di sebuah kedai kebab berdekatan dengan sebuah masjid di sebuah bandar di Perancis.

“NAK SAMAN, SAMANLAH, KAMI PERTAHAN HAK KAMI,
INI DEMOKRASI” – WAKIL CHARLIE HEBDO

Syarikat yang ditubuhkan pada 1970 berkenaan popular disebabkan kontroversi dengan kartun dan penulisan keras yang membabitkan ahli politik dan pelbagai agama.

Pada November 2011, pejabat Charlie Hebdo pernah dibakar kerana menerbitkan kartun Nabi Muhammad SAW pada muka depan majalah mereka. Kartun berkenaan menyelitkan lawak sinis mengenai hukuman rotan.

Pada 2012, dunia dikejutkan dengan filem 'Innocent of Muslims' dan Charlie Hebdo mengambil kesempatan tersebut untuk menerbitkan kartun Nabi Muhammad SAW, sekali lagi.

Susulan penerbitan kartun tersebut, sekolah dan kedutaan Amerika dan Perancis ditutup di lebih 20 negara sebagai langkah berjaga-jaga.

Memetik laporan BBC, seorang kakitangan Charlie Hebdo, Laurent Leger mempertahankan majalah tersebut, atas alasan kartun tersebut bukan bertujuan untuk menimbulkan kemarahan.

"Di Perancis, kami ada hak untuk menulis dan melukis," kata Laurent.

"Jika ada yang tersinggung, samanlah kami dan kami akan mempertahan hak kami. Ini demokrasi."

"Tapi jangan baling bom," tambahnya.
Menurut pandangan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sering kali terdapat tindakan Charlie Hebdo tidak menghormati orang Islam dan sering mempersenda Nabi Muhammad SAW melalui lukisan karikatur.

"Apakah perlunya mereka mempermainkan Nabi Muhammad sedangkan mereka tahu ini menyakitkan hati orang Islam. Kita menghormati agama mereka dan mereka mesti menghormati agama kita," sumber dipetik daripada akhbar Sinar Harian Online.

Serangan kali ini merupakan yang terburuk melibatkan agensi kewartawanan dunia pernah direkodkan, berbanding kematian wartawan ketika bertugas di lapangan.

-Artikel ini saya akan sambung kupasannya.


No comments:

Post a Comment

KELAB PENYOKONG POLIS

GELOBANG ANAK MUDA