Saturday, 17 May 2014
Haramkan GST atas dasar apa?
Haramkan GST atas dasar apa?
Polemik mengenai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) nampaknya bukan lagi setakat berlegar seputar hujah-hujah ekonomi dan sara hidup. Kini semakin ramai ‘mufti-mufti’ segera yang mengharamkan GST atas hujah simplistik dengan mengatakan Rasulullah SAW tidak pernah mengiktiraf sumber negara selain zakat dan sedekah.
Jika semudah itulah hukum haram dijatuhkan kepada GST maka segala cukai-cukai yang selama ini dikutip kerajaan juga haramlah jawabnya. Ini kerana kaedah fekah menyebutkan “Apa yang diharamkan untuk dilakukannya, maka haram untuk mengambilnya".
Justeru segala pendapatan juga jadi haram kerana lebih 70 peratus hasil negara hari ini bergantung pada cukai tidak kira cukai langsung seperti cukai pendapatan mahupun cukai tidak langsung termasuklah duti kastam, duti eksais, cukai perkhidmatan dan cukai barangan.
Maka bukan sahaja kesan ‘haram’ ini terpakai kepada Kerajaan Persekutuan sahaja, malah kerajaan-kerajaan negeri yang diperintah Pakatan termasuklah negeri Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor juga dianggap menerima pendapatan haram daripada pelbagai jenis cukai yang dikenakan termasuklah cukai tanah, cukai pintu, cukai perniagaan dan bermacam lagi.
Sebab itulah dalam Islam, hukum halal-haram tidak boleh sewenang-wenangnya dijatuhkan berasaskan sentimen dan kefahaman dangkal mengenai satu-satu perkara. Malah menghalalkan yang haram mahupun mengharamkan yang halal boleh menjatuhkan seseorang kepada kekufuran.
Berbalik kepada isu ‘fatwa-fatwa jadian’ mengenai pengharaman GST ini, persoalan asas yang perlu dibangkitkan, apakah benar cukai tidak dibenarkan dikutip oleh kerajaan?
Sebelum mengupas lanjut, perlu difahami bahawa permasalahan cukai adalah termasuk dalam ruang-lingkup Siyasah Syariyyah iaitu pentadbiran hal-ehwal awam negara Islam yang perlu diteliti aspek mencapai kemaslahatan (kebaikan) dan menolak kemudaratan selagi tidak melanggar batas-batas Syariah dan prinsip-prinsip umumnya.
Dalam konteks muamalah atau hal-ehwal keduniaan, Islam membuka ruang kepada pelbagai ijtihad dan pandangan yang boleh berubah mengikut zaman dan tempat kerana prinsip digariskan Allah: “Allah mengkehendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak mengkehendaki kamu menanggung kesukaran" (Al-Baqarah:185).
Cukai dalam istilah Arab dipanggil ‘dharibah’. Malah ada juga ulamak yang mengaitkan istilah ‘al-maks’ juga membawa makna cukai berasaskan Hadis Nabi SAW: “Sesungguhnya penguasa yang mengenakan ‘Maks’ (cukai) adalah di dalam neraka" (Riwayat Ahmad).
Sesetengah ulamak menggunakan dalil inilah bagi mengharamkan sebarang bentuk cukai yang dikenakan ke atas rakyat. Ini kerana dalam kaedah usul fiqh, sebarang ancaman neraka menerusi nas membawa pengertian bahawa perkara yang disebutkan adalah haram.
Namun sebahagian ulama lain termasuklah Dr. Yusuf al-Qaradawi dan Dr Ali Muhydin Al-Qurrah Daghi mempunyai pandangan berbeza dengan menegaskan bahawa kalimah ‘Maks’ di dalam konteks hadis ini membawa maksud khusus iaitu “sejenis cukai yang diwajibkan oleh sebahagian pemerintah dan penyokong mereka untuk bersenang-lenang dengannya walaupun menyempitkan rakyat mereka" (Al-Qaradawi, Kitab Fiqh al-zakat).
Pendekatan
Justeru mereka berpandangan pengambilan cukai sebagai tambahan kepada zakat, sedekah, jizyah dan ushur adalah harus bagi memastikan kerajaan dapat mengurus kemaslahatan ummah seperti membangunkan kebajikan rakyat, bayaran gaji pekerja kerajaan dan penyedian infrastruktur untuk kemudahan rakyat.
Pandangan ini berasaskan kaedah fekah yang masyhur iaitu: “Pendekatan atau tindakan seseorang pemerintah kepada rakyatnya adalah berasaskan kemaslahatan" (Imam As-Suyuuti, Kitab Al-Ashbah Wan Nazooir).
Pendekatan inilah yang diambil oleh para sahabat khususnya Khalifah Umar al-Khatab yang antara terawal melakukan ijtihad baru mengenakan cukai Kharaj (cukai tanah). Ini kerana, Khalifah Umar RA mula melihat kemaslahatan atau keperluan untuk menjana pendapatan lain apabila wilayah kekuasaan Islam berkembang ke Iraq, Syam dan Mesir terutamanya bagi menampung keperluan perbelanjaan pertahanan, penggajian tentera dan kakitangan kerajaan yang menguruskan hal-ehwal rakyat.
Ini dinukilkan oleh Imam Abu Yusuf dalam kitab Al-Kharaj yang ditulis beliau bagi memahamkan Khalifah Kerajaan Abbasiyyah paling berpengaruh dan dikenali sebagai raja yang warak iaitu Khalifah Harun Ar-Rasyid (786-809 Masihi):
“Khalifah Umar berijtihad untuk perkenalkan cukai Kharaj setelah bermesyuarat dengan pimpinan dari kalangan Ansar dan Muhajirin akan keperluan menampung perbelanjaan kerajaan yang telah meluaskan jajahannya sehingga Syam, Jazirah, Kufah, Basrah dan Mesir. Walaupun pada mulanya ditentang Abdur Rahman bin Auf, namun ijtihad Umar disokong Ali, Uthman, Talhah dan Ibnu Umar."
Pandangan mengharuskan pengenalan cukai juga dikongsi oleh ulama-ulama Muktabar seperti Ibnu Hazim, Imam Haramain Al-Juwaini, Imam Al-Ghazali dan Imam As-Syatibi. Imam Ibnu Taimiyyah pula dalam kitabnya yang masyhur ‘Siyaasah as-Syariyyah fi Islah al-Ra’yi Wa al-Ra’iyyah’, mengharuskan pembayaran cukai berdalilkan qias aulawi:
Katanya: “Jika sekiranya Allah mewajibkan ke atas para sahabat yang berjihad dengan harta dan jiwa raga mengeluarkan ushur atau cukai dari hasil tanaman mereka, maka sepatutnya lebih diwajibkan ke atas golongan yang berkemampuan yang tidak keluar berjihad mengeluarkan kewangan untuk menampung perbelanjaan jihad (untuk kepentingan umum)"
Apa yang penting sebagaimana yang digariskan oleh para fukaha silam, sistem percukaian yang dibina hendaklah berasaskan keadilan dan dikenakan pada golongan berkemampuan hingga tidak membebankan rakyat. Cukai ini juga hendaklah dipungut oleh pemerintah bagi menampung perbelanjaan untuk menguruskan kepentingan rakyat dan kemaslahatan yang diperakui syarak.
Hakikatnya GST bukanlah satu jenis cukai tambahan yang diperkenalkan kerajaan di kala ramai yang merasai terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat. Sebaliknya GST adalah satu penstrukturan percukaian baru bagi menggantikan skim cukai lama iaitu cukai barangan dan cukai perkhidmatan yang sudahpun dikenakan selama ini.
Pengalaman 160 buah negara yang memperkenalkan GST selama ini telah membuktikan bahawa sistem cukai ini adalah lebih telus dan adil bahkan mampu mengelakkan daripada berlakunya ketirisan sumber perolehan negara yang amat penting bagi disalurkan kembali kepada rakyat.
Bukan itu sahaja model GST Malaysia yang mengecualikan cukai ke atas barangan keperluan asas rakyat seperti beras, gula, garam, minyak masak dan lebih 1,000 senarai barangan keperluan lain termasuk segala barangan asas yang dijual di pasar basah seperti ikan, ayam, daging, sayuran dan buah-buahan tentunya tidak akan membebankan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Ini bermakna GST hanya dikenakan bagi mereka yang berkemampuan untuk menggunakan barangan dan perkhidmatan melebih keperluan asas. Peniaga-peniaga kecil yang pendapatan kurang daripada RM500,000 setahun juga dikecualikan GST.
Justeru tidak timbul isu bahawa GST haram kerana turut mengenakan cukai kepada golongan miskin. Malah pendekatan baru struktur cukai ini bagi memastikan semua peringkat dalam rantaian penawaran (supply chain) berdaftar akan memudahkan kerajaan memantau harga barangan dengan lebih berkesan bagi mengelakkan peniaga menaikkan harga sesuka hati.
GST tentunya dapat menjaga kemaslahatan rakyat yang sebelum ini seringkali dimangsakan dengan kenaikan harga barangan tanpa kawalan lantaran kos pengeluaran yang tidak dapat dipantau secara tuntas dan sikap peniaga meraih keuntungan sesuka hati.
Sebaliknya melalui GST, setiap pengusaha daripada pembekal bahan mentah, pengilang, pemborang sehinggalah peniaga runcit perlu mendaftar dan mengeluarkan resit-resit bernombor siri GST yang sah. Ini bukan sahaja membantu pemerintah memantau harga bahkan mengurangkan ketirisan perolehan akibat sikap tidak bertanggungjawab golongan yang lari daripada cukai sebelum ini.
Harga barangan tertentu yang dulunya mahal kerana dikenakan cukai berganda juga sepatutnya lebih murah apabila GST diperkenalkan kelak kerana setiap rantaian penawaran, hanya dikenakan cukai sekali sahaja dengan kadar 6 peratus iaitu terendah berbanding 160 negara lain.
Justeru hujah-hujah semberono yang mem‘fatwa’kan GST haram dikutip kerajaan kerana menindas rakyat adalah satu tohmah dan pandangan dangkal tanpa memahami secara holitisk mekanisme GST ini.
Apa yang mustahak kini ialah untuk kerajaan memastikan sistem dan operasi GST yang bakal diperkenalkan tahun hadapan benar-benar berfungsi dengan berkesan. Pada masa yang sama segala bentuk ketirisan dan pembaziran dalam perbelanjaan negara sebagaimana laporan Audit Negara perlu ditangani bagi mengembalikan keyakinan rakyat bahawa cukai yang dibayar tidak dipersia-siakan.
Akhirnya falsafah cukai dalam Islam adalah bagi memenuhi prinsip adil dan saksama sehingga kekayaan dapat dikongsi oleh segenap lapisan masyarakat sebagaimana yang dijelaskan dalam Surah Al-Hasyr ayat 7: “Supaya harta itu tidak hanya berlegar sekitar orang kaya di kalangan kamu semata-mata".
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment