Monday, 12 May 2014

Persepsi dan Fitnah dalam Politik yang kian sebati


HAKIKAT politik di negara kita hari ini adalah politik benci membenci. Kebencian ditimbulkan untuk menjatuhkan lawan. Persepsi diciptaagar satu pihak membenci pihak lain.

Dalam sejarah Islam, hal seumpama ini telah lama berlaku. Syaitan adalah makhluk pertama yang memulakan sejarah persepsi, apabila ALLAH SWT memerintahkannya untuk sujud kepada Adam AS, syaitan berkata, “Engkau ciptakan aku daripada api sedangkan Engkau ciptakan Adam daripada tanah.” Persepsi ini lahir daripada syaitan sendiri.

Dalam peristiwa pergaduhan dua anak Adam, terhasil daripada persepsi. Pembunuhan pertama di atas muka bumi, di mana si abang membunuh adiknya juga lahir daripada persepsi yang salah, apabila si abang melihat seolah-olah bapanya, Nabi Adam AS berlaku tidak adil apabila memberikan adik perempuannya kepada adik lelakinya.

Persepsi bawa perpecahan

Persepsi pada zaman Nabi Nuh AS yang ALLAH SWT beritakan di dalam al-Quran, apabila dakwah Nabi Nuh AS sendiri ditolak oleh anaknya dan kaum keluarganya. Anak Nabi Nuh AS berpersepsi buruk dan menganggap ayahnya gila, kerana membina sebuah bahtera dalam keadaan tiada hujan, banjir, laut, pantai, mahupun sungai.

Zaman Nabi Ibrahim AS apabila Baginda memusnahkan satu berhala besar pada ketika itu, mereka berpersepsi negatif terhadap Nabi Ibrahim AS, lalu Baginda AS berkata kepada mereka: "Tanyakanlah kepada berhala-berhala yang kamu sembah; adakah ia mampu berkata- kata, adakah ia mampu memaklumkan siapakah yang memusnahkannya? Berhala itu sendiri tidak mampu menolong dirinya."

Begitulah sejarah persepsi ini sangat banyak ALLAH nukilkan di dalam al-Quran al-Karim. Cuma apa yang ingin kita bincangkan di sini, bagaimana sikap kita berdepan dengan persepsi?

Kita sebagai pengamal media sosial, menulis di alam maya dan memberikan pendapat dan pandangan. Kita tidak mahu pandangan dan pendapat kita itu membentuk suasana membenci sesama Muslim, membenci sesama saudara, membenci sesama rakyat Malaysia.

Saya ingin memberi contoh untuk kita lihat bagaimana persepsi itu timbul. Kalau kita lihat, banyak isu yang berlaku dalam negara ini. Apabila berlaku sesuatu isu, dukacitanya sebahagian agamawan dan ilmuwan melontarkan persepsi untuk membangkitkan kemarahan rakyat tanpa menganalisis dan tanpa mengkaji.

Hal ini kemudian dipetik oleh golongan yang tidak menganalisis dan tidak mengkaji lalu terus menyebarkannya. Impak dan kesannya, fitnah pasti akan tersebar. Apabila pihak kerajaan telah menjawab dan menjelaskan hal yang sebenar, kritikan terus dilontarkan, persepsi terus dilontarkan.

Kebanyakan masyarakat tidak meneliti sesuatu isu. Dia mendapat apa-apa berita dia langsung menyebarkan. Ini khususnya bagi golongan muda, antara umur 20-40 tahun, yang mana kalau dilihat dalam analisis, 82 peratus daripada mereka menggunakan media sosial untuk komunikasi dan mendapatkan berita dan maklumat.

Maka menjadi tugas kita, bukan tugas untuk menjadi benteng kepada kezaliman, atau benteng kepada kesalahan, tetapi tugas untuk memperbetulkan keadaan, memperbaiki keadaan. Ini sikap agama, sikap yang dibawa Nabi Muhammad SAW.

Cara berdepan persepsi


Pada zaman Nabi Muhammad SAW, pernah berlaku fitnah berat apabila dilontarkan persepsi seperti isteri Nabi Muhammad SAW yang paling dicintai, Aisyah RA berzina dengan sahabat Baginda.

Cerita yang kita semua maklumi, Aisyah RA tertinggal di belakang rombongan dan dilihat pulang bersama dengan sahabat Nabi SAW daripada padang pasir. Ini kerana Aisyah mencari rantainya yang jatuh sehingga tidak sedar rombongan telah berangkat.

