 
Pendahuluan
Hari ini hari istimewa bagi saya. Hari ini saya akan meluahkan isi 
hati saya tanpa sekatan, insya Allah. Hari ini hari saya akan 
mempertanggungjawabkan kehidupan saya di dunia. Saya ada satu dua kerja 
lagi yang ingin saya lakukan , tetapi selepas hari ini, saya reda kalau 
dipanggil Tuanku untuk diadili.
Saya tidak mendakwa saya seorang yang baik. Saya melakukan banyak 
kesilapan dalam kehidupan saya. Saya jangka saya bukan keseorangan. 
Tidak ada manusia yang sempurna. Hanya Tuhan yang sempurna. Tetapi saya 
boleh mengatakan saya telah cuba hidup sebagai seorang patriot bagi 
bangsa saya dan bagi bangsa manusia. [1] 
Ketika saya seorang muda, saya bersumpah untuk berkata-kata dengan bebas. [2] Saya bersumpah saya akan mendedahkan segala kepalsuan. [3] 
Semua orang tahu saya bermula sebagai seorang remaja berhaluan kiri
 berjuang untuk rakyat marhaen menentang parti kebangsaan Melayu, UMNO, 
yang pada waktu itu saya anggap reaksioner, walaupun akhirnya saya 
pulang ke akar ke-Melayuan saya dan memasuki UMNO.
Pada 9 September tahun lalu, saya menjengkau umur 80 tahun tanpa 
apa-apa perayaan. Hanya sahabat-sahabat saya di Kuala Lumpur, antara 
lain Dr. Chandra Muzaffar, Sasterawan Negara Dato’ Baha Zain  dan Nik 
Aziz Hassan, telah bermuafakat untuk mera’ikan harijadi itu dengan satu 
majlis penilaian kritis terhadap karya-karya saya. Majlis ini 
dijadualkan pada 15 Februari, 2014.  Dalam pada itu, saya telah 
merancang untuk bercakap dalam satu Konferensi Politik Nasional tentang 
halatuju negara kita untuk tiga puluh tahun akandatang. Ucapan ini 
dijadualkan pada pada hari berikutnya, iaitu 16 Februari, 2014.
Inilah latar belakang majlis harijadi saya yang ke-80.
2.     Keadaan Dunia Sekarang
Negara kita Malaysia sedang melalui satu zaman yang penuh 
pancaroba. Sistem komunisme sudah runtuh pada akhir abad ke-20. Sistem 
liberalisme yang kita anuti sekarang juga sedang runtuh di depan mata 
kita—di Eropah dan Amerika Syarikat.
Keruntuhan sistem komunisme  kerana sistem ini menafikan hak 
kebebasan individu. Ia melebihkan hak kolektif, yang dipergunakan oleh 
kepimpinan untuk melaksanakan sistem diktator! Sistem liberalisme 
melebihkan hak kebebasan individu dengan menafikan hak kolektif.
Kedua-dua sistem ini melanggar konsep “sempadan Allah”, atau apa 
yang disalah-ertikan sebagai “hukum hudud”.  Konsep ini langsung tidak 
ada kena-mengena dengan hukuman. Ia merujuk kepada suatu undang-undang 
universal, iaitu dalam tiap-tiap perbuatan, manusia tidak boleh 
melampaui batasan undang-undang alamiah. [4] Umpamanya,
 dalam hal makan: mudarat kalau kita tidak makan, tetapi kalau kita 
makan terlalu banyak pun mudarat juga. Demikianlah bagi tiap-tiap 
perbuatan wujud suatu sempadan yang tidak boleh kita lampaui. 
3.     Masa Depan
Apa akan berlaku dalam masa 30 tahun akan datang? Apakah sistem 
ganti yang harus kita pilih sekarang? Mengikut kitab suci yang terakhir 
kepada manusia iaitu Quran, satu-satunya kitab suci yang dijamin oleh 
Tuhan Sendiri [5], dan yang mengesahkan dan mengatasi semua kitab suci lain,[6] hanya
 ada satu jalan yang lurus yang Dia restui di antara jalan-jalan yang 
menyeleweng. Jalan-jalan yang menyeleweng itu disebut jalan-jalan mereka
 yang Dia murkai, dan jalan-jalan mereka yang sesat. 
Apakah jalan yang Dia murkai? Tuhan pasti murkai kumpulan-kumpulan 
manusia yang memberontak terhadap-Nya. Dalam zaman moden, kumpulan itu 
kaum marxis komunis yang menafikan Dia serta mengamalkan cara hidup yang
 menafikan Dia. Dengan perkataan lain, dalam kehidupan mereka, mereka 
menafikan dimensi-dimensi moral dan spiritual. Oleh kerana ini, cara 
hidup ini berlawanan dengan undang-undang alamiah, dan pasti musnah. 
Sistem komunisme sudah pun musnah.
Satu lagi jalan menyeleweng kita panggil sistem teokrasi, yakni 
kepimpinan satu kasta paderi yang melantik diri mereka sendiri serta 
mendakwa mentadbirkan negara atas nama Tuhan. Contohnya dari zaman 
pertengahan Eropah, sistem Paus. Dalam dunia moden, Eropah sudah 
menyingkirkan sistem Paus ini, tetapi dalam dunia Islam, negara Iran dan
 Arab Saudi sedang melaksanakan sistem ini.
 Nyatalah sistem ini gagal menyelesaikan 
masalah-masalah  sosio-ekonomi menghasilkan pekerjaan dan makanan untuk 
rakyatnya dan dengan itu gagal menyelesaikan masalah-masalah lain dalam 
masyarakat.
4.     Negara Malaysia
Negara kita Malaysia, walaupun dikatakan negara Islam, 
sebenarnya mengamalkan sistem liberalisme. Mengikut kata-kata Kerajaan 
Pusat, ekonomi Malaysia baik dengan pengangguran sifar dan peratusan 
inflasi pada tahap minima. Namun demikian, Malaysia boleh dikatakan 
tiap-tiap hari menunjukkan ketegangan antara kaum dan agama. Apakah 
caranya untuk menyelesaikan perkara ini secara muktamad ?
Jalan yang lurus yang dirujuk dalam surah Al-Fatihah tadi – apakah 
jalan itu? Tadi telah kita nyatakan ada tiga jalan yang menyeleweng : 
sistem marxis komunis, sistem teokrasi dan sistem liberalisme. Seperti 
yang telah kita nyatakan, ketiga-tiga sistem ini telah atau sedang 
menuju kehancuran. Maka semestinyalah masyarakat manusia dalam abad-abad
 ke-21 dan mendatang mencari sistem jalan yang lurus ini. Dengan 
perkataan lain, inilah sistem hidup yang dirujuk dalam Quran dalam surah
 3 ayat 19, yang berbunyi, “Sesungguhnya agama yang Tuhan reda itu 
Islam”.
5.     Keadaan Orang Islam Sekarang
Orang Islam berjumlah 2.1 bilion di seluruh dunia. Bolehkah kita 
katakan mereka semuanya mengikut cara hidup Islam yang sebenar? 
Sekiranya benar, umat Islam hari ini harus berada pada kedudukan nombor 1
 dalam dunia, seperti yang berlaku dalam sejarah. Sejarah mencatat dalam
 zaman pemerintahan Uthman Ibni Affan, khalifah Islam ke-3, setelah 60 
tahun Nabi Muhammad wafat , orang Arab yang tidak terkenal itu melonjak 
naik menjadi kuasa nombor satu dalam dunia, mengalahkan Empayar Parsi 
dan sebagian besar Empayar Baizantium, dua kuasa besar dunia pada zaman 
itu. [7] 
Tetapi umat Islam sekarang duduk di bawah daripada Britain, 
Perancis,  Amerika Syarikat, Rusia, China dan India, semuanya  negara 
bukan Islam.
6.      Gerakan Pembaharuan Islam
Gerakan pembaharuan Islam moden, dikira dari Sheikh Muhammad Abduh 
(m.  1903) dan Jamaluddin Al-Afghani (m. 1897) yang diharapkan untuk 
membersihkan Islam dari kepercayaan-kepercayaan  khurafat dan 
membangkitkan semula Islam sudah berusia lebih 100 tahun, sedangkan umat
 Islam masih di tahap bawah di belakang negara-negara yang kita sebut 
tadi. Dengan sendirinya, ini bermakna umat Islam hari ini di seluruh 
dunia tidak mengikut sistem hidup Islam seperti yang diajar oleh semua 
nabi dan disempurnakan oleh Nabi Muhammad, penyudah segala nabi.
7.     Kesilapan-kesilapan Umat Islam
Di manakah kesilapan-kesilapan besar mereka? Saya akan senaraikan beberapa kesilapan besar itu di sini.
(1) Umat Islam pada hari ini tidak mengikut ajaran-ajaran nabi 
Muhammad dalam Quran. Inilah kesilapan yang besar yang telah mereka 
lakukan. Mereka ikut satu kasta paderi yang dipanggil ulama, seperti 
penganut-penganut agama Hindu dan Kristian dulu. Kasta paderi ini tidak 
wujud dalam zaman Nabi dan empat khalifah rasyidun. Mereka muncul 
kira-kira 300 tahun kemudian dan melantik diri mereka sendiri sebagai 
pentafsir ugama kepada umat Islam.
(2) Khususnya, kesilapan-kesilapan itu boleh saya senaraikan seperti berikut:
(a)  Mereka mendewa-dewakan pemimpin ugama yang mereka anggap 
maksum dan yang telah memutuskan semua soalan dalam kehidupan mereka – 
apa yang dikatakan ‘penutupan pintu ijtihad’. Dalam puak ahli sunnah wal
 jamaah, empat pemimpin besar boleh dikenal pasti, iatu : Imam Shafi’e 
(767-820), Imam Hanafi (699-767), Imam Hanbali (780-855) dan Imam Maliki
 (711-795). Dalam mazhab Syiah, mereka ada imam-imam mereka pula. 
Imam-imam ini telah mereka dewa-dewakan berlawanan dengan perintah Tuhan
 melarang pendewaan seseorang pemimpin atau sarjana, dan, malah, 
berlawanan dengan ajaran imam-imam besar itu sendiri.
(b) Mereka mendewa-dewakan Nabi Muhammad. Syahadah yang kedua itu satu bukti. [8] Juga
 di kebanyakan rumah orang Islam, perkataan-perkataan ‘Allah’ dan 
‘Muhammad’ ditulis sama besar dan sama paras. Apabila disebut nama 
Muhammad, frasa ‘sa’al-Lallahu ‘alaihi wasallam’ (SAW) disebut sekali, 
sedangkan apabila disebut nama nabi-nabi lain, disebut ‘alihissalam’. 
Pada hal frasa SAW itu ditujukan juga kepada orang mukmin juga dalam 
Quran. [9] Juga perkataan ‘salla/yusalli’ bermakna ‘restu’, ‘bantu’ dan ‘sokong’, bukan selawat, seperti yang dibuat sekarang. 
(c)  Perhatikan satu perubahan baru dalam ‘aurat wanita. Perkataan 
‘aurat’ berasal dari bahasa Arab. Ertinya ‘kebogelan’. Tiga puluh tahun 
dulu, wanita-wanita Islam tidak memakai tudung. Mereka pakai selendang, 
sehelai kain yang mereka letak di bahu, atau pun di atas kepala tanpa 
menutup semua rambut, kerana rambut bukan ‘aurat wanita. Menutup rambut 
dengan bertudung bermakna udara bersih tidak dapat memasuki rambut. 
Dengan itu rambut menjadi busuk. Dengan lain perkataan, ia tidak sihat.
Anehnya, wanita-wanita yang bertudung menganggap diri mereka lebih suci! [10] 
Sebab-sebabnya nyata mengapa umat Islam jatuh. Mereka telah 
mengabaikan ajaran-ajaran Tuhan yang sebenar serta mengikut 
ajaran-ajaran kasta paderi.
Tiap-tiap generasi diperintah oleh Tuhan mengkaji semula 
ajaran-ajaran pemimpin mereka yang terdahulu; yang betul diterima dan 
diteruskan, yang salah ditolak. Inilah yang seharusnya dilakukan oleh 
generasi-generasi Islam kemudian. Malangnya, penilaian semula ini tidak 
dapat mereka lakukan persis kerana pendewaan tadi. Maka itu apabila saya
 menulis buku  Hadis – Satu Penilaian Semula pada tahun 
1986, langit Malaysia runtuh menimpanya! Selama dua bulan, perbincangan 
berlaku dalam televisyen, radio, akhbar dan majalah tentang buku ini. 
Sesetengah menyokong saya dan sesetengah membantah. Selepas dua bulan, 
buku ini diharamkan oleh pihak berkuasa atas hasutan pihak yang 
berkepentingan.
Siapakah yang mewajibkan hadis sebagai satu sumber undang-undang 
sama seperti Quran dalam masyarakat Islam? Jawabnya, Imam Shafi’e 
(767-820). Beliaulah yang bertanggungjawab membuat doktrin baru 
menyatakan hadis satu sumber hukum sama seperti Quran. [11]  Sebelum
 beliau, apa yang dikatakan hadis sudah muncul, tetapi bilangannya 
sedikit sekali dan tidak diwajibkan diikut oleh umat Islam. Sejarah 
mencatat khalifah-khalifah Abu Bakr, Omar Ibni Khattab, Uthman Ibni 
Affan dan Ali Abi Thalib memiliki buku-buku nota yang mereka tulis 
perkataan-perkataan dan perbuatan-perbuatan Nabi. Catitan-catitan ini 
tidak banyak dan hanya menjadi ikutan, jika sesuai, tetapi tidak 
diwajibkan. 
Setelah doktrin baru oleh Imam Shafi’e ini diterima oleh masyarakat
 Islam,  timbullah pengumpul-pengumpul hadis seperti Imam Bukhari (m. 
870), Imam Muslim (m. 875) dan lain-lain. Imam Bukhari dilaporkan telah 
mengumpul 600,000 hadis dan beliau menapis hadis-hadis ini sehingga 
akhirnya tinggal 7,275  hadis yang beliau isytiharkan sebagai hadis 
sahih. [12] 
ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia) melalui setiausaha agungnya 
pada waktu itu, Encik ( sekarang Dr.) Sidek Baba, telah datang ke rumah 
saya dan meminta satu dialog tentang buku saya. Saya memberi persetujuan
 dengan syarat keputusan tidak diambil dalam dialog itu. Saya meletakkan
 syarat itu kerana pegangan umat Islam kepada hadis sangat kuat dan 
tidak boleh dihapuskan dalam masa sehari. Pihak ABIM bersetuju dengan 
syarat itu. Malangnya, apabila dialog itu diadakan di Universiti Islam 
Antarabangsa pada 28 Jun, 1986, saya terlupa untuk menyatakan kepada 
majlis dialog itu tentang syarat yang saya kenakan. Apabila dialog itu 
selesai, pihak ABIM telah mengeluarkan sehelai kertas dari saku ketua 
mereka yang mencatat bahawa buku saya menyeleweng dari ajaran Islam dan 
saya juga dianggap menyeleweng dari ajaran Islam sebenar!
Akibat dari dialog ini buku saya diharamkan oleh Kerajaan. Nyatalah
 pengharaman buku ini satu muslihat yang sudah diatur oleh pihak yang 
berkepentingan.
Kembali kepada soal Islam agama Persekutuan Malaysia atau Islam 
sebagai agama rasmi, ingin saya menyatakan bahawa pernyataan ini dalam 
Perlembagaan Malaysia menyalahi ajaran Quran dan menyalahi Piagam 
Madinah yang digubal oleh Nabi Muhammad sendiri. Dari segi logika, 
sesebuah negara-bangsa tidak ada ugama. Ugama dianut oleh penduduknya, 
sama ada Islam, Buddhist, Hindu atau Kristian.  Ajaran Quran 
mengisytiharkan dengan jelas tidak ada paksaan dalam agama. [13]   Ini bermakna warganegara Malaysia boleh menganut apa juga agama yang mereka suka tanpa halangan undang-undang. 
Dalam Piagam Madinah, agama itu urusan penganut-penganutnya secara autonomi. [14] Ini
 bermakna orang Muslim mentadbirkan urusan-urusan agamanya secara 
autonomi. Demikian juga orang Buddhist, orang Hindu dan orang Kristian, 
dan lain-lain. Dengan ini, tidak akan berlaku konflik atau ketegangan 
antara agama dan kaum. Dengan ini perpaduan dan harmoni antara kaum di 
Malaysia akan menjadi lebih mantap dan stabil. 
Kembali kepada soal jalan yang lurus yang harus dipilih oleh rakyat Malaysia untuk dijadikan sistem hidup mereka, perkara utama tidak lain dan tidak bukan pemerintahan yang adil yang ditubuhkan melalui perundingan.[15]  Sistem
 dwi-parti yang kita import dari Eropah tidak sesuai, pada dasarnya, 
dengan ajaran Islam. Kita diberikan Tuhan dua tangan: mengapa kita 
gunakan satu tangan untuk merosakkan kerja satu tangan lain? Tidak 
bolehkah kedua-dua tangan bekerjasama untuk melakukan kebaikan bagi 
masyarakat kita? Jelaslah teori sekat dan imbang (Ing.: cek and balance) ini satu teori yang tidak ada kebenarannya. 
 Sebuah pemerintahan mestilah diwujudkan di Malaysia melalui kaedah
 muafakat dan mentadbirkan negara-bangsa Malaysia dengan adil. Inilah 
perintah Tuhan dan keperluan yang utama bagi rakyat Malaysia. Dengan 
demikian, walaupun Malaysia dari segi sejarah, lahir dari Kesultanan 
Melayu Melaka dalam abad ke-15, hari ini sejak kemerdekaan Persekutuan 
Tanah Melayu (Malaya) pada tahun 1957, ia telah menjadi sebuah negara 
berbilang kaum dan agama dengan semua kaum mempunyai hak yang sama.
Tadi telah saya nyatakan penyelewengan khusus yang telah dilakukan 
oleh umat Islam itu memecahkan masyarakat kepada sistem agama dan sistem
 sekular. Ini bersalahan dengan ajaran Nabi Muhammad dalam Quran yang 
menggabungkan kedua-dua sistem ini secara harmonis.[16]  Namun
 demikian, ajaran Quran juga menasihatkan umat Islam mengutamakan 
kediaman akhirat tanpa mengabaikan hak-hak mereka yang sah di dunia. [17] 
Perkara yang akhir ini menunjukkan perbezaan antara dunia dan 
akhirat. Alam akhirat itu tidak lain dari alam dunia ini di peringkat 
yang lebih tinggi, yakni dari segi moral dan spiritual. Nyatalah satu 
kasta paderi telah bertindak sebagai diktator kepada masyarakat Islam 
tanpa membenarkan perbezaan fikiran. Perbuatan ini melanggar perintah 
Tuhan yang terang yang berbunyi, “Dengar semua pendapat dan ikut yang 
paling baik”.[18] 
Harus diingat bahawa Islam yang datang ke dunia Melayu pada abad 
ke-15 dan 16, Islam pasca kejatuhan Baghdad, yakni Islam yang telah 
kalah. Walaupun ini fakta sejarah, telah dicatat oleh seorang sejarawan 
Melayu bahawa kota pelabuhan Melaka dalam abad ke-15 sebuah kota 
pelabuhan yang termasyhur di dunia, sama dengan Venice. [19] 
Malah telah dinyatakan oleh penulis Portugis, Tome Peres, bahawa 
Melaka pada zaman itu begitu penting dan kaya ia tiada lawannya di 
dunia. [20]  Dinyatakan
 oleh sejarawan Melayu tadi, 84 bahasa dipertuturkan di pelabuhan Melaka
 dan bahasa Melayu menjadi bahasa perantaraan atau lingua franca.
 Fakta ini menyalahi anggapan kita yang pertama tadi. Kemungkinan besar 
ada dua aliran Islam yang sampai ke Melaka dalam abad ke-14 dan 15. 
Di awal tadi, telah kita petik 
