Wednesday, 16 January 2013

Kuasa Autonomi Antara Hak dan Kebebasan.



Sudah menjadi lumrah kehidupan di mana pihak yang kuat mempunyai kelebihan untuk menguasai yang lemah. Dalam konteks politik, dapat dilihat pada tindakan rejim autokratik seperti negara China yang menguasai wilayah Tibet dan Xinjiang.

Mereka melakukannya dengan kekerasan yang menyaksikan pertumpahan darah disamping turut melakukan rompakan ke atas barangan perhiasan keagamaan yang berharga. Rentetan itu jugalah memaksa Dalai Lama hidup di dalam buangan.

Begitu juga Russia dengan menggunakan kekuatan ketenterannya berjaya menakluk wilayah Caucasus. Limpahan hasil bumi dan kedudukan strategik merupakan tujuan utama pihak pemerintah di Beijing dan Moscow melakukan tindakan sedemikian rupa.

SUDAH NASIB MENTIMUN DIGOLEK DURIAN

Namun, terdapat banyak lagi kisah di kawasan lain di seluruh dunia di mana wilayah atau daerah yang mempunyai kelebihan dipaksa untuk menjadi orang suruhan pihak yang lebih kuat.
Tidaklah adil untuk mengatakan bahawa wilayah-wilayah kecil tersebut tidak mampu berdikari ataupun kurang berkemampuan untuk berdiri sendiri.

Namun, kedatangan orang luar ke tanah air mereka telah merampas hak-hak seperti hasil royalti, perundangan, kebebasan bersuara, pendidikan dan lain-lain.

Di sinilah terdapatnya alternatif penganugerahan kuasa autonomi. Contoh terbaik mungkin dapat dilihat di Hong Kong yang merupakan hub kewangan, pelabuhan dan perniagaan terbesar Asia setanding dengan Singapura.
Perjanjian 100 tahun antara pihak British dengan kerajaan China telah membolehkan pemodal dan pelabur dari Barat membangunkan pulau kecil tersebut dengan tahap kepesatan yang begitu pantas sekali.
Selepas perjanjian tamat pada pertengahan 90-an status autonomi Hong Kong telah diberikan oleh parti komunis tanah besar untuk mengekalkan peranannnya sebagai sumber pengeluar cukai terbesar.


Justeru, konsep tersebut tidaklah asing untuk diaplikasikan khususnya di wilayah yang mempunyai kekuatan dari segi hasil bumi yang banyak, populasi yang berkemahiran dan berpendidikan serta mempunyai keluasan tanah yang besar.

Penduduk tempatan haruslah diberi mandat 100% tanpa perlu merujuk kepada orang luar khusunya dalam isu membabitkan kepentingan mereka. Pepatah ada menyebut “hanya jauhari yang mengenal manikam”.
Kerajaan pusat amatlah digalakkan untuk membantu tetapi campur-tangan yang keterlaluan hanya akan menimbulkan rasa kurang-senang khususnya kemasukan budaya yang dianggap bertentangan dengan pendirian rakyat tempatan.

Hak dan kebebasan merupakan elemen terpenting jatuh dan bangunnya sesuatu bangsa. Perkongsian pula harus dijalankan dalam kadar yang sederhana tetapi masih adil dan telus. Sebarang kelebihan adalah anugerah Tuhan kepada umat yang dikehendakinya dan tidak harus dipersoalkan.

Melalui kuasa autonomi, nilai-nilai berdikari akan dipupuk dan kemajuan yang dikecapi akan dinikmati bersama tanpa ada sebarang rasa curiga. Bukankah kita manusia dicipta berbeza-beza untuk saling kenal-mengenali dan hormat-menghormati ?

Semoga pembaca dapat menilai dan berfikir sendiri masih relevankah konsep ini dilaksanakan ataupun hanya sekadar coretan marhaen penulis.

Artikel disiar pada 14/09/2012 oleh Di Luar Kotak!




Saturday, 5 January 2013

23 Tanda Hari Kiamat Yang Semakin Hampir





23 Tanda Hari Kiamat Yang Semakin Hampir


1. Sembahyang diabaikan (diringan-ringankan).

2. Keinginan nafsu syahwat digalakkan dan berleluasa disebarkan melalui iklan, buku, gambar, risalah atau filem.

3. Penjenayah menjadi pemimpin dan kebanyakannya jahil mengenai agama dan banyak memberi fatwa yang menyesatkan pengikutnya.

4. Perkara benar menjadi salah dan salah menjadi benar. Sukar untuk membezakan perkara halal dan haram kerana yang haram dianggap halal serta sebaliknya.

5. Berbohong menjadi satu keperluan dalam hidup dan menganggap jika tidak berbohong sukar untuk hidup senang.

6. Membayar zakat (harta, perniagaan dan pendapatan) dianggap beban.

7. Orang yang hidup mengikut kehendak agama ditindas dan hati mereka sentiasa merintih kerana maksiat berleluasa tetapi mereka tidak mampu mencegahnya.

8. Turun hujan di luar musimnya dan hujan tidak memberi keuntungan kepada makhluk di muka bumi.

9. Fenomena lelaki berkahwin dengan lelaki (homoseksual) dan perempuan berkeinginan kepada perempuan (lesbian) semakin menjadi-jadi.

10. Perempuan menguasai lelaki.

11. Anak-anak mengingkari dan menderhaka ibu bapa (ibu bapa menjadi kuli dan anak menjadi tuan).

12. Kawan baik dilayan dengan kasar, manakala musuh diberi layanan baik. Kawan disangka lawan dan musuh dianggap sahabat serta memusuhi orang yang mengajak berbuat kebaikan.

13. Dosa dipandang ringan malah bangga melakukannya seperti zina, minum arak, bergaul bebas antara lelaki dan perempuan, meninggalkan sembahyang, mendedahkan aurat dan berjudi.

14. Masjid dihias indah tetapi kosong, terpulau, berkunci dan banyak berlaku kecurian barang masjid yang berharga.

15. Ramai yang sembahyang tetapi munafik dan berpura-pura. Di dalam sembahyang berjanji akan mengikut suruhan Allah tetapi di luar sembahyang melanggar perintahNya,

16. Akan datang golongan manusia dari Barat menguasai mereka yang lemah (iman) dan ramai terpengaruh dengannya seperti mengikut cara mereka berpakaian, bergaul dan suka berpesta.

17. Al-Quran dicetak dengan indah tetapi hanya dijadikan perhiasan dan jarang dibaca serta diamalkan kehendaknya.

18. Amalan riba berleluasa hingga orang alim pun terjebak sama.

19. Darah manusia tidak berharga, sering berlaku pembunuhan, peperangan dan jenayah.

20. Penganut Islam tidak mahu mengamalkan suruhan agama dan tidak mahu membela serta menyebarkannya.

21. Akan bertambah banyak penyanyi wanita (wanita yang tidak beriman adalah senjata syaitan yang baik).

22. Ramai orang kaya pergi umrah dan haji dengan tujuan melancong, yang sederhana pergi untuk berniaga dan yang miskin bermaksud meminta sedekah.

Apa Itu Arab Spring? Revolusi Rakyat Dan Campur Tangan Luar – Siri 2

0217-syria-assad-protesters_full_600

Jatuhnya satu persatu negara Islam di rantau Asia Barat dilihat kini seperti domino. Dunia telah melihat perkara ini kerana saban hari, aksi demonstrator yang melakukan tunjuk perasaan, tindakan ketenteraan yang menggunakan altileri, kematian penduduk awam yang tidak bersalah di kawasan yang bergolak, rumah kediaman yang musnah, dan pelbagai lagi seolah-olah mengambarkan suasana di Bumi Arab ini sentiasa tidak aman.

Menyentuh mengenai campur tangan asing, agensi berita antarabangsa dikejutkan mengenai pendedahan oleh seorang wartawan yang telah melaporkan bahawa Arab Spring yang berlaku merupakan agenda terancang Israel. Menurut pendedahan tersebut, bukti penglibatan negara zionis berkenaan adalah melalui kertas kerja menteri Pertahanan Israel. Di dalam kertas kerja berkenaan turut didedahkan juga penyaluran senjata kepada pemberontak. Ini kerana, beberapa negara Arab disekitar Israel dirasakan ancaman kepada keselamatan mereka jika negara yang dimaksudkan bukan pro-Amerika.

KERUH


Kejatuhan rejim di Tunisia dan Mesir adalah wajar manakala timbul kemusykilan apabila Arab Spring ini merebak ke negara seperti Libya dan juga Syria. Tindakan NATO keatas negara Libya setelah diluluskan oleh PBB. Menurut kenyataan, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki Mun “tindakan perlu diambil keatas Muammar Gaddafi kerana beliau membunuh rakyatnya sendiri” sekaligus menyaksikan peluru berpandu Tomahawk menghentam bumi Libya. Selain membantu pemberontak untuk merealisasikan hasrat mereka untuk merampas kuasa. Sedangkan apa yang dilakukan Gaddafi itu adalah mahu menyelamatkan pemerintahannya daripada dirampas pemberontak.

Tindakan Gaddafi membunuh pemberontak diklasifikasikan PBB sebagai membunuh rakyatnya sendiri. Oleh itu timbul kemusykilan kerana pemberontakan yang tercetus di Libya bukan keseluruhan rakyatnya berhasrat demikian. Sedangkan kemelut dalaman sesebuah negara, boleh diselesaikan oleh mereka sendiri. Keputusan PBB diketahui umum sememangnya dipengaruhi Amerika.

Keperibadian Gaddafi amat berbeza sekali dengan Hosni Mubarak. Kerana sebelum ini beliau dan Saddam Hussein adalah pemimpin yang paling lantang sekali menghentam Amerika semasa pemerintahan bapa Bush. Keadaan ini amat menyukarkan Amerika untuk berurusan proses membeli minyak di negara pengeluar terbesar sumber itu, selain berhadapan dengan harga yang tinggi. Maka, tindakan untuk menukar pemerintah adalah salah satu cara yang mereka lakukan dengan beralasankan “demokrasi”.


Sebab itu kuasa besar dunia seperti China dan Russia tidak menyenangi tindakan yang diambil oleh Amerika. Mereka merasakan tindakan berkenaan merupakan cubaan untuk memonopoli perdagangan minyak antarabangsa dimana mereka terpaksa membeli sumber berkenaan melalui Amerika. Perkara ini terbukti benar, kerana Amerika dikatakan menyedut keluar minyak dari bumi Iraq melalui saluran daripada terusan Suez. Sebab itulah mereka tidak menghiraukan kekacauan yang berlaku di Iraq kerana adalah bukan matlamat sebenar mereka. 

Bilakah tarikh tentera-tentera yang mereka tempatkan untuk berundur, turut menjadi tanda tanya.

Manakala penjualan senjata yang dieksport oleh Russia kepada negara-negara seteru Amerika turut terjejas. Hal ini kerana, eksport senjata merupakan salah satu nilai tambah kepada ekonomi Russia. Lagipun Amerika tidak menjual kelengkapan persenjataan kepada negara seteru mereka kerana dikhuatiri akan mengancam Israel. Tanpa berselindung, Presiden Russia menyatakan bahawa tidak perlu penukaran rejim di Syria seperti yang dicadangkan oleh Amerika. Sekaligus menunjukkan sokongannya terhadap Presiden Syria Bassar Al-Assad.

ARTIKEL INI TELAH DISIARKAN OLEH ; 04 OKTOBER 2012. DI LUAR KOTAK!!!



Apa Itu Arab Spring? Revolusi Rakyat dan Campur Tangan Luar – Siri 1


Revolusi secara takrifannya ialah perubahan dari takuk yang lama kepada sesuatu yang baru. Dalam konteks Revolusi Musim Bunga Arab yang bermula di Tunisia (18 Desember 2010-14 Januari 2011), Mesir (25 Januari 2011-30 Jun 2012) dan Syria (15 Mac 2011-kini) menyaksikan tumbangnya pemimpin-pemimpin diktator yang telah memerintah sejak sekian lama.

Dapat disaksikan perpaduan dalam kalangan rakyat digembleng sepenuhnya untuk menjadi satu kuasa majoriti melebihi kekuatan ketenteraan kerajaan. Tidak dinafikan juga, pengaruh laman sosial dan campur-tangan kuasa asing yang mula menunjukkan taringnya untuk menjaga kepentingan mereka di negara-negara terbabit.

DARI RAKYAT KEPADA RAKYAT

Tunisia merupakan negara perintis. Negara kecil berkepadatan 10 juta penduduk ini dibelenggu masalah kemiskinan, pengangguran, rasuah, tiada kebebasan bersuara dan harga makanan yang tinggi. Segalanya bermula dari peristiwa seorang pemuda bernama Mohamed Bouazizi (26 tahun) yang bertindak membakar diri setelah gerai sayurannya dirampas oleh pihak berkuasa.

Merasakan keadilan tidak berpihak pada dirinya, beliau mengambil langkah berani tersebut dan akhirnya meninggal dunia pada 4 Januari 2011. Rentetan itu, beberapa siri protes telah diadakan di bandar-bandar utama seperti Tunis, Sousse, Meknassy dan Sfax bagi mendesak Presiden Zine El Abidene Ben Ali meletak jawatan. 

Kemarahan rakyat terhadap beliau akhirnya dilepaskan setelah 24 tahun berkuasa tanpa sebarang tentangan.
Demonstrasi pada peringkat awal hanyalah disertai rakyat biasa namun kemudiannya disertai oleh pegawai kerajaan dan juga anggota polis dan tentera yang berpangkat tinggi. Demonstrasi tersebut akhirnya berjaya menumbangkannya walaupun cubaan mematahkannya menggunakan kekerasan. Beliau kini hidup dalam buangan di Arab Saudi.

Kesan domino akhirnya melimpah ke bumi Firaun, Mesir. Sejak sekian lama, kepimpinan negara dipegang oleh Presiden Hosni Mubarak yang juga merupakan panglima angkatan tentera. Seperti Tunisia, negara ini juga mengalami masalah yang hampir sama akibat dari penyelewengan kuasa dan rasuah yang berleluasa dalam kalangan pegawai kerajaan. Dataran Tahrir menjadi saksi Revolusi Mesir.

Selama hampir setahun, ribuan bahkan jutaan rakyat berhimpun untuk menyatakan sokongan terhadap demokrasi dan menumbangkan kerajaan sedia ada. Polis dan pengikut setia kepada Hosni Mubarak menggunakan kekerasan untuk menyuraikan mereka namun semangat kekentalan dan ketabahan menjadi azimat berharga. Sepanjang tempoh tersebut, dianggarkan sebanyak 6467 cedera dan 846 terkorban.

Situasi ini menekan kepimpinan Presiden Hosni Mubarak dan akhirnya beliau secara rasmi meletak jawatan pada 11 Februari 2011. Kepimpinan kerajaan diambil-alih oleh pihak tentera sementara menunggu pilihan raya diadakan. Bermulalah era baru dalam kancah politik Mesir apabila Mohamad Mursi dari Parti Ikhwanul Muslimin secara rasminya dilantik menjadi Presiden melalui pilihan raya yang sah dan adil.


Situasi di Libya dan Syria pula amat berlainan. Kedegilan Presiden Bashar Al-Assad (Syria) dan Muammar Gaddafi (Libya) daripada berundur telah menyebabkan perang saudara tercetus di antara pemberontak dan tentera pro-kerajaan. Bandar Benghazi (Libya) dan Homs (Syria) menjadi kubu kuat puak penentang. Dapat dilihat campur tangan dari kuasa Barat yang berniat jahat. Jet-jet pejuang NATO yang diketuai Britain dan Perancis telah membantu pemberontak Libya dengan membedil sasaran utama tentera Gaddafi.

Di Syria, tekanan dari Amerika Syarikat berjaya dihalang dengan bantuan Russia dan China melalui kuasa veto yang dimiliki. Tidak lupa juga Iran dan Hezbollah yang merupakan sekutu kuat Presiden Bashar. Walaupun perang di Libya sudah berakhir dengan tewasnya Muammar Gaddafi, kesudahannya amatlah menyedihkan. Beliau dibelasah sehingga mati di bandar kelahirannya, Sirte. Tiada keadilan mahupun perbicaraan diberi sebaliknya rakyat Libya sendiri yang rela untuk menjadi kuda tunggangan kuasa besar tanpa memikirkan akibat daripada tindakan mereka.

ARTIKEL INI TELAH DISIARKAN OLEH ; 10 SEPTEMBER 2012. DI LUAR KOTAK!!!


Saturday, 24 November 2012

GAMBAR KESELURUHAN DEWAN MASYARAKAT TAMAN MUTIARA, BAU.




adab
















Dewan Masyarakat Taman Mutiara, Indah Khabar Dari Rupa. Adakah Hanya Sekadar Perubahan Kosmetik?



Dewan Masyarakat Taman Mutiara, Indah Khabar Dari Rupa. Adakah Hanya Sekadar Perubahan Kosmetik?

adab

Encik Syariff Bin Busrah Presiden Pertubuhan Peradaban dan Warisan Melayu Sarawak menunjukan papan tanda yang menerangkan butir-butir seperti berikut Nama Projek : Naiktaraf BalaiRaya Taman Mutiara, Jambosan, Bau. Tarikh Mula Projek : 3 Oktober 2011, Tarikh Siap Projek 2 Disember 2011.


Dewan yang dicat kelabu itu kelihatan cantik apabila dilihat dari hadapan, namun apabila setelah masuk kedalamnya, perkataan yang terpacut keluar “Ya Allah!…teruknya dewan ini.” Kami terkejut besar melihat dalam dewan berkenaan. Masakan tidak, dari depan sehinggalah kebelakang, kiri dan kanan, termasuk juga diatas, semuanya punah dan musnah teruk dikerjakan manusia-manusia yang tidak bertanggungjawab dimana turut dibantu oleh burung-burung yang telah memenuhi ruang lantai dengan najis.

“Cantik di luar sahaja dewan ini.” kata Encik Marzuki sambil tersenyum. Kami meninjau keseluruhan dewan, penuh kehairanan dan marah. Ini kerana, mengikut papan tanda didepan pintu masuk menjelaskan “Nama Projek : Naiktaraf BalaiRaya Taman Mutiara, Jambosan, Bau. Tarikh Mula Projek : 3 Oktober 2011, Tarikh Siap Projek 2 Disember 2011″.

  

Dinding dan lantai diconteng dengan perkataan dan ilustrasi lucah, botol-botol arak dipecahkan sehinggakan kaca-kacanya bertaburan. Tingkap dewan semuanya hilang, hanya tinggal bingkainya sahaja. Siling-siling pecah dan berlubang. Astaka dewan atau pentas dewan, lantainya terkopak dan reput.

Tandas, usah ditanya, jelas musnah angkara mereka-mereka yang bodoh. Parit di tepi dewan, tersumbat dan ditumbuhi lalang. Kawasan sekitar dewan, semak samun dan lalang semuanya telah meninggi. Ini adalah bukti bahawa kawasan ini langsung tidak dijaga dan diurus dengan baik.

Menurut Encik Marzuki, penduduk di Taman Mutiara lansung tidak mengetahui siapakah yang diberi tanggungjawab untuk menjaga dewan ini. Ujar beliau lagi, penambahbaikan sepertimana yang dinyatakan di papan tanda hanyalah dicantikkan dengan cat sahaja, tidak termasuk di dalamnya.

Melalui pengamatan penulis, tidak hairanlah mengapa bangunan kelihatan seperti baru sahaja dicat, manakala aktiviti penambaikkan lansung tidak menunjukan sebarang tanda hendak dilakukan, bahkan peralatan dan kelengkapan juga tidak kelihatan.

Perubahan yang nampak dilakukan cumalah perubahan kosmetik. Tambah beliau lagi, sejak tamatnya projek naik taraf kononnya dilakukan, pihak penduduk belum lagi mengguna dewan ini untuk sebarang aktiviti.

Bagi penduduk yang beragama Islam, mereka menghadapi kesukaran untuk berkongsi dewan masyarakat ini. Hal ini kerana, penduduk perumahan Taman Mutiara terdiri daripada pelbagai kaum, seperti Bumiputera dan Cina. Sudah tentu tempat ini diadakan pelbagai aktiviti keramaian dan kemungkinan digunakan sebagai tempat untuk sambutan perayaan.

Jadi, aktiviti yang melibatkan keagamaan Islam sudah pasti tidak dapat dilaksanakan berikutan keadaan tempat yang berkemungkinan dicemari benda-benda haram. Kerana makanan dan minuman bagi Bumiputera dan Cina amatlah bertentangan dengan orang Islam.

Bagi mendapatkan jawapan kepada kedua-dua isu di Taman Mutiara seperti surau dan dewan masyarakat ini, kami mengunjungi Pejabat Daerah Bau untuk berjumpa Ketua Residen bagi mendapatkan jawapan. Namun demikian, Ketua Residen yang ditemui enggan memberi sebarang komen.

Menurut Encik Syariff Bin Busrah Presiden Pertubuhan Peradaban dan Warisan Melayu Sarawak, apabila diminta memberi komen terhadap isu yang berlaku di Taman Mutiara ini menjelaskan, “Melayu di Bau dianak tiri oleh wakil rakyat dan bukannya kerajaan pemerintah.. mana NGO – NGO Melayu?? Melayu ditindas dengan kedudukan alasan minoriti .. kedudukan generasi semakin ketinggalan dengan minda hanya dibawah tempurung.. wakil-wakil rakyat,pegawai-pegawai daerah,ketua-ketua masyarakat yang ada di Bau harus lebih peka dengan keadaan semasa dan keperluan sekeliling.. perkara yang berlaku seperti dewan masyarakat Taman mutiara dan tuntutan pembinaan surau adalah keperluan masyarakat setempat. Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku.”

Ujar beliau lagi, “Ini jelas menampakan kelemahan yang ketara dipihak wakil rakyat dan pegawai daerah serta ketua-ketua masyarakat di Bau.. saya tidak mahu bercakap mengenai kedudukan politik, tetapi keadaan yang terlihat didepan mata adalah penilaian sebenar.. saya tidak juga bercakap hanya untuk masyarakat-masyarakat Melayu sahaja tetapi untuk masyarakat keseluruhan yang ada di Bau.”

ARTIKEL INI TELAH DISIARKAN PADA 16/11/2012 DI WWW.SUARAGENERASIBARU.COM

DI LUAR KOTAK!!! "HILANG CERITA TIMBUL KISAH"

Wednesday, 21 November 2012

15 Tahun Surau Menumpang Di Tadika Yang Dicemari Bau Najis Babi


15 Tahun Surau Menumpang Di Tadika Yang Dicemari Bau Najis Babi

surau

Encik Syariff Bin Busrah, Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu dan Warisan Negeri Sarawak menunjukan alat pembesar suara Surau Al-Muttaqin.

Amat mengejutkan apabila mengetahui penduduk Islam di Perumahan Taman Mutiara mengerjakan sembahyang di tadika perpaduan. Menurut penduduk yang ditemu bual, mereka telah menghadapi masalah ini sudah 15 tahun iaitu sejak mereka mula-mula menetap di situ. Tambah menghairankan, apabila pembesar suara untuk melaungkan azan, digantung di tepi tadika. Saya mengunjungi tempat ini apabila mendapat makluman daripada ahli Pertubuhan Peradaban Melayu dan Warisan Negeri Sarawak yang tinggal tidak jauh dari tempat ini.


Bilik kecil inilah yang menempatkan Surau Al-Mutaqqin.



Semasa penulis dan beberapa ahli termasuk Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu dan Warisan Negeri Sarawak, Encik Syariff Bin Busrah tiba di Tadika Perpaduan yang menjadi surau tumpangan, kami disajikan bau najis yang kuat. Lalu diajukan soalan kepada Encik Marzuki Bin Hashim, Pengerusi Surau Darul Muttaqin dan beliau memberitahu punca kepada bau berkenaan kerana Peusahaan Pertenakan Babi. Ditanya lagi oleh penulis, berapa jauh jarak kawasan berkenaan, mereka menjawab “hanya 5 minit perjalanan”.