Apabila sampai golongan munafiqun Madinah, mereka menyebarkan persepsi yang boleh jadi Aisyah melakukan sesuatu yang tidak elok. Persepsi itu tersebar dan akhirnya menyebabkan keluar kenyataan Aisyah berzina.

Apa tindakan Nabi Muhammad SAW yang perlu dijadikan contoh? Adakah Baginda SAW melatah? Adakah Nabi Muhammad SAW melakukan tindakan yang tidak sewajarnya seperti mengamuk? Tidak. Baginda SAW menanti wahyu, kerana wahyu adalah kebenaran yang pasti.

Simboliknya di sini, selama mana hal itu tidak pasti, jangan bercakap atau bertindak. Selama mana hal tersebut tidak ada bukti yang kukuh, jangan mengulas atau menyebarkan. Ini nasihat yang kita berikan kepada semua pengamal media sosial.

Juga peristiwa Sa’ad bin Abi Waqqash yang diriwayatkan dalam hadis sahih riwayat Imam Al-Bukhari. Pada zaman pemerintahan Umar bin Al-Khattab RA, Saad bin Abi Waqqas dilantik menjadi gabenor di Syam.

Ada kalangan rakyat di bawah pimpinannya menuduh beliau dengan beberapa tuduhan; solatnya tidak bagus, melakukan kezaliman, tidak adil, tidak layak menjadi pemimpin.

Hal ini tersebar dan sampai ke telinga Umar bin Al-Khatthab RA yang ketika itu menjadi khalifah di Madinah. Umar bin Al-Khattab turun pergi bertemu dengan Saad bin Abi Waqqas, bertanya beliau sendiri untuk memastikan berita itu benar atau tidak.

Umar tidak hanya terima penjelasan daripada Saad sahaja. Dia mengajak Saad pergi dari masjid ke masjid seluruh Syam bertanya kepada seluruh ahli kariah, benarkah tuduhan-tuduhan yang dilemparkan ke atas Saad itu.

Semua ahli kariah tidak ada yang mengiyakan tuduhan tersebut, melainkan hanya di sebuah masjid, bangun seorang lelaki dan mengatakan tuduhan yang tidak baik ke atas Saad. Apa perkataan Saad bin Abi Waqqash? Beliau berdoa, “Ya ALLAH, sekiranya orang ini berdusta, panjangkanlah umurnya, dan panjangkanlah kefaqiran, dan timpakanlah bala fitnah ke atasnya.”

Setelah beberapa tempoh yang panjang, orang bertemu dengan lelaki ini dalam keadaan usianya cukup tua, dalam kefakiran yang sangat teruk, duduk di tepi jalan, dan apabila wanita-wanita lalu, dia meraba wanita tersebut. Apabila orang bertanya, dia mengatakan “Aku terkena doa Saad bin Abi Waqqas. (Riwayat Al-Bukhari)

Maka sebab itu, kita hendaklah berhati-hati dengan persepsi, kerana tidak mustahil orang akan percaya kepada persepsi tersebut, dan ingatlah doa Saad bin Abi Waqqas, doa orang yang dituduh, doa orang yang dizalimi.

Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Takutilah kamu terhadap doa orang yang dizalimi. Doanya akan naik kepada ALLAH bagaikan percikan api.” (Sahih. Riwayat Al-Hakim)

Oleh itu, apabila ada orang yang cuba sebar persepsi, tanya kepadanya adakah dia pasti, adakah dia memiliki bukti? Nabi Muhammad SAW bersabda: “Bukti itu adalah (wajib) atas orang yang mendakwa (menuduh)” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Demikian Islam secara khususnya menggariskan kepada kita, apabila datang sesuatu isu atau dakwaan, kita perlukan bukti terlebih dahulu.

Jika tidak pasti, maka prinsip dan sikap kita adalah kembali kepada firman ALLAH yang bermaksud: “Jangan kamu berpendirian dengan sesuatu yang kamu tidak ada pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semua itu akan dipertanggungjawabkan.” (Surah Al-Isra: 36)

Orang Islam percaya akan ada hari perhitungan dan pembalasan, dihitung segala amal perbuatan manusia. Sebab itu banyak ayat al-Quran dan hadis, dihubungkan iman kepada ALLAH dengan iman kepada hari akhirat.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa beriman kepada ALLAH dan hari akhirat, maka katakanlah perkataan yang baik ataupun diamlah.” (Bukhari dan Muslim)

No comments:

Post a Comment

KELAB PENYOKONG POLIS

GELOBANG ANAK MUDA