sebuah ayat suci yang berbunyi, “ Rasul akan berkata:  ‘Tuanku, umatku 
telah membelakangkan Quran ini. Kami juga telah mewujudkan musuh-musuh 
bagi rasul-rasul kami dari kalangan mereka yang berdosa. Tuan kamu cukup
 sebagai pembimbing dan penolong’”.[21]   
Amaran yang dahsyat ini telah 
wujud dalam Quran selama 1400 tahun lebih. Saya tidak pernah bertemu 
dengan huraian yang panjang lebar atau sederhana panjang lebar tentang 
makna ayat-ayat yang menakutkan ini.
Apabila ayat-ayat Quran dibaca,  kerap kali kaum agamawan Islam 
melagukan mereka dengan tajwid-majwidnya yang sungguh enak didengar. 
Saya  teringat zaman remaja saya apabila saya sendiri terpengaruh dengan
 lagu-lagu Quran dibacakan. Saya telah mensifatkan perbuatan ini sebagai
 kaedah yang paling bijak untuk menyembunyikan Quran kepada umat Islam, 
yakni lagu mengatasi makna.[22] 
Hari ini saya telah menjengkau umur 80 tahun. Saya berfikir inilah 
masanya saya mahu bercakap secara langsung kepada kepimpinan politik dan
 intelektual rakyat Malaysia dan umat Islam di seluruh dunia tentang 
penyelewengan-penyelewengan yang telah mereka lakukan serta membetulkan 
kesilapan-kesilapan kita supaya 30 tahun yang akan datang dan seterusnya
 kita boleh mencapai jalan yang lurus yang telah diperintahkan oleh 
Tuhan kepada kita.
Harus diingat bahawa pertama sekali Quran itu bimbingan untuk orang-orang yang bertakwa. [23] Bimbingan
 ini hanya diberi oleh Tuhan sahaja  kepada pencari-pencari yang jujur. 
Jadi, rakyat Malaysia yang beragama Islam dan umat Islam di seluruh 
dunia mestilah bertekad untuk mencari bimbingan ini dengan jujur. 
Kedua, Quran itu bukan untuk dilagukan dengan 
tajwid-majwidnya berdengung-dengung. Quran itu perutusan Tuhan yang 
terakhir kepada dunia. Ia bimbingan kepada seluruh manusia. Kita mesti 
ada satu kaedah yang saintifik untuk mentafsirkan ayat-ayat Quran itu 
supaya ia benar-benar menjadi bimbingan kepada umat Islam dan seluruh 
dunia. Kaedah saintifik ini pada dasarnya bermakna Quran itu menjelaskan
 dirinya sendiri, yakni ayat mentafsirkan ayat, bukan seperti kaedah 
tradisional yang mendakwa Hadis mentafsirkan Quran. [24] 
Ketiga, kediktatoran kasta paderi (baca: ulama) harus 
disingkirkan. Kaedah saintifik dan demokratik, yakni perdebatan yang 
rasional dan bijaksana, mestilah diutamakan.
Keempat, Quran itu mesti ditafsirkan semula oleh generasi 
yang mendatang, mewarisi tafsiran yang betul dan menolak tafsiran yang 
silap daripada generasi yang terdahulu.
Kelima, mengikut ajaran Tuhan Sendiri, Quran itu diwariskan 
kepada mereka yang Tuhan pilih daripada pelbagai kalangan, bersalahan 
dengan pegangan tradisional bahawa pewaris Quran itu para ulama. [25] 
Keenam, nyatalah sistem hidup yang dianjurkan oleh Quran itu
 bersifat republikan dan demokratik. Ini nyata daripada asal-usul nabi 
Muhammad dan empat khalifah ar-rasyidun ( Abu Bakr, Omar Ibni Khattab, 
Uthman Ibni Affan dan Ali Abi Talib). Apabila Muawiyah merampas kerajaan
 Islam dari tangan kaum republikan dan demokratik ini, bermulalah zaman 
feudalisme dalam sejarah Islam awal membawa kepada abad ke-20.
Umat Islam perlu kembali kepada zaman republikan dan demokratik 
