Monday, 12 May 2014
Soal gaji Kerajaan harus prihatin dengan masalah rakyat
SEDAR atau tidak, terasa berat atau tidak apabila sebagai rakyat biasa yang berpendapatan di sekitar RM2,000 sebulan berhasrat untuk beli sebuah rumah yang sederhana untuk keluarga kerana ketika ini sebuah rumah teres satu tingkat yang mempunyai tiga bilik sudah menjangkau RM200,000 sebuah dan teres dua tingkat pula sudah menjangkau RM400,000 sebuah.
Hendak buat pinjaman RM200,000 bagi rumah teres satu tingkat pun sudah membebankan dan itu pun kalau layak kerana dengan harga sebanyak itu pinjaman perlu dibayar RM1,500 sebulan.
Kalau gaji hanya RM2,500 sebulan bagaimana hendak menampung perbelanjaan kehidupan harian seisi keluarga?
Bayangkan untuk perbelanjaan yang boleh dikatakan berpatutan bagi seisi keluarga seramai enam orang sekurang-kurangnya kita mesti ada RM3,000 sebulan barulah ada kelegaan sedikit tetapi kalau setelah ditolak bayaran ansuran bulanan untuk rumah sudah mencecah RM1,500 apalah yang tinggal kalau sekiranya gaji hanya setakat RM2,500.
Itu tidak termasuk bayaran ansuran kereta dan perbelanjaan sekolah anak-anak yang masih kecil lagi.
Tambah lagi bayaran ansuran untuk rumah sahaja perlu ambil masa selama 25 tahun ataupun 30 tahun untuk diberes.
Pekerja di negara ini tidak boleh lagi diberikan gaji RM1,000 ataupun RM2,000 sebulan tetapi mesti sekurang-kurangnya RM5,000 seorang untuk pastikan rakyat mendapat kehidupan yang mampu untuk menanggung sebuah keluarga yang sederhana.
Kita kena rangkakan dari sekarang bagaimana dan macam mana untuk mengatasi masalah kewangan setiap keluarga terutama mereka yang makan gaji.
Untuk menjadi sebuah negara maju, kebajikan rakyat mesti diambil kira terutama sekali tentang pendapatan mereka dan pastikan apabila negara sudah maju dan makmur, rakyat mesti juga ikut seiring dan sekata dengan kemajuan negara tersebut dan bukannya negara menjadi maju tetapi rakyat ketinggalan jauh kebelakang.
Kita kena terima hakikat bahawa kesempurnaan kehidupan sesebuah keluarga adalah bergantung sejauh mana ketua keluarga itu mampu membina dan membentuk dengan mempunyai aset untuk berdikari.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment