Friday, 16 May 2014

Kemunculan gerakan militan bermotifkan agama adalah suatu fenomena yang membimbangkan



Baru-baru ini kita digemparkan dengan penangkapan sejumlah individu yang dikaitkan dengan sebuah gerakan militan baru di negara ini. Pada masa yang sama timbul berita tentang beberapa rakyat Malaysia yang telah bermusafir ke Syria untuk menyertai perjuangan bersenjata menentang kerajaan Bashar Al-Assad. Dalam keadaan Malaysia giat mempromosi pendekatan wasatiyyah dalam menghayati Islam, wajar kita mengkaji kenapakah masih ada rakyat Malaysia yang terpengaruh dengan pendekatan militan.

Kemunculan gerakan militan bermotifkan agama ini adalah suatu fenomena yang membimbangkan kerana kelompok ini boleh sampai ke tahap berani mati serta sanggup membunuh. Pertumpahan darah yang berlaku secara batil lazimnya akan mengundang tindak balas yang berdarah juga hingga boleh membawa kepada suasana kacau-bilau yang parah dalam sesebuah negara.

Jika kegiatan militan ini meluas ke negara lain, ia akan menimbulkan permusuhan antara negara. Tidak kurang parahnya, kegiatan militan atas nama Islam ini akan turut mencemarkan imej Islam yang boleh menjejaskan syiar Islam dan dakwahnya.

Oleh itu memang wajarlah tindakan berkesan diambil untuk mencegah kegiatan ini. Tindakan pencegahan juga perlu ditumpukan terhadap sebab-sebab di sebalik kemunculan aliran militan ini dalam kalangan umat Islam. Jika akar umbi dan sebab-sebab kemunculan kelompok ini difahami maka kita akan mampu menanganinya secara lebih awal dan berkesan.

Aliran militan dalam Islam ini sebenarnya adalah satu jelmaan daripada sikap melampau atau ekstrem dalam beragama. Sikap melampau ini berpunca daripada semangat beragama yang tinggi dalam diri seseorang tetapi tidak disertai oleh kefahaman agama yang mencukupi.

Akibatnya perilaku dan tindak-tanduk dipandu oleh semangat dan emosi dan bukannya neraca dan acuan agama yang sebenar. Sedangkan Islam ialah agama yang berasaskan ilmu dan datang dengan satu syariat yang lengkap meliputi seluruh aspek kehidupan. Dalam apa keadaan sekalipun, seorang Muslim yang baik harus bertindak menurut panduan agama dan bukannya perasaan atau semangat melulu.

Kecenderungan untuk melampau dalam beragama bukanlah perkara baru dalam sejarah Islam. Para sahabat yang dididik langsung oleh Rasulullah SAW pun ada ketikanya terbawa-bawa oleh semangat sehingga terpaksa diperbetulkan semula sikap mereka oleh Rasulullah SAW.

Bercanggah

Misalnya dalam satu hadis, Rasulullah SAW telah menjadi begitu murka dengan Usamah bin Zaid RA atas perbuatannya yang tetap membunuh seorang tentera musuh walaupun tentera tersebut telah mengucap dua kalimah syahadah. Usamah menganggap tentera tersebut hanya berpura-pura untuk menyelamatkan nyawanya.

Sikap ini bercanggah dengan ajaran Rasulullah SAW yang melarang seseorang yang telah mengucap daripada dibunuh. Rasulullah SAW juga diriwayatkan pernah murka dengan keterlanjuran panglima Baginda SAW, Khalid Al-Walid yang turut berlaku dalam situasi perang.

Dalam hadis-hadis tersebut, jelas oleh kerana terbawa-bawa dengan semangat dan perasaan maka sahabat-sahabat tersebut telah mengambil sikap yang bercanggah dengan ajaran Nabi SAW. Niat dan tujuan mereka murni tetapi selagi terpesong daripada suluhan sunnah atau syariat ia tetap tertolak dan membawa kesan yang tidak baik sebenarnya. Niat yang ikhlas dan semangat yang tinggi sahaja tidak memadai dalam Islam. Tindakan dan perbuatan zahir juga harus selari dengan syariat barulah ia akan dihitung sebagai amalan yang sahih dan soleh dalam neraca agama.

