Pendahuluan
Hari ini hari istimewa bagi saya. Hari ini saya akan meluahkan isi
hati saya tanpa sekatan, insya Allah. Hari ini hari saya akan
mempertanggungjawabkan kehidupan saya di dunia. Saya ada satu dua kerja
lagi yang ingin saya lakukan , tetapi selepas hari ini, saya reda kalau
dipanggil Tuanku untuk diadili.
Saya tidak mendakwa saya seorang yang baik. Saya melakukan banyak
kesilapan dalam kehidupan saya. Saya jangka saya bukan keseorangan.
Tidak ada manusia yang sempurna. Hanya Tuhan yang sempurna. Tetapi saya
boleh mengatakan saya telah cuba hidup sebagai seorang patriot bagi
bangsa saya dan bagi bangsa manusia. [1]
Ketika saya seorang muda, saya bersumpah untuk berkata-kata dengan bebas. [2] Saya bersumpah saya akan mendedahkan segala kepalsuan. [3]
Semua orang tahu saya bermula sebagai seorang remaja berhaluan kiri
berjuang untuk rakyat marhaen menentang parti kebangsaan Melayu, UMNO,
yang pada waktu itu saya anggap reaksioner, walaupun akhirnya saya
pulang ke akar ke-Melayuan saya dan memasuki UMNO.
Pada 9 September tahun lalu, saya menjengkau umur 80 tahun tanpa
apa-apa perayaan. Hanya sahabat-sahabat saya di Kuala Lumpur, antara
lain Dr. Chandra Muzaffar, Sasterawan Negara Dato’ Baha Zain dan Nik
Aziz Hassan, telah bermuafakat untuk mera’ikan harijadi itu dengan satu
majlis penilaian kritis terhadap karya-karya saya. Majlis ini
dijadualkan pada 15 Februari, 2014. Dalam pada itu, saya telah
merancang untuk bercakap dalam satu Konferensi Politik Nasional tentang
halatuju negara kita untuk tiga puluh tahun akandatang. Ucapan ini
dijadualkan pada pada hari berikutnya, iaitu 16 Februari, 2014.
Inilah latar belakang majlis harijadi saya yang ke-80.
2. Keadaan Dunia Sekarang
Negara kita Malaysia sedang melalui satu zaman yang penuh
pancaroba. Sistem komunisme sudah runtuh pada akhir abad ke-20. Sistem
liberalisme yang kita anuti sekarang juga sedang runtuh di depan mata
kita—di Eropah dan Amerika Syarikat.
Keruntuhan sistem komunisme kerana sistem ini menafikan hak
kebebasan individu. Ia melebihkan hak kolektif, yang dipergunakan oleh
kepimpinan untuk melaksanakan sistem diktator! Sistem liberalisme
melebihkan hak kebebasan individu dengan menafikan hak kolektif.
Kedua-dua sistem ini melanggar konsep “sempadan Allah”, atau apa
yang disalah-ertikan sebagai “hukum hudud”. Konsep ini langsung tidak
ada kena-mengena dengan hukuman. Ia merujuk kepada suatu undang-undang
universal, iaitu dalam tiap-tiap perbuatan, manusia tidak boleh
melampaui batasan undang-undang alamiah. [4] Umpamanya,
dalam hal makan: mudarat kalau kita tidak makan, tetapi kalau kita
makan terlalu banyak pun mudarat juga. Demikianlah bagi tiap-tiap
perbuatan wujud suatu sempadan yang tidak boleh kita lampaui.
3. Masa Depan
Apa akan berlaku dalam masa 30 tahun akan datang? Apakah sistem
ganti yang harus kita pilih sekarang? Mengikut kitab suci yang terakhir
kepada manusia iaitu Quran, satu-satunya kitab suci yang dijamin oleh
Tuhan Sendiri [5], dan yang mengesahkan dan mengatasi semua kitab suci lain,[6] hanya
ada satu jalan yang lurus yang Dia restui di antara jalan-jalan yang
menyeleweng. Jalan-jalan yang menyeleweng itu disebut jalan-jalan mereka
yang Dia murkai, dan jalan-jalan mereka yang sesat.
Apakah jalan yang Dia murkai? Tuhan pasti murkai kumpulan-kumpulan
manusia yang memberontak terhadap-Nya. Dalam zaman moden, kumpulan itu
kaum marxis komunis yang menafikan Dia serta mengamalkan cara hidup yang
menafikan Dia. Dengan perkataan lain, dalam kehidupan mereka, mereka
menafikan dimensi-dimensi moral dan spiritual. Oleh kerana ini, cara
hidup ini berlawanan dengan undang-undang alamiah, dan pasti musnah.
Sistem komunisme sudah pun musnah.
Satu lagi jalan menyeleweng kita panggil sistem teokrasi, yakni
kepimpinan satu kasta paderi yang melantik diri mereka sendiri serta
mendakwa mentadbirkan negara atas nama Tuhan. Contohnya dari zaman
pertengahan Eropah, sistem Paus. Dalam dunia moden, Eropah sudah
menyingkirkan sistem Paus ini, tetapi dalam dunia Islam, negara Iran dan
Arab Saudi sedang melaksanakan sistem ini.
Nyatalah sistem ini gagal menyelesaikan
masalah-masalah sosio-ekonomi menghasilkan pekerjaan dan makanan untuk
rakyatnya dan dengan itu gagal menyelesaikan masalah-masalah lain dalam
masyarakat.
4. Negara Malaysia
Negara kita Malaysia, walaupun dikatakan negara Islam,
sebenarnya mengamalkan sistem liberalisme. Mengikut kata-kata Kerajaan
Pusat, ekonomi Malaysia baik dengan pengangguran sifar dan peratusan
inflasi pada tahap minima. Namun demikian, Malaysia boleh dikatakan
tiap-tiap hari menunjukkan ketegangan antara kaum dan agama. Apakah
caranya untuk menyelesaikan perkara ini secara muktamad ?
Jalan yang lurus yang dirujuk dalam surah Al-Fatihah tadi – apakah
jalan itu? Tadi telah kita nyatakan ada tiga jalan yang menyeleweng :
sistem marxis komunis, sistem teokrasi dan sistem liberalisme. Seperti
yang telah kita nyatakan, ketiga-tiga sistem ini telah atau sedang
menuju kehancuran. Maka semestinyalah masyarakat manusia dalam abad-abad
ke-21 dan mendatang mencari sistem jalan yang lurus ini. Dengan
perkataan lain, inilah sistem hidup yang dirujuk dalam Quran dalam surah
3 ayat 19, yang berbunyi, “Sesungguhnya agama yang Tuhan reda itu
Islam”.
5. Keadaan Orang Islam Sekarang
Orang Islam berjumlah 2.1 bilion di seluruh dunia. Bolehkah kita
katakan mereka semuanya mengikut cara hidup Islam yang sebenar?
Sekiranya benar, umat Islam hari ini harus berada pada kedudukan nombor 1
dalam dunia, seperti yang berlaku dalam sejarah. Sejarah mencatat dalam
zaman pemerintahan Uthman Ibni Affan, khalifah Islam ke-3, setelah 60
tahun Nabi Muhammad wafat , orang Arab yang tidak terkenal itu melonjak
naik menjadi kuasa nombor satu dalam dunia, mengalahkan Empayar Parsi
dan sebagian besar Empayar Baizantium, dua kuasa besar dunia pada zaman
itu. [7]
Tetapi umat Islam sekarang duduk di bawah daripada Britain,
Perancis, Amerika Syarikat, Rusia, China dan India, semuanya negara
bukan Islam.
6. Gerakan Pembaharuan Islam
Gerakan pembaharuan Islam moden, dikira dari Sheikh Muhammad Abduh
(m. 1903) dan Jamaluddin Al-Afghani (m. 1897) yang diharapkan untuk
membersihkan Islam dari kepercayaan-kepercayaan khurafat dan
membangkitkan semula Islam sudah berusia lebih 100 tahun, sedangkan umat
Islam masih di tahap bawah di belakang negara-negara yang kita sebut
tadi. Dengan sendirinya, ini bermakna umat Islam hari ini di seluruh
dunia tidak mengikut sistem hidup Islam seperti yang diajar oleh semua
nabi dan disempurnakan oleh Nabi Muhammad, penyudah segala nabi.
7. Kesilapan-kesilapan Umat Islam
Di manakah kesilapan-kesilapan besar mereka? Saya akan senaraikan beberapa kesilapan besar itu di sini.
(1) Umat Islam pada hari ini tidak mengikut ajaran-ajaran nabi
Muhammad dalam Quran. Inilah kesilapan yang besar yang telah mereka
lakukan. Mereka ikut satu kasta paderi yang dipanggil ulama, seperti
penganut-penganut agama Hindu dan Kristian dulu. Kasta paderi ini tidak
wujud dalam zaman Nabi dan empat khalifah rasyidun. Mereka muncul
kira-kira 300 tahun kemudian dan melantik diri mereka sendiri sebagai
pentafsir ugama kepada umat Islam.
(2) Khususnya, kesilapan-kesilapan itu boleh saya senaraikan seperti berikut:
(a) Mereka mendewa-dewakan pemimpin ugama yang mereka anggap
maksum dan yang telah memutuskan semua soalan dalam kehidupan mereka –
apa yang dikatakan ‘penutupan pintu ijtihad’. Dalam puak ahli sunnah wal
jamaah, empat pemimpin besar boleh dikenal pasti, iatu : Imam Shafi’e
(767-820), Imam Hanafi (699-767), Imam Hanbali (780-855) dan Imam Maliki
(711-795). Dalam mazhab Syiah, mereka ada imam-imam mereka pula.
Imam-imam ini telah mereka dewa-dewakan berlawanan dengan perintah Tuhan
melarang pendewaan seseorang pemimpin atau sarjana, dan, malah,
berlawanan dengan ajaran imam-imam besar itu sendiri.
(b) Mereka mendewa-dewakan Nabi Muhammad. Syahadah yang kedua itu satu bukti. [8] Juga
di kebanyakan rumah orang Islam, perkataan-perkataan ‘Allah’ dan
‘Muhammad’ ditulis sama besar dan sama paras. Apabila disebut nama
Muhammad, frasa ‘sa’al-Lallahu ‘alaihi wasallam’ (SAW) disebut sekali,
sedangkan apabila disebut nama nabi-nabi lain, disebut ‘alihissalam’.
Pada hal frasa SAW itu ditujukan juga kepada orang mukmin juga dalam
Quran. [9] Juga perkataan ‘salla/yusalli’ bermakna ‘restu’, ‘bantu’ dan ‘sokong’, bukan selawat, seperti yang dibuat sekarang.
(c) Perhatikan satu perubahan baru dalam ‘aurat wanita. Perkataan
‘aurat’ berasal dari bahasa Arab. Ertinya ‘kebogelan’. Tiga puluh tahun
dulu, wanita-wanita Islam tidak memakai tudung. Mereka pakai selendang,
sehelai kain yang mereka letak di bahu, atau pun di atas kepala tanpa
menutup semua rambut, kerana rambut bukan ‘aurat wanita. Menutup rambut
dengan bertudung bermakna udara bersih tidak dapat memasuki rambut.
Dengan itu rambut menjadi busuk. Dengan lain perkataan, ia tidak sihat.
Anehnya, wanita-wanita yang bertudung menganggap diri mereka lebih suci! [10]
Sebab-sebabnya nyata mengapa umat Islam jatuh. Mereka telah
mengabaikan ajaran-ajaran Tuhan yang sebenar serta mengikut
ajaran-ajaran kasta paderi.
Tiap-tiap generasi diperintah oleh Tuhan mengkaji semula
ajaran-ajaran pemimpin mereka yang terdahulu; yang betul diterima dan
diteruskan, yang salah ditolak. Inilah yang seharusnya dilakukan oleh
generasi-generasi Islam kemudian. Malangnya, penilaian semula ini tidak
dapat mereka lakukan persis kerana pendewaan tadi. Maka itu apabila saya
menulis buku Hadis – Satu Penilaian Semula pada tahun
1986, langit Malaysia runtuh menimpanya! Selama dua bulan, perbincangan
berlaku dalam televisyen, radio, akhbar dan majalah tentang buku ini.
Sesetengah menyokong saya dan sesetengah membantah. Selepas dua bulan,
buku ini diharamkan oleh pihak berkuasa atas hasutan pihak yang
berkepentingan.
Siapakah yang mewajibkan hadis sebagai satu sumber undang-undang
sama seperti Quran dalam masyarakat Islam? Jawabnya, Imam Shafi’e
(767-820). Beliaulah yang bertanggungjawab membuat doktrin baru
menyatakan hadis satu sumber hukum sama seperti Quran. [11] Sebelum
beliau, apa yang dikatakan hadis sudah muncul, tetapi bilangannya
sedikit sekali dan tidak diwajibkan diikut oleh umat Islam. Sejarah
mencatat khalifah-khalifah Abu Bakr, Omar Ibni Khattab, Uthman Ibni
Affan dan Ali Abi Thalib memiliki buku-buku nota yang mereka tulis
perkataan-perkataan dan perbuatan-perbuatan Nabi. Catitan-catitan ini
tidak banyak dan hanya menjadi ikutan, jika sesuai, tetapi tidak
diwajibkan.
Setelah doktrin baru oleh Imam Shafi’e ini diterima oleh masyarakat
Islam, timbullah pengumpul-pengumpul hadis seperti Imam Bukhari (m.
870), Imam Muslim (m. 875) dan lain-lain. Imam Bukhari dilaporkan telah
mengumpul 600,000 hadis dan beliau menapis hadis-hadis ini sehingga
akhirnya tinggal 7,275 hadis yang beliau isytiharkan sebagai hadis
sahih. [12]
ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia) melalui setiausaha agungnya
pada waktu itu, Encik ( sekarang Dr.) Sidek Baba, telah datang ke rumah
saya dan meminta satu dialog tentang buku saya. Saya memberi persetujuan
dengan syarat keputusan tidak diambil dalam dialog itu. Saya meletakkan
syarat itu kerana pegangan umat Islam kepada hadis sangat kuat dan
tidak boleh dihapuskan dalam masa sehari. Pihak ABIM bersetuju dengan
syarat itu. Malangnya, apabila dialog itu diadakan di Universiti Islam
Antarabangsa pada 28 Jun, 1986, saya terlupa untuk menyatakan kepada
majlis dialog itu tentang syarat yang saya kenakan. Apabila dialog itu
selesai, pihak ABIM telah mengeluarkan sehelai kertas dari saku ketua
mereka yang mencatat bahawa buku saya menyeleweng dari ajaran Islam dan
saya juga dianggap menyeleweng dari ajaran Islam sebenar!
Akibat dari dialog ini buku saya diharamkan oleh Kerajaan. Nyatalah
pengharaman buku ini satu muslihat yang sudah diatur oleh pihak yang
berkepentingan.
Kembali kepada soal Islam agama Persekutuan Malaysia atau Islam
sebagai agama rasmi, ingin saya menyatakan bahawa pernyataan ini dalam
Perlembagaan Malaysia menyalahi ajaran Quran dan menyalahi Piagam
Madinah yang digubal oleh Nabi Muhammad sendiri. Dari segi logika,
sesebuah negara-bangsa tidak ada ugama. Ugama dianut oleh penduduknya,
sama ada Islam, Buddhist, Hindu atau Kristian. Ajaran Quran
mengisytiharkan dengan jelas tidak ada paksaan dalam agama. [13] Ini bermakna warganegara Malaysia boleh menganut apa juga agama yang mereka suka tanpa halangan undang-undang.
Dalam Piagam Madinah, agama itu urusan penganut-penganutnya secara autonomi. [14] Ini
bermakna orang Muslim mentadbirkan urusan-urusan agamanya secara
autonomi. Demikian juga orang Buddhist, orang Hindu dan orang Kristian,
dan lain-lain. Dengan ini, tidak akan berlaku konflik atau ketegangan
antara agama dan kaum. Dengan ini perpaduan dan harmoni antara kaum di
Malaysia akan menjadi lebih mantap dan stabil.
Kembali kepada soal jalan yang lurus yang harus dipilih oleh rakyat Malaysia untuk dijadikan sistem hidup mereka, perkara utama tidak lain dan tidak bukan pemerintahan yang adil yang ditubuhkan melalui perundingan.[15] Sistem
dwi-parti yang kita import dari Eropah tidak sesuai, pada dasarnya,
dengan ajaran Islam. Kita diberikan Tuhan dua tangan: mengapa kita
gunakan satu tangan untuk merosakkan kerja satu tangan lain? Tidak
bolehkah kedua-dua tangan bekerjasama untuk melakukan kebaikan bagi
masyarakat kita? Jelaslah teori sekat dan imbang (Ing.: cek and balance) ini satu teori yang tidak ada kebenarannya.
Sebuah pemerintahan mestilah diwujudkan di Malaysia melalui kaedah
muafakat dan mentadbirkan negara-bangsa Malaysia dengan adil. Inilah
perintah Tuhan dan keperluan yang utama bagi rakyat Malaysia. Dengan
demikian, walaupun Malaysia dari segi sejarah, lahir dari Kesultanan
Melayu Melaka dalam abad ke-15, hari ini sejak kemerdekaan Persekutuan
Tanah Melayu (Malaya) pada tahun 1957, ia telah menjadi sebuah negara
berbilang kaum dan agama dengan semua kaum mempunyai hak yang sama.
Tadi telah saya nyatakan penyelewengan khusus yang telah dilakukan
oleh umat Islam itu memecahkan masyarakat kepada sistem agama dan sistem
sekular. Ini bersalahan dengan ajaran Nabi Muhammad dalam Quran yang
menggabungkan kedua-dua sistem ini secara harmonis.[16] Namun
demikian, ajaran Quran juga menasihatkan umat Islam mengutamakan
kediaman akhirat tanpa mengabaikan hak-hak mereka yang sah di dunia. [17]
Perkara yang akhir ini menunjukkan perbezaan antara dunia dan
akhirat. Alam akhirat itu tidak lain dari alam dunia ini di peringkat
yang lebih tinggi, yakni dari segi moral dan spiritual. Nyatalah satu
kasta paderi telah bertindak sebagai diktator kepada masyarakat Islam
tanpa membenarkan perbezaan fikiran. Perbuatan ini melanggar perintah
Tuhan yang terang yang berbunyi, “Dengar semua pendapat dan ikut yang
paling baik”.[18]
Harus diingat bahawa Islam yang datang ke dunia Melayu pada abad
ke-15 dan 16, Islam pasca kejatuhan Baghdad, yakni Islam yang telah
kalah. Walaupun ini fakta sejarah, telah dicatat oleh seorang sejarawan
Melayu bahawa kota pelabuhan Melaka dalam abad ke-15 sebuah kota
pelabuhan yang termasyhur di dunia, sama dengan Venice. [19]
Malah telah dinyatakan oleh penulis Portugis, Tome Peres, bahawa
Melaka pada zaman itu begitu penting dan kaya ia tiada lawannya di
dunia. [20] Dinyatakan
oleh sejarawan Melayu tadi, 84 bahasa dipertuturkan di pelabuhan Melaka
dan bahasa Melayu menjadi bahasa perantaraan atau lingua franca.
Fakta ini menyalahi anggapan kita yang pertama tadi. Kemungkinan besar
ada dua aliran Islam yang sampai ke Melaka dalam abad ke-14 dan 15.