yang telah kita sebutkan. Hanya dengan demikian, Islam yang sebenar akan
 kembali semula ke dalam dunia serta memimpin umat Islam dan seluruh 
dunia kepada alam kejayaan dan kebahagiaan, seperti yang dijanjikan oleh
 Tuhan kepada umat Islam. [26] 
8.     Langkah-langkah Yang Perlu Diambil
UMNO, parti nasionalis, yang menjadi tulang belakang pemerintahan 
di Malaysia sekarang berasal sebagai sebuah gerakan massa pada 1946. 
Namun tiap benda yang hidup akan merosot. Demikianlah UMNO telah 
merosot. Hanya anggota UMNO dan rakyat Malaysia seluruhnya melalui 
Perhimpunan Agung UMNO boleh membaiki UMNO, melalui apa yang 
diperintahkan oleh Tuhan
“menyerukan kebaikan dan melarang kejahatan”. Perhimpunan Agung 
UMNO Tahunan mestilah menjadi sekat dan imbang atau penjaga kepada 
sistem pemerintahan di Malaysia. Rasuah, pembaziran dan kejahatan lain 
mestilah dikoreksi dari dalam oleh kita yang sedar sendiri. Inilah
 yang harus dilakukan oleh rakyat Malaysia. Inilah juga yang harus 
dilakukan oleh umat Islam di seluruh dunia. Inilah juga yang harus 
dilakukan oleh rakyat di seluruh dunia. Tiada seorang Imam Mahdi atau 
Nabi Isa turun kali kedua boleh tolong mereka. Manusia tiada penolong 
dan pembantu kecuali diri mereka sendiri. Dengan izin Allah!
Saya telah menyatakan pada awal tadi bahawa saya akan meluahkan isi
 hatinya tanpa sekatan. Saya ingin menyatakan dengan rendah hati bahawa 
saya memohon kepada Tuhan Azza-Wajalla memberi taufik dan hidayah kepada
 saya dan menjauhkan diri saya daripada kesombongan dan kebanggaan.
Saya ingin menyatakan terima kasih yang tidak terhingga banyaknya 
kepada sahabat-sahabat saya dalam Jawatankuasa Penaja yang dipimpin oleh
 Sdr Nik Aziz Hassan dan juga dari pelbagai bangsa dan agama yang telah 
mera’ikan  hari jadi saya yang ke-80 dengan seminar penilaian kritis 
terhadap karya-karya saya. Saya mengucap berbanyak terima kasih kepada 
Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana sudi merasmikan upacara ini.  Kami 
mengucapkan terima kasih kepada pihak dewan yang membenarkan kami 
menggunakan dewan yang permai ini
Ucapan ini tidak kena-mengena dengan peringatan harijadi saya yang 
ke-80. Saya fikir sudah sampai masanya kita, rakyat Malaysia dan umat 
Islam di seluruh dunia, berdepan dengan realiti kita secara realistik 
dan bijaksana untuk menentukan masa depan kita semua, bukan sahaja untuk
 30 tahun akan datang, tetapi untuk selama-lamanya.
Saya bercakap ini langsung kepada elit kepimpinan politik dan 
intelektual dan kepada massa rakyat. Saya harap mereka ambil peduli.
Pendekatan, ini satu seruan untuk revolusi untuk menegakkan 
keadilan dan kebenaran. Contoh-contohnya sudah ada dalam sejarah: 
revolusi yang dilancarkan oleh nabi-nabi besar Ibrahim dan Muhammad, 
oleh Revolusi Amerika, Revolusi Perancis dan Revolusi Komunis, kedua-dua
 bengis dan berperikemanu-siaan. Kita mesti pilih yang kedua.
Terima kasih.
KASSIM AHMAD
16 Februari, 2014
1504, Persiaran Kulim Golf,
Kulim Golf & Country Resort,
09000 Kulim, Kedah Darul-Aman.
012-4291152/604-40318771
[1] Lihat sajak saya, “Satu Sumpahan”, dalam Kemarau di Lembah, Saudara Sinaran Brothers, Pulau Pinang, 1967. hlm. 46. 
 