Jikalau para Sahabat Nabi RA yang hidup bersama dan mendapat bimbingan Baginda SAW sendiri boleh tersalah kerana terlalu bersemangat maka sudah pasti kita yang hidup di zaman ini mungkin lebih terdedah kepada kesilapan yang sama atau lebih parah lagi.

Kemunculan aliran dan kumpulan militan dalam kalangan umat Islam hari ini berpunca daripada asas yang sama iaitu dorongan semangat atau emosi yang tinggi tetapi tidak terpandu oleh kefahaman agama yang benar. Tidak dinafikan bahawa hari ini banyak situasi yang menyaksikan umat Islam menjadi mangsa kezaliman dan penindasan yang membakar semangat dan perasaan umat Islam.

Memang semangat jihad umat Islam mudah menyala mengenangkan hal ini. Tetapi jihad bersenjata dalam Islam ada fiqh dan garis panduannya yang tersendiri. Pengabaian atau kekeliruan dalam memahami fiqh jihad bersenjata dalam Islam adalah akar kepada tumbuhnya gejala militan dalam masyarakat Islam.

Darah dan nyawa manusia sangat suci dan terlarang dalam Islam. Oleh itu Islam telah menggariskan panduan yang ketat dalam hal tersebut. Darah hanya boleh ditumpahkan dalam situasi tertentu yang dikawal ketat oleh syarat-syarat syarak. Misalnya dalam pelaksanaan hukum jenayah Islam seperti Qisas dan Hudud.

Perjuangan bersenjata dalam Islam pula hanya boleh digerakkan apabila sudah cukup syarat-syaratnya. Antara syarat utamanya adalah hanya boleh dilancarkan sesudah mendapat arahan daripada pemimpin rasmi dalam sesebuah pemerintahan Islam. Mana-mana pemimpin selain daripada pimpinan rasmi dalam sesebuah negara Islam tidak berhak dan berkuasa untuk mengisytiharkan jihad bersenjata. Arahan jihad yang sah dalam realiti hari ini tidaklah mudah terhasil melainkan dalam situasi negara umat Islam diserang oleh negara bukan Islam.

Adapun dalam suasana pertembungan sesama Islam seperti yang berlaku di beberapa negara Asia Barat, adalah tidak sesuai hukum jihad perang digunakan dengan bebas dan longgar. Hanya dalam keadaan semua syarat-syarat hukum syarak dalam bab jihad itu terpenuhi barulah seseorang yang terkorban boleh dikatakan telah gugur sebagai syahid.

Dalam peperangan jihad yang sah sekalipun, Islam tetap membataskan tingkah laku dalam peperangan termasuk melarang pembunuhan mereka daripada pihak musuh yang tidak menyertai perang. Pendek kata, banyak ruang untuk timbul salah faham dalam bab ini sehinggakan para ulama sendiri boleh terkhilaf dalam menentukan hukum dalam realiti dunia hari ini yang penuh fitnah.

Seorang ulama muda kelahiran Malaysia yang bertugas di Universiti Oxford, Datuk Dr. Muhammad Afifi Al-Akiti, telah terpanggil menulis sebuah fatwa yang sangat bernilai menjelaskan beberapa persoalan sekitar isu ini bertajuk "Defending the Transgressed by Censuring the Reckless against the Killing of Civilians." Walaupun tidak dinyatakan secara jelas, tetapi sebahagian kandungan fatwa ini jelas berbeza dengan pandangan beberapa tokoh ulama dunia Arab yang menjadi ikon kebangkitan di Asia Barat.

Adalah disyorkan agar fatwa beliau yang mudah dicapai di Internet ini diteliti demi mencapai kefahaman yang lebih murni dalam hukum-hakam jihad bersenjata dalam Islam. Semoga kefahaman umat Islam dalam bab ini dapat dimurnikan agar tidak terlibat dalam kegiatan militan yang tidak menepati ajaran Islam.

No comments:

Post a Comment

KELAB PENYOKONG POLIS

GELOBANG ANAK MUDA