Wednesday, 16 January 2013

Kuasa Autonomi Antara Hak dan Kebebasan.



Sudah menjadi lumrah kehidupan di mana pihak yang kuat mempunyai kelebihan untuk menguasai yang lemah. Dalam konteks politik, dapat dilihat pada tindakan rejim autokratik seperti negara China yang menguasai wilayah Tibet dan Xinjiang.

Mereka melakukannya dengan kekerasan yang menyaksikan pertumpahan darah disamping turut melakukan rompakan ke atas barangan perhiasan keagamaan yang berharga. Rentetan itu jugalah memaksa Dalai Lama hidup di dalam buangan.

Begitu juga Russia dengan menggunakan kekuatan ketenterannya berjaya menakluk wilayah Caucasus. Limpahan hasil bumi dan kedudukan strategik merupakan tujuan utama pihak pemerintah di Beijing dan Moscow melakukan tindakan sedemikian rupa.

SUDAH NASIB MENTIMUN DIGOLEK DURIAN

Namun, terdapat banyak lagi kisah di kawasan lain di seluruh dunia di mana wilayah atau daerah yang mempunyai kelebihan dipaksa untuk menjadi orang suruhan pihak yang lebih kuat.
Tidaklah adil untuk mengatakan bahawa wilayah-wilayah kecil tersebut tidak mampu berdikari ataupun kurang berkemampuan untuk berdiri sendiri.

Namun, kedatangan orang luar ke tanah air mereka telah merampas hak-hak seperti hasil royalti, perundangan, kebebasan bersuara, pendidikan dan lain-lain.

Di sinilah terdapatnya alternatif penganugerahan kuasa autonomi. Contoh terbaik mungkin dapat dilihat di Hong Kong yang merupakan hub kewangan, pelabuhan dan perniagaan terbesar Asia setanding dengan Singapura.
Perjanjian 100 tahun antara pihak British dengan kerajaan China telah membolehkan pemodal dan pelabur dari Barat membangunkan pulau kecil tersebut dengan tahap kepesatan yang begitu pantas sekali.
Selepas perjanjian tamat pada pertengahan 90-an status autonomi Hong Kong telah diberikan oleh parti komunis tanah besar untuk mengekalkan peranannnya sebagai sumber pengeluar cukai terbesar.


Justeru, konsep tersebut tidaklah asing untuk diaplikasikan khususnya di wilayah yang mempunyai kekuatan dari segi hasil bumi yang banyak, populasi yang berkemahiran dan berpendidikan serta mempunyai keluasan tanah yang besar.

Penduduk tempatan haruslah diberi mandat 100% tanpa perlu merujuk kepada orang luar khusunya dalam isu membabitkan kepentingan mereka. Pepatah ada menyebut “hanya jauhari yang mengenal manikam”.
Kerajaan pusat amatlah digalakkan untuk membantu tetapi campur-tangan yang keterlaluan hanya akan menimbulkan rasa kurang-senang khususnya kemasukan budaya yang dianggap bertentangan dengan pendirian rakyat tempatan.

Hak dan kebebasan merupakan elemen terpenting jatuh dan bangunnya sesuatu bangsa. Perkongsian pula harus dijalankan dalam kadar yang sederhana tetapi masih adil dan telus. Sebarang kelebihan adalah anugerah Tuhan kepada umat yang dikehendakinya dan tidak harus dipersoalkan.

Melalui kuasa autonomi, nilai-nilai berdikari akan dipupuk dan kemajuan yang dikecapi akan dinikmati bersama tanpa ada sebarang rasa curiga. Bukankah kita manusia dicipta berbeza-beza untuk saling kenal-mengenali dan hormat-menghormati ?

Semoga pembaca dapat menilai dan berfikir sendiri masih relevankah konsep ini dilaksanakan ataupun hanya sekadar coretan marhaen penulis.

Artikel disiar pada 14/09/2012 oleh Di Luar Kotak!




No comments:

Post a Comment

KELAB PENYOKONG POLIS

GELOBANG ANAK MUDA