[2] Lihat sajak “Pidato” dalam Ibid., hlm. 67 
 
[3] Lihat Kassim Ahmad, “Pembangunan Intelektual Bangsa” dalam Koleksi Pidato Penghargaan Siswazah Kehormat Konvensyen Universiti Kebangsaan Malaysia (Bangi: 1997) hlm. 87. 
 
[4] Lihat risalah saya, Kontroversi Hukum Hudud, Forum Iqra’, Pulau Pinang, 2002. 
 
[7] Sejarawan
 Inggeris Philip K. Hitti berkata tentang peristiwa ini, “Jika ada 
seseorang dalam dekad ketiga abad ketujuh berani meramalkan bahawa dalam
 satu dekad suatu kuasa yang tidak ditetahui dan tidak disangka dari 
tanah Arab yang masih dalam zaman gasar dan tidak dikenali akan muncul 
dan merempuh dua kuasa besar dunia pada ketika itu serta mewarisi 
Empayar Parsi dan merampas dari Empayar Baizantium tanah jajahannya yang
 elok, dia tentu akan dicop seorang gila. Namu demikian, itulah yang 
berlaku …” (Philip K. Hitti, History of the Arabs (Edisi ke-10: 1970: London), hlm. 142.) 
 
[8] Lihat Quran. Surah 63, ayat satu membatalkan syahadah kedua. 
 
[10] Bahawa
 rambut wanita bukan ‘aurat dan kepala wanita tidak ditutup disebut 
dalam Quran. Pertama, apabila mengambil wuduk kita perlu menyapu kepala.
 Ini menunjukkan kepala wanita tidak ditutup. Kedua, ayat Quran tentang 
pakaian wanita berbunyi: “Beritahu kepada wanita muslim untuk 
menundukkan mata mereka dan memelihara kehormatan mereka. Hendaklah 
mereka jangan memperlihatkan mana-mana anggota badan mereka, kecuali 
yang mustahak. Hendaklah mereka tutup dada mereka dan jangan buka 
kecuali di hadapan suami mereka, bapa mereka …” (Quran, 24: 30-31). 
Frasa “kecuali yang mustahak” di sini bermakna muka, tangan dan kepala. 
Apabila kita mengambil wuduk, muka dan tangan disuruh basuh dan kepada 
disuruh sapu. 
 
[11] Lihat Majid Khadduri (pent.) Islamic Jurisprudence: Shafi’I’s  Risalah, hlm 75-76. 
 
[12] Lihat Kassim Ahmad, Hadis—Satu Penilaian Semula, Media Intelek, Petaling Jaya, 1986,  hlm. 93. 
 
[13] Lihat Quran, 2: 225. 
 
[14] Lihat esei penulis bertajuk “The Madinah Charter – A Short Note” dalam blog penulis 
 
[15] Tentang menghukum dengan adil, rujuk 4: 58. Tentang membuat keputusan melalui perundingan, rujuk 42: 38. 
 
[19] Lihat Muhammad Yusoff Hashim, Kesultanan Melayu Melaka, Dewan Bahasa dan Pustaka (1990: Kuala Lumpur), hlm. 275. 
 
[20] Lihat B. W. Andaya dan L. Y. Andaya, A History of Malaysia (London: 1982); hlm. 37. 
 
[22]  Lihat Kassim Ahmad, Mencari Jalan Pulang, ZI Publications (2008: Petaling Jaya), hlm. 177. 
 
[24] Lihat Kassim Ahmad, Hadis: Jawapan Kepada Pengkritik,Media Indah, Kuala Lumpur, 1992, Bab 7. 
 
[25] Lihat Quran, 35: 32. 
 
[26] Ada
 beberapa ayat. Satu daripadanya 9: 33.  Cara hidup Islam sebenar itu 
sempurna dari semua segi, material, moral dan spiritual. Ini bukan saja 
bermakna tiada kezaliman, tetapi kejahilan dan kemiskinan juga tidak 
wujud lagi.