Saturday, 17 May 2014

Haramkan GST atas dasar apa?


Haramkan GST atas dasar apa?

Polemik mengenai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) nampaknya bukan lagi setakat berlegar seputar hujah-hujah ekonomi dan sara hidup. Kini semakin ramai ‘mufti-mufti’ segera yang mengharamkan GST atas hujah simplistik dengan mengatakan Rasulullah SAW tidak pernah mengiktiraf sumber negara selain zakat dan sedekah.

Jika semudah itulah hukum haram dijatuhkan kepada GST maka segala cukai-cukai yang selama ini dikutip kerajaan juga haramlah jawabnya. Ini kerana kaedah fekah menyebutkan “Apa yang diharamkan untuk dilakukannya, maka haram untuk mengambilnya".
Justeru segala pendapatan juga jadi haram kerana lebih 70 peratus hasil negara hari ini bergantung pada cukai tidak kira cukai langsung seperti cukai pendapatan mahupun cukai tidak langsung termasuklah duti kastam, duti eksais, cukai perkhidmatan dan cukai barangan.

Maka bukan sahaja kesan ‘haram’ ini terpakai kepada Kerajaan Persekutuan sahaja, malah kerajaan-kerajaan negeri yang diperintah Pakatan termasuklah negeri Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor juga dianggap menerima pendapatan haram daripada pelbagai jenis cukai yang dikenakan termasuklah cukai tanah, cukai pintu, cukai perniagaan dan bermacam lagi.
Sebab itulah dalam Islam, hukum halal-haram tidak boleh sewenang-wenangnya dijatuhkan berasaskan sentimen dan kefahaman dangkal mengenai satu-satu perkara. Malah menghalalkan yang haram mahupun mengharamkan yang halal boleh menjatuhkan seseorang kepada kekufuran.

Berbalik kepada isu ‘fatwa-fatwa jadian’ mengenai pengharaman GST ini, persoalan asas yang perlu dibangkitkan, apakah benar cukai tidak dibenarkan dikutip oleh kerajaan?

Sebelum mengupas lanjut, perlu difahami bahawa permasalahan cukai adalah termasuk dalam ruang-lingkup Siyasah Syariyyah iaitu pentadbiran hal-ehwal awam negara Islam yang perlu diteliti aspek mencapai kemaslahatan (kebaikan) dan menolak kemudaratan selagi tidak melanggar batas-batas Syariah dan prinsip-prinsip umumnya.

Dalam konteks muamalah atau hal-ehwal keduniaan, Islam membuka ruang kepada pelbagai ijtihad dan pandangan yang boleh berubah mengikut zaman dan tempat kerana prinsip digariskan Allah: “Allah mengkehendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak mengkehendaki kamu menanggung kesukaran" (Al-Baqarah:185).

Cukai dalam istilah Arab dipanggil ‘dharibah’. Malah ada juga ulamak yang mengaitkan istilah ‘al-maks’ juga membawa makna cukai berasaskan Hadis Nabi SAW: “Sesungguhnya penguasa yang mengenakan ‘Maks’ (cukai) adalah di dalam neraka" (Riwayat Ahmad).

Sesetengah ulamak menggunakan dalil inilah bagi mengharamkan sebarang bentuk cukai yang dikenakan ke atas rakyat. Ini kerana dalam kaedah usul fiqh, sebarang ancaman neraka menerusi nas membawa pengertian bahawa perkara yang disebutkan adalah haram.

Namun sebahagian ulama lain termasuklah Dr. Yusuf al-Qaradawi dan Dr Ali Muhydin Al-Qurrah Daghi mempunyai pandangan berbeza dengan menegaskan bahawa kalimah ‘Maks’ di dalam konteks hadis ini membawa maksud khusus iaitu “sejenis cukai yang diwajibkan oleh sebahagian pemerintah dan penyokong mereka untuk bersenang-lenang dengannya walaupun menyempitkan rakyat mereka" (Al-Qaradawi, Kitab Fiqh al-zakat).

Pendekatan

Justeru mereka berpandangan pengambilan cukai sebagai tambahan kepada zakat, sedekah, jizyah dan ushur adalah harus bagi memastikan kerajaan dapat mengurus kemaslahatan ummah seperti membangunkan kebajikan rakyat, bayaran gaji pekerja kerajaan dan penyedian infrastruktur untuk kemudahan rakyat.

Pandangan ini berasaskan kaedah fekah yang masyhur iaitu: “Pendekatan atau tindakan seseorang pemerintah kepada rakyatnya adalah berasaskan kemaslahatan" (Imam As-Suyuuti, Kitab Al-Ashbah Wan Nazooir).

Pendekatan inilah yang diambil oleh para sahabat khususnya Khalifah Umar al-Khatab yang antara terawal melakukan ijtihad baru mengenakan cukai Kharaj (cukai tanah). Ini kerana, Khalifah Umar RA mula melihat kemaslahatan atau keperluan untuk menjana pendapatan lain apabila wilayah kekuasaan Islam berkembang ke Iraq, Syam dan Mesir terutamanya bagi menampung keperluan perbelanjaan pertahanan, penggajian tentera dan kakitangan kerajaan yang menguruskan hal-ehwal rakyat.

Ini dinukilkan oleh Imam Abu Yusuf dalam kitab Al-Kharaj yang ditulis beliau bagi memahamkan Khalifah Kerajaan Abbasiyyah paling berpengaruh dan dikenali sebagai raja yang warak iaitu Khalifah Harun Ar-Rasyid (786-809 Masihi):

“Khalifah Umar berijtihad untuk perkenalkan cukai Kharaj setelah bermesyuarat dengan pimpinan dari kalangan Ansar dan Muhajirin akan keperluan menampung perbelanjaan kerajaan yang telah meluaskan jajahannya sehingga Syam, Jazirah, Kufah, Basrah dan Mesir. Walaupun pada mulanya ditentang Abdur Rahman bin Auf, namun ijtihad Umar disokong Ali, Uthman, Talhah dan Ibnu Umar."

Pandangan mengharuskan pengenalan cukai juga dikongsi oleh ulama-ulama Muktabar seperti Ibnu Hazim, Imam Haramain Al-Juwaini, Imam Al-Ghazali dan Imam As-Syatibi. Imam Ibnu Taimiyyah pula dalam kitabnya yang masyhur ‘Siyaasah as-Syariyyah fi Islah al-Ra’yi Wa al-Ra’iyyah’, mengharuskan pembayaran cukai berdalilkan qias aulawi:

Katanya: “Jika sekiranya Allah mewajibkan ke atas para sahabat yang berjihad dengan harta dan jiwa raga mengeluarkan ushur atau cukai dari hasil tanaman mereka, maka sepatutnya lebih diwajibkan ke atas golongan yang berkemampuan yang tidak keluar berjihad mengeluarkan kewangan untuk menampung perbelanjaan jihad (untuk kepentingan umum)"

Apa yang penting sebagaimana yang digariskan oleh para fukaha silam, sistem percukaian yang dibina hendaklah berasaskan keadilan dan dikenakan pada golongan berkemampuan hingga tidak membebankan rakyat. Cukai ini juga hendaklah dipungut oleh pemerintah bagi menampung perbelanjaan untuk menguruskan kepentingan rakyat dan kemaslahatan yang diperakui syarak.

Hakikatnya GST bukanlah satu jenis cukai tambahan yang diperkenalkan kerajaan di kala ramai yang merasai terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat. Sebaliknya GST adalah satu penstrukturan percukaian baru bagi menggantikan skim cukai lama iaitu cukai barangan dan cukai perkhidmatan yang sudahpun dikenakan selama ini.

Pengalaman 160 buah negara yang memperkenalkan GST selama ini telah membuktikan bahawa sistem cukai ini adalah lebih telus dan adil bahkan mampu mengelakkan daripada berlakunya ketirisan sumber perolehan negara yang amat penting bagi disalurkan kembali kepada rakyat.

Bukan itu sahaja model GST Malaysia yang mengecualikan cukai ke atas barangan keperluan asas rakyat seperti beras, gula, garam, minyak masak dan lebih 1,000 senarai barangan keperluan lain termasuk segala barangan asas yang dijual di pasar basah seperti ikan, ayam, daging, sayuran dan buah-buahan tentunya tidak akan membebankan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Ini bermakna GST hanya dikenakan bagi mereka yang berkemampuan untuk menggunakan barangan dan perkhidmatan melebih keperluan asas. Peniaga-peniaga kecil yang pendapatan kurang daripada RM500,000 setahun juga dikecualikan GST.

Justeru tidak timbul isu bahawa GST haram kerana turut mengenakan cukai kepada golongan miskin. Malah pendekatan baru struktur cukai ini bagi memastikan semua peringkat dalam rantaian penawaran (supply chain) berdaftar akan memudahkan kerajaan memantau harga barangan dengan lebih berkesan bagi mengelakkan peniaga menaikkan harga sesuka hati.

GST tentunya dapat menjaga kemaslahatan rakyat yang sebelum ini seringkali dimangsakan dengan kenaikan harga barangan tanpa kawalan lantaran kos pengeluaran yang tidak dapat dipantau secara tuntas dan sikap peniaga meraih keuntungan sesuka hati.

Sebaliknya melalui GST, setiap pengusaha daripada pembekal bahan mentah, pengilang, pemborang sehinggalah peniaga runcit perlu mendaftar dan mengeluarkan resit-resit bernombor siri GST yang sah. Ini bukan sahaja membantu pemerintah memantau harga bahkan mengurangkan ketirisan perolehan akibat sikap tidak bertanggungjawab golongan yang lari daripada cukai sebelum ini.

Harga barangan tertentu yang dulunya mahal kerana dikenakan cukai berganda juga sepatutnya lebih murah apabila GST diperkenalkan kelak kerana setiap rantaian penawaran, hanya dikenakan cukai sekali sahaja dengan kadar 6 peratus iaitu terendah berbanding 160 negara lain.

Justeru hujah-hujah semberono yang mem‘fatwa’kan GST haram dikutip kerajaan kerana menindas rakyat adalah satu tohmah dan pandangan dangkal tanpa memahami secara holitisk mekanisme GST ini.

Apa yang mustahak kini ialah untuk kerajaan memastikan sistem dan operasi GST yang bakal diperkenalkan tahun hadapan benar-benar berfungsi dengan berkesan. Pada masa yang sama segala bentuk ketirisan dan pembaziran dalam perbelanjaan negara sebagaimana laporan Audit Negara perlu ditangani bagi mengembalikan keyakinan rakyat bahawa cukai yang dibayar tidak dipersia-siakan.

Akhirnya falsafah cukai dalam Islam adalah bagi memenuhi prinsip adil dan saksama sehingga kekayaan dapat dikongsi oleh segenap lapisan masyarakat sebagaimana yang dijelaskan dalam Surah Al-Hasyr ayat 7: “Supaya harta itu tidak hanya berlegar sekitar orang kaya di kalangan kamu semata-mata".

Apple nafi beri kerjasama dengan agensi perisikan


San Francisco: Apple Inc menafikan pernah bekerjasama dengan Agensi Keselamatan Nasional (NSA) Amerika Syarikat (AS) dan tidak menyedari ada usaha menyasarkan telefon pintar miliknya, kata gergasi elektronik itu dalam kenyataan balas terhadap laporan agensi perisikan membangunkan sistem untuk menggodam dan memantau iPhone.

Der Spiegel, majalah yang berpangkalan di Jerman, pada minggu ini melaporkan satu unit rahsia di bawah NSA, yang kini dalam tekanan untuk meningkatkan dan meluaskan program perisikan seluruh dunia, sedang membangun perkakasan dan perisian khusus untuk menyusup dan memantau pelbagai jenis peranti komputer, termasuk telefon mudah alih.

Laporan itu turut memuatkan satu grafik NSA bertarikh 2008 menggariskan sistem yang sedang dibangunkan dipanggil dengan kod nama DROPOUTJEEP, yang dikenali sebagai ‘perisian tempelan’ yang membolehkan agensi itu menyusup masuk data atau mendapatkan maklumat daripada iPhone seperti senarai kenalan panggilan.

Der Spiegel merujuknya sebagai perisian ‘trojan’, atau malware yang mampu membantu pengodam untuk memasuki sistem yang dilindungi.

Laporan yang diterbitkan pada Ahad lalu, tidak mencadangkan Apple mengadakan kerjasama dengan agensi perisikan AS bagi mewujudkan sistem ‘pintu belakang’ itu.

Dakwaan kerjasama NSA

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa lalu, NSA tidak mengulas dakwaan tertentu, namun dipetik sebagai berkata tumpuannya ‘dalam dalam mana-mana teknologi yang dinyatakan adalah disebabkan penggunaan teknologi terbabit oleh agensi perisikan asing.”

“AS meneruskan misi perisikan ini dengan baik bagi memastikan pengguna tidak bersalah yang menggunakan teknologi sama tidak akan terjejas,” kata agensi itu.

Telefon iPhone adalah gajet inovasi pada 2008. Ia mula dipasarkan pada 2007 dan kini terus membantu merevolusikan industri mudah alih dunia.

“Apple tidak pernah bekerjasama dengan NSA untuk mewujudkan pintu belakang dalam mana-mana empat produk keluaran kami termasuk iPhone.

“Tambahan pula, kami tidak menyedari dakwaan program NSA yang menyasarkan produk kami,” kata syarikat itu.

Kami akan terus menggunakan sumber dalaman syarikat untuk berada di hadapan penggodam yang berniat jahat dan mempertahankan pelanggan kami daripada serangan keselamatan, tidak kira siapa pun yang menyokong mereka,” katanya. - Reuters

Friday, 16 May 2014

IBU insan yang tiada galang gantinya


Dalam kehidupan kita di dunia ini, seorang wanita yang bernama ibu perlulah sentiasa ditabalkan sebagai antara insan yang paling dihormati dan dikasihi.

Masakan tidak, peranan dan jasa ibu bukan calang-calang tahapnya. Ibulah insan yang sanggup menggadaikan nyawa semasa mengandung dan melahirkan anak-anaknya ke dunia. Saat anak-anak masih kecil, ibulah teman setia yang menyuapkan makanan, memberikan susu, mendodoikan tidur, mengajar bertatih dan sebagainya. Ibulah tempat anak-anak mengadu dan berkongsi sakit pening, suka-duka dan lapar dahaga.

Apabila anak-anak sedang membesar dan meningkat dewasa, ibu tidak putus-putus melaksanakan peranannya menjadi pendidik, menjadi tempat anak-anak bermanja dan mengadu nasib, menjadi penghibur dan pengubat rasa sedih dan duka nestapa.

Nabi Muhammad SAW telah memberi banyak isyarat yang jelas akan tingginya martabat seorang ibu dalam kehidupan kita. Dikatakan pada suatu hari datang seorang lelaki bertemu Rasulullah SAW dan lelaki itu berkata:

“Saya ingin melaksanakan jihad dan ikut pergi berperang di jalan Allah, tetapi ibu tidak sepenuh hati melepaskan saya untuk berbuat demikian." Rasulullah SAW kemudian menjawab: “Pulanglah kamu dan beradalah di sisi ibumu. Aku bersumpah dengan nama Tuhan yang mengutusku untuk menyampaikan kebenaran, bahawa untuk berada di sisi ibu bagi satu malam (dan melayan serta berbuat baik kepadanya) adalah lebih baik daripada mengikut berperang dan berjihad di jalan Allah selama setahun".

Begitu juga cerita seorang lelaki telah bertemu dengan Rasulullah dan menyoal: “Siapakah orangnya dalam dunia ini yang perlu saya hormati dan hargai?" Lalu Rasulullah menjawab, “Ibumu". Lelaki itu bertanya lagi sebanyak dua kali, “Siapakah selepas ibu?" dan jawapan Rasulullah tetap “Ibumu". Akhirnya bila ditanya lagi “Siapakah selepas ibu?" barulah Rasulullah menjawab “Bapamu".

Jelas bahawa mesej Rasulullah ini menganjurkan agar seorang ibu yang kaya dengan sifat lemah-lembut dan kasih sayangnya itu perlu diberikan penghargaan yang lebih tinggi berbanding insan-insan lain di dunia ini.

Allah SWT menegaskan dalam Surah al-Israa', ayat 23 maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripadanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan-santun)."

Jelaslah, bahawa untuk anak-anak berkata “Ha" kepada ibupun ditegah oleh Allah, apatah lagi jika kita bersikap atau berkata kasar, biadab dan hingga ke tahap memukul mereka.

Kita harus ingat keredaan Allah itu terletak pada keredaan ibu. Murkanya ibu bermaksud, murka jualah Allah terhadap kita. Untuk itu sebagai anak-anak, kita bertanggungjawab meraikan dan memuliakan ibu sepanjang hayat.

Dari perspektif Islam dan budaya masyarakat kita, martabat seorang ibu sangat-sangat tinggi. Jangan sesekali seorang ibu itu disakiti hati dan perasaannya.

Secara rasminya Hari Ibu akan disambut di Malaysia setiap tahun pada 11 Mei sebagai tanda penghargaan kepada golongan wanita yang bergelar ibu. Banyaklah aktiviti yang dilaksanakan oleh pelbagai pihak untuk meraikan golongan ibu pada tarikh tersebut.
Namun, untuk meraikan ibu bukan sekadar tertakluk pada tarikh tertentu semata-mata, bahkan kita perlu meraikan ibu sepanjang masa yang kita mampu.

Begitu juga meraikan ibu bukan sekadar dengan melaksanakan aktiviti-aktiviti seperti menghadiahkan jambangan bunga atau mengucapkan rasa sayang, tetapi perlu diserlahkan melalui amalan-amalan lain yang bersifat lebih realistik dan bermakna. Sebagai anak, ibu perlu diberikan perhatian.

Bantu dan sokonglah ibu sebaik-baiknya tidak kira dari segi material, fizikal mahupun emosional. Patuh dan ikut segala nasihat dan permintaan mereka selagi ia tidak bertentangan dengan syariat Islam.

Sebagai anak, kita juga memainkan peranan menegur ibu kita jika mereka ada membuat sebarang kesilapan yang mungkin boleh mendorong mereka tersasar dari batasan yang disyariatkan Islam dan norma-norma budaya dan masyarakat.

Bagi anak-anak yang menetap berjauhan dengan ibu, jenguk-jenguklah mereka selalu atau setidak-tidaknya keraplah bertanya khabar berita mereka.Dalam zaman serba canggih dengan gajet-gajet elektronik dan aplikasi komunikasi dalam telefon bimbit seperti Facebook, Twitter, Whatsapp dan sebagainya, kenapa kita perlu culas dan berasa sukar untuk turut sama berkomunikasi secara rancak dengan ibu saban hari, sebagaimana kita berhubung dengan rakan-rakan lain.

Begitu juga, jika dirasakan sesuai dan dipersetujui keluarga dan ibu sendiri, apa salahnya untuk ibu yang telah mencecah usia emasnya itu menetap bersama-sama supaya boleh dijaga makan-minum dan pakainya.

Kalau dulu seorang ibu berupaya menyuap makan dan menguruskan kehidupan semua anaknya, takkanlah anak yang sebegitu ramai tidak boleh menjaga seorang ibu yang telah tua dan kurang kudrat dan upayanya itu.

Penghormatan dan usaha meraikan ibu tidak terhenti pada saat terakhir nafas ibu dihembuskan di dunia ini. Walaupun ibu kita sudah meninggal dunia dan tidak lagi berada di hadapan mata, sebagai anak, kita perlu terus mendoakan kesejahteraan roh ibu agar sentiasa dirahmati Allah dan diletakkan dalam golongan orang yang beriman dan beramal soleh.

Seseorang ibu lazimnya tidak meminta-minta untuk kita membalas segala jasa dan pengorbanannya. Apa yang ibu lakukan adalah ikhlas kerana kita adalah zuriat kesayangannya. Namun, kerana wujudnya hubungan dan naluri yang telah terjalin di antara kita dengan ibu sejak berada dalam rahimnya lagi menuntut kita untuk menghargai, menyanjungi dan menyayangi mereka.

Benarkah guru zaman dahulu lebih dihormati berbanding sekarang?


HARI Guru yang disambut setiap 16 Mei ditunggu-tunggu bukan sahaja oleh guru, malah pelajar dan ibubapa.

Sungguh besar jasa guru dalam mendidik anak bangsa. Semua pensyarah sama ada di institusi pengajian tinggi awam atau swasta juga guru.

Dalam dunia penuh mencabar hari ini, guru berdepan dengan pelbagai cubaan dan rintangan.

Terdapat komen sinis masyarakat yang mendakwa guru sekarang tidak seperti guru dulu-dulu. Benarkah guru dahulu lebih dihormati berbanding sekarang? Jika benar di mana salahnya?

Baru-baru ini heboh di laman-laman sosial mengenai satu laporan polis yang dibuat oleh seorang pelajar terhadap seorang ahli akademik atas tingkah laku tidak sopan. Malah, Utusan Malaysia dalam laporan pada 4 Januari lepas mendedahkan seorang bekas pensyarah sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dihukum penjara sehari dan denda RM25,000 oleh mahkamah kerana bersalah menerima sogokan daripada dua pelajarnya sebagai dorongan menambah markah peperiksaan.

Kedua-dua laporan ini agak mengejutkan dan telah membawa satu persepsi negatif terhadap ahli akademik di negara kita.
Namun, sebagai seorang yang rasional, setiap berita perlu diselidiki kesahihan sumber dan laporannya terlebih dahulu. Adalah tidak adil untuk kita terus menghukum tanpa membuat penilaian secara terperinci dan sedalam-dalamnya. Mungkin ia benar dan mungkin juga sebaliknya.

Bagi penulis, kedua-dua berita yang dilaporkan ini harus dijadikan iktibar kepada diri penulis sendiri dan semua ahli akademik di seluruh negara yang kini dianggarkan lebih 30,000 orang.