Di awal tadi, telah kita petik
sebuah ayat suci yang berbunyi, “ Rasul akan berkata: ‘Tuanku, umatku
telah membelakangkan Quran ini. Kami juga telah mewujudkan musuh-musuh
bagi rasul-rasul kami dari kalangan mereka yang berdosa. Tuan kamu cukup
sebagai pembimbing dan penolong’”.[21]
Amaran yang dahsyat ini telah
wujud dalam Quran selama 1400 tahun lebih. Saya tidak pernah bertemu
dengan huraian yang panjang lebar atau sederhana panjang lebar tentang
makna ayat-ayat yang menakutkan ini.
Apabila ayat-ayat Quran dibaca, kerap kali kaum agamawan Islam
melagukan mereka dengan tajwid-majwidnya yang sungguh enak didengar.
Saya teringat zaman remaja saya apabila saya sendiri terpengaruh dengan
lagu-lagu Quran dibacakan. Saya telah mensifatkan perbuatan ini sebagai
kaedah yang paling bijak untuk menyembunyikan Quran kepada umat Islam,
yakni lagu mengatasi makna.[22]
Hari ini saya telah menjengkau umur 80 tahun. Saya berfikir inilah
masanya saya mahu bercakap secara langsung kepada kepimpinan politik dan
intelektual rakyat Malaysia dan umat Islam di seluruh dunia tentang
penyelewengan-penyelewengan yang telah mereka lakukan serta membetulkan
kesilapan-kesilapan kita supaya 30 tahun yang akan datang dan seterusnya
kita boleh mencapai jalan yang lurus yang telah diperintahkan oleh
Tuhan kepada kita.
Harus diingat bahawa pertama sekali Quran itu bimbingan untuk orang-orang yang bertakwa. [23] Bimbingan
ini hanya diberi oleh Tuhan sahaja kepada pencari-pencari yang jujur.
Jadi, rakyat Malaysia yang beragama Islam dan umat Islam di seluruh
dunia mestilah bertekad untuk mencari bimbingan ini dengan jujur.
Kedua, Quran itu bukan untuk dilagukan dengan
tajwid-majwidnya berdengung-dengung. Quran itu perutusan Tuhan yang
terakhir kepada dunia. Ia bimbingan kepada seluruh manusia. Kita mesti
ada satu kaedah yang saintifik untuk mentafsirkan ayat-ayat Quran itu
supaya ia benar-benar menjadi bimbingan kepada umat Islam dan seluruh
dunia. Kaedah saintifik ini pada dasarnya bermakna Quran itu menjelaskan
dirinya sendiri, yakni ayat mentafsirkan ayat, bukan seperti kaedah
tradisional yang mendakwa Hadis mentafsirkan Quran. [24]
Ketiga, kediktatoran kasta paderi (baca: ulama) harus
disingkirkan. Kaedah saintifik dan demokratik, yakni perdebatan yang
rasional dan bijaksana, mestilah diutamakan.
Keempat, Quran itu mesti ditafsirkan semula oleh generasi
yang mendatang, mewarisi tafsiran yang betul dan menolak tafsiran yang
silap daripada generasi yang terdahulu.
Kelima, mengikut ajaran Tuhan Sendiri, Quran itu diwariskan
kepada mereka yang Tuhan pilih daripada pelbagai kalangan, bersalahan
dengan pegangan tradisional bahawa pewaris Quran itu para ulama. [25]
Keenam, nyatalah sistem hidup yang dianjurkan oleh Quran itu
bersifat republikan dan demokratik. Ini nyata daripada asal-usul nabi
Muhammad dan empat khalifah ar-rasyidun ( Abu Bakr, Omar Ibni Khattab,
Uthman Ibni Affan dan Ali Abi Talib). Apabila Muawiyah merampas kerajaan
Islam dari tangan kaum republikan dan demokratik ini, bermulalah zaman
feudalisme dalam sejarah Islam awal membawa kepada abad ke-20.
Umat Islam perlu kembali kepada zaman republikan dan demokratik
yang telah kita sebutkan. Hanya dengan demikian, Islam yang sebenar akan
kembali semula ke dalam dunia serta memimpin umat Islam dan seluruh
dunia kepada alam kejayaan dan kebahagiaan, seperti yang dijanjikan oleh
Tuhan kepada umat Islam. [26]
8. Langkah-langkah Yang Perlu Diambil
UMNO, parti nasionalis, yang menjadi tulang belakang pemerintahan
di Malaysia sekarang berasal sebagai sebuah gerakan massa pada 1946.
Namun tiap benda yang hidup akan merosot. Demikianlah UMNO telah
merosot. Hanya anggota UMNO dan rakyat Malaysia seluruhnya melalui
Perhimpunan Agung UMNO boleh membaiki UMNO, melalui apa yang
diperintahkan oleh Tuhan
“menyerukan kebaikan dan melarang kejahatan”. Perhimpunan Agung
UMNO Tahunan mestilah menjadi sekat dan imbang atau penjaga kepada
sistem pemerintahan di Malaysia. Rasuah, pembaziran dan kejahatan lain
mestilah dikoreksi dari dalam oleh kita yang sedar sendiri. Inilah
yang harus dilakukan oleh rakyat Malaysia. Inilah juga yang harus
dilakukan oleh umat Islam di seluruh dunia. Inilah juga yang harus
dilakukan oleh rakyat di seluruh dunia. Tiada seorang Imam Mahdi atau
Nabi Isa turun kali kedua boleh tolong mereka. Manusia tiada penolong
dan pembantu kecuali diri mereka sendiri. Dengan izin Allah!
Saya telah menyatakan pada awal tadi bahawa saya akan meluahkan isi
hatinya tanpa sekatan. Saya ingin menyatakan dengan rendah hati bahawa
saya memohon kepada Tuhan Azza-Wajalla memberi taufik dan hidayah kepada
saya dan menjauhkan diri saya daripada kesombongan dan kebanggaan.
Saya ingin menyatakan terima kasih yang tidak terhingga banyaknya
kepada sahabat-sahabat saya dalam Jawatankuasa Penaja yang dipimpin oleh
Sdr Nik Aziz Hassan dan juga dari pelbagai bangsa dan agama yang telah
mera’ikan hari jadi saya yang ke-80 dengan seminar penilaian kritis
terhadap karya-karya saya. Saya mengucap berbanyak terima kasih kepada
Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana sudi merasmikan upacara ini. Kami
mengucapkan terima kasih kepada pihak dewan yang membenarkan kami
menggunakan dewan yang permai ini
Ucapan ini tidak kena-mengena dengan peringatan harijadi saya yang
ke-80. Saya fikir sudah sampai masanya kita, rakyat Malaysia dan umat
Islam di seluruh dunia, berdepan dengan realiti kita secara realistik
dan bijaksana untuk menentukan masa depan kita semua, bukan sahaja untuk
30 tahun akan datang, tetapi untuk selama-lamanya.
Saya bercakap ini langsung kepada elit kepimpinan politik dan
intelektual dan kepada massa rakyat. Saya harap mereka ambil peduli.
Pendekatan, ini satu seruan untuk revolusi untuk menegakkan
keadilan dan kebenaran. Contoh-contohnya sudah ada dalam sejarah:
revolusi yang dilancarkan oleh nabi-nabi besar Ibrahim dan Muhammad,
oleh Revolusi Amerika, Revolusi Perancis dan Revolusi Komunis, kedua-dua
bengis dan berperikemanu-siaan. Kita mesti pilih yang kedua.
Terima kasih.
KASSIM AHMAD
16 Februari, 2014
1504, Persiaran Kulim Golf,
Kulim Golf & Country Resort,
09000 Kulim, Kedah Darul-Aman.
012-4291152/604-40318771
012-4291152/604-40318771
Alamat e-mel <darul_hikmah33@yahoo.com.my>
[1] Lihat sajak saya, “Satu Sumpahan”, dalam Kemarau di Lembah, Saudara Sinaran Brothers, Pulau Pinang, 1967. hlm. 46.