Encik Marzuki Bin Hashim, Pengerusi Surau Al-Mutaqqin menunjukan tapak yang dijanjikan untuk pembinaan Surau kepada Encik Syariff Bin Busrah.

Encik Marzuki berkata, “kami sudah terbiasa dengan masalah bau ini, dan sejak dahulu lagi sudah ada (bau najis babi) dan hidung ini dah lali kata orang” katanya sambil berseloroh. Masalah bau najis babi ini dikatakan menyerang pada hari panas dan berangin, sekaligus menggangu penduduk yang mahu mengerjakan sembahyang di Surau berkenaan dan juga memberi kehidupan seharian.



Ruang inilah yang digunakan sekiranya jumlah jemaah ramai.

Kami kemudiannya memasuki Tadika berkenaan dan ditunjukan bilik kecil yang menempatkan ruang untuk dijadikan Surau tumpangan. Didalamnya, terbentang sejadah, peralatan siaraya, Al-Quran serta sejadah yang telah dilipat. Dibelakangnya beberapa telekung untuk kaum wanita mengejarkan solat, kemas digantung. Beberapa gulung tikar sejadah turut didirikan, jelas menunjukan aktiviti keagamaan sering kali diadakan di sini. Kesemua kelengkapan dan peralatan untuk beribadah adalah sumbangan penduduk Islam di taman perumahan itu.


Ruang yang terhad itu hanya mampu dipenuhi 3 saf jemaah sahaja. Sekiranya tidak mencukupi, jika melibatkan jemaah yang lebih banyak seperti tarawih pada bulan puasa, mereka akan menggunakan ruangan di luar bilik berkenaan iaitu tempat khusus untuk kanak-kanak tadika. Mujur kedatangan kami adalah musim cuti. Kami kemudiannya meninjau sekitar tadika berkenaan, agak menyedihkan apabila ruang pembelajaran di bilik berasingan berhadapan masalah kebocoran di siling. Bilik itu dikunci, dan turut diletakan baldi sebagai tempat tadahan untuk menakung titisan air supaya lantai tidak basah.


Bilik yang boleh mengundang bahaya kepada keselamatan kanak-kanak.

Kami kemudiannya ditunjukan lokasi tanah yang dijanjikan untuk pembinaan surau, iaitu hanya berada bersebelahan dengan tadika berkenaan. Geran tanah sudah diluluskan, dan surat juga telah diserahkan kepada Pejabat Residen Bau. Tetapi sehingga sekarang, belum ada jawapan bilakah tarikh pembinaan surau dijalankan. Menurut Encik Marzuki, segala kelengkapan dan peralatan pembinaan sudah berada di Jabatan Kerja Raya (JKR) dan jumlah keseluruhannya adalah RM220 ribu. Tetapi mereka masih lagi memerlukan RM280 ribu untuk menyiapkan surau. Ini kerana, RM220 ribu hanya pembinaan asas sahaja dan tidak termasuk kos kemasan kelengkapan surau. Jumlah keseluruhan untuk surau adalah sebanyak RM500 ribu.
Kami meninjau kawasan yang dikatakan tapak untuk pembinaan surau, terletak betul betul di sebelah tadika, keadaanya masih lagi semak samun menunjukan tiada satu pun pembinaan yang dilakukan. Apabila ditanya, adakah wakil rakyat tahu akan perkara ini, mereka menjawab “Kami pernah menjemput beliau untuk datang semasa majlis berbuka puasa lama dahulu, dan beliau ada memberi sumbangan, tetapi sehingga sekarang kami masih lagi menumpang di sini (Surau)”.
Perkara ini sepatutnya mendapat perhatian daripada pihak berwajib sejak dahulu lagi, ini kerana tempat beribadat untuk agama lain seperti Tokong dan Gereja kelihatan hampir siap sepenuhnya bahkan berdekatan antara satu sama yang lain. Dan mengapa pula Surau untuk penduduk Islam disini terpaksa dibiarkan menanti sejak sekian lama.

Artikel disiar pada 15/11/2012 - 9:20 am oleh Di Luar Kotak!

www.suaragenerasibaru.com


KELAB PENYOKONG POLIS

GELOBANG ANAK MUDA