Kenapa? Hal ini kerana martabat seseorang pensyarah adalah tinggi di sisi agama dan masyarakat. Dalam Islam, kedudukan seorang guru cukup tinggi. Allah berfirman: “Supaya Allah Taala meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dalam kalangan kamu) beberapa darjat." (Surah Al-Mujaadalah: Ayat 11).
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan malaikat, penghuni langit serta bumi sehinggakan semut yang berada di dalam lubangnya dan ikan-ikan (di lautan) berselawat ke atas guru yang mengajar kebaikan kepada manusia." (Hadis Riwayat Tirmizi).

Sebagai seorang guru, ahli akademik perlu sentiasa menghargai kejayaan pelajarnya, sanggup berkorban dan melakukan yang terbaik untuk manfaat individu dan masyarakat. Ahli akademik wajar menjadi model untuk dicontohi oleh para pelajar. Sebagai seorang model, sudah pasti ahli akademik perlu melengkapkan diri dengan nilai-nilai yang baik.

Ahli akademik yang baik harus mempunyai moral yang baik seperti mempunyai integriti tinggi, sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni, jujur, amanah, setia, sabar, bertanggungjawab, konsisten, berwibawa dan sebagainya.

Justeru, pensyarah yang baik ialah yang dilengkapi oleh sifat-sifat yang disebutkan di atas.

Bagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa pensyarah juga seorang manusia yang mempunyai nafsu dan sebagainya.

Sebagai manusia, kita tidak terlepas untuk mempunyai kepentingan sendiri. Natijahnya, apabila kepentingan diri diletakkan mengatasi nilai-nilai murni, maka berlakulah perkara-perkara yang kurang enak.

Maka terbentuklah persepsi masyarakat terhadap pensyarah selepas kejadian seperti ini. Masyarakat akan memandang serong dan beranggapan bahawa semua pensyarah tidak boleh dipercayai lagi. Inilah yang ditakuti penulis.

Memang tidak adil jika masyarakat membuat penilaian negatif kepada pensyarah atau guru secara keseluruhan hanya berdasarkan satu dua kes. Namun inilah hakikat dunia yang penuh persepsi.

Masyarakat juga sering membandingkan kualiti pensyarah pada masa sekarang dengan zaman dahulu. Jika dahulu guru dihormati sebagai mudarris, mu’allim, mursyid dan murabbi, namun sekarang mungkin tidak lagi.

Namun bagi penulis, tugas dan tanggungjawab guru (pensyarah) dahulu dan sekarang ada yang sama dan ada yang telah berubah.

Tidak perlulah kita kembali kepada masa lalu untuk menjadi guru yang berkaliber. Apa yang penting adalah niat dan tindakan kita.

Ini jugalah ingatan penulis kepada diri sendiri.

Justeru, sempena Hari Guru 2014, penulis menyeru kepada diri sendiri dan seterusnya rakan-rakan akademik agar sentiasa serius melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

Insya-Allah, dengan tekad, niat dan keikhlasan dalam setiap perbuatan yang dilakukan, setiap ahli akademik tidak akan sekali-kali terlibat atau dikaitkan dengan isu tingkahlaku yang tidak baik. Jika ini dilakukan, profesion ini akan terus dihormati kawan, lawan dan masyarakat.

Percaturan baharu politik di Sarawak yang positif


Semalam satu pengumuman mengejut dilakukan oleh orang kuat SPDP iaitu Tan Sri William Mawan anak Ikom yang merupakan Presiden parti berkenaan bersama Datuk Sri Wong Soon Koh daripada SUPP telah mengumumkan untuk keluar parti masing-masing, diikuti 11 wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Sarawak mengikuti langkah yang sama.

6 wakil rakyat Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP)dan 4 wakil rakyat dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) telah mengisytiharkan keluar parti.

Selain itu, George Lagong Timbalan Presiden Sarawak Workers Party (SWP, yang juga ADUN Pelagus turut mengisytiharkan akan menyertai Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS)iaitu sebuah parti yang dikatakan setakat ini sebagai parti yang mesra BN bahkan dijangka akan masuk ke dalam keluarga besar.

Umumnya tahu, beberapa hari yang lepas negara telah dikejutkan dengan krisis politik di Terengganu apabila bekas Menteri Besar Ahmad Said mengumumkan untuk keluar UMNO bersama dua rakan ADUN nya yang lain menyebabkan berlaku legislatif Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang mencemaskan setelah kerusi Barisan Nasional dan pembangkang negeri sama bilangannya. Ini sekaligus menyebabkan, kerusi BN di DUN Terengganu berkurangan daripada 17 kepada 15, Pas (14), PKR (satu) dan Bebas (tiga). Syukur hal ini telah selesai umpama menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tidak berselerak.

Akan tetapi ramai yang menganggap adakah perkara yang berlaku di Terengganu yang dipanggil sebagai "kemelut" turut melanda politik di Bumi Kenyalang ini? Melihat situasi sekarang ianya tidak sama sekali menampakkan coraknya begitu kerana isu mereka menyertai TERAS sebenarnya bukan disebabkan pergolakan parti Barisan Nasional negeri.

Penyertaan mereka di dalam parti baharu TERAS dilihat kini lebih terarah kepada langkah penyelesaian kemelut dalaman parti mereka sendiri. Dimana sebelum ini, Mawan terlibat dengan krisis dalaman parti SPDP, manakala Wong pula terlibat dengan satu pertikaian dengan SUPP. Sebab itu penyertaan mereka ke dalam TERAS perlu dilihat dari sudut yang positif ini kerana parti yang mereka duduki dahulu umpama retak menunggu belah.

Krisis dalaman yang berlarutan sangat panjang tidak menguntungkan mana-mana pihak lebih-lebih lagi parti yang mereka anggotai dahulu merupakan antara tunjang Barisan Nasional negeri. Penyertaan mereka ke dalam TERAS mungkin penamat segala kemelut dalaman dan pertikaian yang berlaku malahan ini sekaligus menunjukkan percaturan politik terbaru Sarawak.

Nampaknya TRANSFORMASI berlaku disini dan ianya Optimis kepada Barisan Nasional.

Malaysia Sebuah Negara Islam Contoh, Adakah Persepsi OBAMA Sedemikian rupa?



Ketibaan Presiden Barack Obama pada akhir bulan April yang lalu dikatakan sangat bermakna apabila Washington juga turut menaruh harapan tinggi daripada hasil lawatan pemimpin tertinggi Amerika Syarikat (AS) itu ke Malaysia. Lawatan yang sepatutnya berlaku pada bulan Oktober 2013 tetapi tertangguh kerana masalah perbalahan bajet yang melumpuhkan pentadbiran kerajaan AS pada ketika itu merupakan lawatan pertama Presiden AS selepas lima dekad Presiden Lyndon Johnson melawat Malaysia pada tahun 1966.

Harapan tinggi Washington terhadap lawatan ini bersandarkan kepada pegangan Obama bahawa Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang moden dan progresif sepatutnya menjadi contoh kepada semua negara lain.

Tambahan pula Malaysia yang mengamalkan dasar luar yang mementingkan pendekatan sederhana begitu menarik perhatian Obama terhadap peranan Malaysia dalam geopolitik global.

Kadangkala ada yang merasa sangsi dan mempunyai prasangka tidak baik kerana perhatian yang diberikan oleh Washington terhadap Kuala Lumpur sekali sekala melebihi apa yang diterima oleh sekutu kuat AS di rantau Asia Tenggara seperti Manila, Bangkok malah Singapura sekali pun.

Ada pula yang beranggapan pandangan positif tersebut disebabkan kepimpinan Obama dan bukannya kerana Datuk Seri Najib Tun Razak.

Walau apa pun pandangan sinis tersebut, hakikatnya sebaik-baik sahaja Najib dilantik Perdana Menteri pada April 2009, persepsi Washington terhadap Kuala Lumpur telah mula berubah.

Ketika menyampaikan ucapan kepada dunia Islam di Kaherah pada 4 Jun 2009, Obama yang baru sahaja beberapa bulan menjadi Presiden AS telah mentafsirkan Malaysia sebagai negara Islam yang maju dan progresif tetapi masih mampu mengekalkan ciri-ciri kesederhanaan dan patut dijadikan contoh oleh negara Islam yang lain.

Ucapan Kaherah dan pandangan Obama terhadap Malaysia adalah kritikal dan penuh makna kerana ucapan tersebut dianggap sebagai dasar Washington untuk membuka ruang rundingan kepada semua negara Islam, tidak kira lawan atau kawan seperti Iran umpamanya.

Begitu juga ketika Obama menyampaikan ucapan kata alu-aluan melalui sidang video pada Sidang Kemuncak Keusahawanan Ke-4 (GES) di Kuala Lumpur pada bulan Oktober 2013, pandangan yang sama terhadap Malaysia juga diperkatakan oleh Obama.

Tetapi ada pula pihak yang berpendapat lawatan Obama dikatakan berlaku tidak kena dengan keadaan semasa dan agak janggal ekoran kehilangan penerbangan MAS MH370 yang masih belum terungkai misterinya.

Kumpulan ini cuba mengaitkan lawatan Obama ke Malaysia dengan lawatan beliau ke tiga negara lain iaitu Filipina, Korea Selatan dan Jepun yang merupakan sekutu kuat Washington.

Lawatan Obama ke tiga-tiga negara sekutu tersebut dianggap tidak akan menghadapi masalah persepsi yang tidak baik kerana agenda yang disusun lebih kepada perkukuhan persefahaman strategik yang sedia ada.

Umpamanya Washington dan Manila besar kemungkinan akan menggunakan kehadiran Obama untuk memuktamadkan perjanjian penggunaan pangkalan tentera di Filipina untuk tentera AS.

Pihak yang sinis ini cuba mengetengahkan hujah bahawa kehilangan MH370 berlarutan lebih sebulan lamanya disebabkan pihak berkuasa Malaysia tidak cekap mengurus misi pencarian dan menyelamat (SAR). Sebab itu kumpulan ini memberi dalil kehadiran Obama dalam senario seperti ini akan memberi gambaran yang agak negatif kepada pemimpin kuasa besar itu.

Tetapi jika diteliti bagaimana Kuala Lumpur mentadbir urus misi SAR yang bermula di Laut China Selatan, kemudian beralih ke Selat Melaka dan Laut Andaman dan terkini di Lautan Hindi yang melibatkan penggunaan aset ketenteraan dan awam dari 26 buah negara, sebenarnya telah mengesahkan kebenaran pandangan Obama terhadap Malaysia selama ini.

China umpamanya negara yang begitu sensitif dengan sebarang maklumat mengenai aset ketenteraan mereka telah menghulurkan bantuan bukan sahaja melalui penggunaan pesawat dan kapal perang tetapi juga satelit mereka.

Selama ini Beijing begitu berahsia mengenai keupayaan satelit mereka, tetapi dalam misi SAR MH370 keupayaan satelit tersebut digunakan sepenuhnya.

Jika sebelum ini AS dan Australia begitu sukar mempamerkan keupayaan sebenar Jaringan Operasi Radar Jindalee (JORN) yang terletak di Alice Spring, Australia yang dikatakan dapat mengesan pergerakan udara dam maritim menjangkau sehingga jauh di Lautan Hindi, data dari JORN juga telah digunakan dan dianalisis demi mencari MH370.

Begitu juga dengan Britain dikhabarkan telah menghantar kapal selam berkuasa nuklear HMS Tireless ke Lautan Hindi bagi membantu aset sedia ada.

Penglibatan HMS Tireless dilihat sebagai satu peristiwa signifikan kerana lazimnya lokasi dan kawasan operasi kapal selam setiap negara dikawal dengan begitu rapi sekali.

Sebab itu dikatakan hujah kumpulan yang berpendapat lawatan Obama ke Kuala Lumpur tidak kena pada masanya sebenarnya adalah di sebaliknya kerana ia peluang terbaik bagi Obama untuk menzahirkan pandangan beliau bahawa dasar luar yang sederhana seperti yang diamalkan oleh Malaysia mampu membantu menstabilkan geopolitik dunia.

Sukar untuk menafikan dasar berbaik-baik dengan semua negara adalah antara pemangkin utama mengapa bantuan dihulurkan oleh kesemua 26 negara kepada Malaysia.

Kerjasama yang dipamerkan oleh negara yang terlibat dalam misi SAR MH370 sebenarnya boleh dijadikan model bagaimana rumit senario yang dihadapi ia mampu diselesaikan jika wujud sifat kepercayaan antara satu sama lain.

Bagi mewujudkan suasana kepercayaan ini ia memerlukan pemangkin dan dalam kes misi SAR, ia adalah Malaysia.

Begitu juga dengan termeterainya Perjanjian Komprehensif Bangsamoro antara Manila dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dua minggu lepas sekali lagi pemangkinnya ialah Malaysia yang berjaya mewujudkan suasana telus dan ikhlas antara pihak yang bertelagah.

Memang benar Malaysia hanya sebuah negara kecil yang tidak mempunyai kekuatan ekonomi dan ketenteraan yang begitu ketara, tetapi pengaruh Kuala Lumpur dalam ASEAN mahupun Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) begitu amat ketara sekali.

Jika tidak mana mungkin ketika Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear yang julung kali diadakan di Washington pada April 2010, Najib adalah satu-satunya pemimpin ASEAN yang diberi penghormatan mengadakan perbincangan dua hala dengan Obama.

Dalam kalangan negara OIC pula hanya Raja Abdullah dari Jordan diberi penghormatan yang serupa.

Sebab itu tidak keterlaluan jika diandaikan antara empat ibu kota yang akan dilawati Obama iaitu Kuala Lumpur, Manila, Seoul dan Tokyo pada akhir bulan ini, lawatan ke Malaysia sebenarnya paling dinantikan oleh Washington kerana kesannya terhadap kestabilan rantau Asia pada masa hadapan adalah begitu signifikan sekali. - HRM

Kemunculan gerakan militan bermotifkan agama adalah suatu fenomena yang membimbangkan



Baru-baru ini kita digemparkan dengan penangkapan sejumlah individu yang dikaitkan dengan sebuah gerakan militan baru di negara ini. Pada masa yang sama timbul berita tentang beberapa rakyat Malaysia yang telah bermusafir ke Syria untuk menyertai perjuangan bersenjata menentang kerajaan Bashar Al-Assad. Dalam keadaan Malaysia giat mempromosi pendekatan wasatiyyah dalam menghayati Islam, wajar kita mengkaji kenapakah masih ada rakyat Malaysia yang terpengaruh dengan pendekatan militan.

Kemunculan gerakan militan bermotifkan agama ini adalah suatu fenomena yang membimbangkan kerana kelompok ini boleh sampai ke tahap berani mati serta sanggup membunuh. Pertumpahan darah yang berlaku secara batil lazimnya akan mengundang tindak balas yang berdarah juga hingga boleh membawa kepada suasana kacau-bilau yang parah dalam sesebuah negara.

Jika kegiatan militan ini meluas ke negara lain, ia akan menimbulkan permusuhan antara negara. Tidak kurang parahnya, kegiatan militan atas nama Islam ini akan turut mencemarkan imej Islam yang boleh menjejaskan syiar Islam dan dakwahnya.

Oleh itu memang wajarlah tindakan berkesan diambil untuk mencegah kegiatan ini. Tindakan pencegahan juga perlu ditumpukan terhadap sebab-sebab di sebalik kemunculan aliran militan ini dalam kalangan umat Islam. Jika akar umbi dan sebab-sebab kemunculan kelompok ini difahami maka kita akan mampu menanganinya secara lebih awal dan berkesan.

Aliran militan dalam Islam ini sebenarnya adalah satu jelmaan daripada sikap melampau atau ekstrem dalam beragama. Sikap melampau ini berpunca daripada semangat beragama yang tinggi dalam diri seseorang tetapi tidak disertai oleh kefahaman agama yang mencukupi.

Akibatnya perilaku dan tindak-tanduk dipandu oleh semangat dan emosi dan bukannya neraca dan acuan agama yang sebenar. Sedangkan Islam ialah agama yang berasaskan ilmu dan datang dengan satu syariat yang lengkap meliputi seluruh aspek kehidupan. Dalam apa keadaan sekalipun, seorang Muslim yang baik harus bertindak menurut panduan agama dan bukannya perasaan atau semangat melulu.

Kecenderungan untuk melampau dalam beragama bukanlah perkara baru dalam sejarah Islam. Para sahabat yang dididik langsung oleh Rasulullah SAW pun ada ketikanya terbawa-bawa oleh semangat sehingga terpaksa diperbetulkan semula sikap mereka oleh Rasulullah SAW.

Bercanggah

Misalnya dalam satu hadis, Rasulullah SAW telah menjadi begitu murka dengan Usamah bin Zaid RA atas perbuatannya yang tetap membunuh seorang tentera musuh walaupun tentera tersebut telah mengucap dua kalimah syahadah. Usamah menganggap tentera tersebut hanya berpura-pura untuk menyelamatkan nyawanya.

Sikap ini bercanggah dengan ajaran Rasulullah SAW yang melarang seseorang yang telah mengucap daripada dibunuh. Rasulullah SAW juga diriwayatkan pernah murka dengan keterlanjuran panglima Baginda SAW, Khalid Al-Walid yang turut berlaku dalam situasi perang.

Dalam hadis-hadis tersebut, jelas oleh kerana terbawa-bawa dengan semangat dan perasaan maka sahabat-sahabat tersebut telah mengambil sikap yang bercanggah dengan ajaran Nabi SAW. Niat dan tujuan mereka murni tetapi selagi terpesong daripada suluhan sunnah atau syariat ia tetap tertolak dan membawa kesan yang tidak baik sebenarnya. Niat yang ikhlas dan semangat yang tinggi sahaja tidak memadai dalam Islam. Tindakan dan perbuatan zahir juga harus selari dengan syariat barulah ia akan dihitung sebagai amalan yang sahih dan soleh dalam neraca agama.

Jikalau para Sahabat Nabi RA yang hidup bersama dan mendapat bimbingan Baginda SAW sendiri boleh tersalah kerana terlalu bersemangat maka sudah pasti kita yang hidup di zaman ini mungkin lebih terdedah kepada kesilapan yang sama atau lebih parah lagi.

Kemunculan aliran dan kumpulan militan dalam kalangan umat Islam hari ini berpunca daripada asas yang sama iaitu dorongan semangat atau emosi yang tinggi tetapi tidak terpandu oleh kefahaman agama yang benar. Tidak dinafikan bahawa hari ini banyak situasi yang menyaksikan umat Islam menjadi mangsa kezaliman dan penindasan yang membakar semangat dan perasaan umat Islam.

Memang semangat jihad umat Islam mudah menyala mengenangkan hal ini. Tetapi jihad bersenjata dalam Islam ada fiqh dan garis panduannya yang tersendiri. Pengabaian atau kekeliruan dalam memahami fiqh jihad bersenjata dalam Islam adalah akar kepada tumbuhnya gejala militan dalam masyarakat Islam.

Darah dan nyawa manusia sangat suci dan terlarang dalam Islam. Oleh itu Islam telah menggariskan panduan yang ketat dalam hal tersebut. Darah hanya boleh ditumpahkan dalam situasi tertentu yang dikawal ketat oleh syarat-syarat syarak. Misalnya dalam pelaksanaan hukum jenayah Islam seperti Qisas dan Hudud.

Perjuangan bersenjata dalam Islam pula hanya boleh digerakkan apabila sudah cukup syarat-syaratnya. Antara syarat utamanya adalah hanya boleh dilancarkan sesudah mendapat arahan daripada pemimpin rasmi dalam sesebuah pemerintahan Islam. Mana-mana pemimpin selain daripada pimpinan rasmi dalam sesebuah negara Islam tidak berhak dan berkuasa untuk mengisytiharkan jihad bersenjata. Arahan jihad yang sah dalam realiti hari ini tidaklah mudah terhasil melainkan dalam situasi negara umat Islam diserang oleh negara bukan Islam.

Adapun dalam suasana pertembungan sesama Islam seperti yang berlaku di beberapa negara Asia Barat, adalah tidak sesuai hukum jihad perang digunakan dengan bebas dan longgar. Hanya dalam keadaan semua syarat-syarat hukum syarak dalam bab jihad itu terpenuhi barulah seseorang yang terkorban boleh dikatakan telah gugur sebagai syahid.

Dalam peperangan jihad yang sah sekalipun, Islam tetap membataskan tingkah laku dalam peperangan termasuk melarang pembunuhan mereka daripada pihak musuh yang tidak menyertai perang. Pendek kata, banyak ruang untuk timbul salah faham dalam bab ini sehinggakan para ulama sendiri boleh terkhilaf dalam menentukan hukum dalam realiti dunia hari ini yang penuh fitnah.

Seorang ulama muda kelahiran Malaysia yang bertugas di Universiti Oxford, Datuk Dr. Muhammad Afifi Al-Akiti, telah terpanggil menulis sebuah fatwa yang sangat bernilai menjelaskan beberapa persoalan sekitar isu ini bertajuk "Defending the Transgressed by Censuring the Reckless against the Killing of Civilians." Walaupun tidak dinyatakan secara jelas, tetapi sebahagian kandungan fatwa ini jelas berbeza dengan pandangan beberapa tokoh ulama dunia Arab yang menjadi ikon kebangkitan di Asia Barat.

Adalah disyorkan agar fatwa beliau yang mudah dicapai di Internet ini diteliti demi mencapai kefahaman yang lebih murni dalam hukum-hakam jihad bersenjata dalam Islam. Semoga kefahaman umat Islam dalam bab ini dapat dimurnikan agar tidak terlibat dalam kegiatan militan yang tidak menepati ajaran Islam.

KELAB PENYOKONG POLIS

GELOBANG ANAK MUDA