[2] Lihat sajak “Pidato” dalam Ibid., hlm. 67
[3] Lihat Kassim Ahmad, “Pembangunan Intelektual Bangsa” dalam Koleksi Pidato Penghargaan Siswazah Kehormat Konvensyen Universiti Kebangsaan Malaysia (Bangi: 1997) hlm. 87.
[4] Lihat risalah saya, Kontroversi Hukum Hudud, Forum Iqra’, Pulau Pinang, 2002.
[5] Lihat Quran, 15: 9.
[6] Quran, 5: 48.
[7] Sejarawan
Inggeris Philip K. Hitti berkata tentang peristiwa ini, “Jika ada
seseorang dalam dekad ketiga abad ketujuh berani meramalkan bahawa dalam
satu dekad suatu kuasa yang tidak ditetahui dan tidak disangka dari
tanah Arab yang masih dalam zaman gasar dan tidak dikenali akan muncul
dan merempuh dua kuasa besar dunia pada ketika itu serta mewarisi
Empayar Parsi dan merampas dari Empayar Baizantium tanah jajahannya yang
elok, dia tentu akan dicop seorang gila. Namu demikian, itulah yang
berlaku …” (Philip K. Hitti, History of the Arabs (Edisi ke-10: 1970: London), hlm. 142.)
[8] Lihat Quran. Surah 63, ayat satu membatalkan syahadah kedua.
[9] Rujuk Quran, 33: 43.
[10] Bahawa
rambut wanita bukan ‘aurat dan kepala wanita tidak ditutup disebut
dalam Quran. Pertama, apabila mengambil wuduk kita perlu menyapu kepala.
Ini menunjukkan kepala wanita tidak ditutup. Kedua, ayat Quran tentang
pakaian wanita berbunyi: “Beritahu kepada wanita muslim untuk
menundukkan mata mereka dan memelihara kehormatan mereka. Hendaklah
mereka jangan memperlihatkan mana-mana anggota badan mereka, kecuali
yang mustahak. Hendaklah mereka tutup dada mereka dan jangan buka
kecuali di hadapan suami mereka, bapa mereka …” (Quran, 24: 30-31).
Frasa “kecuali yang mustahak” di sini bermakna muka, tangan dan kepala.
Apabila kita mengambil wuduk, muka dan tangan disuruh basuh dan kepada
disuruh sapu.
[11] Lihat Majid Khadduri (pent.) Islamic Jurisprudence: Shafi’I’s Risalah, hlm 75-76.
[12] Lihat Kassim Ahmad, Hadis—Satu Penilaian Semula, Media Intelek, Petaling Jaya, 1986, hlm. 93.
[13] Lihat Quran, 2: 225.
[14] Lihat esei penulis bertajuk “The Madinah Charter – A Short Note” dalam blog penulis
[15] Tentang menghukum dengan adil, rujuk 4: 58. Tentang membuat keputusan melalui perundingan, rujuk 42: 38.
[16] Quran, 2: 201.
[17] Quran, 28: 77.
[18] Quran, 39: 18.
[19] Lihat Muhammad Yusoff Hashim, Kesultanan Melayu Melaka, Dewan Bahasa dan Pustaka (1990: Kuala Lumpur), hlm. 275.
[20] Lihat B. W. Andaya dan L. Y. Andaya, A History of Malaysia (London: 1982); hlm. 37.
[21] Quran, 25: 30-31.
[22] Lihat Kassim Ahmad, Mencari Jalan Pulang, ZI Publications (2008: Petaling Jaya), hlm. 177.
[23] Quran, 2: 2.
[24] Lihat Kassim Ahmad, Hadis: Jawapan Kepada Pengkritik,Media Indah, Kuala Lumpur, 1992, Bab 7.
[25] Lihat Quran, 35: 32.
[26] Ada
beberapa ayat. Satu daripadanya 9: 33. Cara hidup Islam sebenar itu
sempurna dari semua segi, material, moral dan spiritual. Ini bukan saja
bermakna tiada kezaliman, tetapi kejahilan dan kemiskinan juga tidak
wujud lagi.
No comments:
Post a Comment