Sunday 29 July 2012

Sarawak : Internet Tidak Begitu Maju, Menyeluruh Dan Pesat.




Penggunaan kemudahan jalur lebar di kawasan bandar di bumi kenyalang peratusannya semakin meningkat. Gagal mencapai jaringan itu adalah satu perkara yang mustahil. Hal ini kerana, penempatan penduduk di kawasan Bandar adalah tersusun dan sebarang halangan pula tiada. Oleh sebab itu, kemudahan ini terdapat di mana-mana dan mudah diperolehi.

Keadaan yang amat baik ini, telah membantu memudahkan syarikat telekomunikasi menyalurkan perkhidmatan jalur lebar mereka. Cuma masalah kepantasan jalur lebar sahaja dicadangkan perlu dinaik taraf tanpa perlu dikenakan sebarang cas tambahan.

Bagi mereka yang menggunakan Broadband mudah alih pula, perkara yang mustahil ialah mendapat full bar dikawasan luar bandar. Dapat dua atau tiga bar sudah boleh dikira beruntung berbanding di sesetengah kawasan luar Bandar dan pendalaman. Liputan yang tidak meluas, bukan sahaja berlaku kepada pengguna internet bahkan talian telefon bimbit juga turut menghadapi masalah yang sama.

Geografi Fizikal

Keadaan muka bumi yang mencabar  telah menjadi rintangan dalam usaha memperluas liputan jalur lebar ke seluruh bumi kenyalang. Cabaran fizikal yang terpaksa dihadapi seperti gunung, bukit bukau, sungai, hutan tebal, selain berhadapan kepadatan jumlah penduduk di sesebuah kawasan yang dikatakan tidak mencukupi. 


Manakala, kos untuk menyebarkan jalur lebar ke semua bahagian di negeri Sarawak pula, amat tinggi.
Jika diperhatikan, masalah kepadatan jumlah penduduk ini adalah berpunca daripada penempatan penduduk itu sendiri yang tidak tersusun secara sistematik.

Penempatan yang terpisah oleh muka bumi sehingga sukar untuk diakses masih lagi wujud di beberapa bahagian. Hal ini kerana, kepelbagaian etnik penduduk bumi kenyalang yang sangat jelas berbeza dari segi pegangan agama dan kepercayaan, pertuturan, adat resam, menjadi faktor mengapa kemudahan jalur lebar tidak meluas penggunaannya di Sarawak.

Perkara ini dijelaskan dengan mengambil contoh penempatan orang Iban adalah di rumah panjang, begitu juga dengan orang Bidayuh. Namun mereka tidak duduk sebumbung walaupun ciri-ciri rumah panjang yang mereka duduki mempunyai banyak persamaan. 


Hal ini kerana, mereka mempunyai banyak perbezaan antara satu sama lain dan hanya bentuk kediaman sahaja yang hampir serupa. Jadi penempatan orang Iban dan Bidayuh sudah semestinya terpisah mengikut daerah ataupun kampung. Situasi ini, bukan sahaja berlaku kepada mereka bahkan turut berlaku kepada etnik-etnik yang lain.

Disebabkan itu, untuk membangunkan kemudahan jalur lebar secara menyeluruh di Sarawak boleh dikategorikan sangat perlahan. Manakala, usaha dari pemerintah pula dilihat “bergerak, bertungkus lumus dan bukannya bergelut”.

Kesedaran

Bukan bodoh mahupun jahil mengenai IT cuma kemudahan itu sahaja yang tidak sampai. Jadi, apalah gunanya memeliki komputer jika internet tiada.

Perkara yang jelas menjadi isu adalah kewujudan jurang yang besar. Jurang yang dimaksudkan ialah jurang untuk mendapatkan informasi dan maklumat oleh penduduk luar bandar dan pendalaman.

Isu ini telah menjadi antara masalah yang sering diluahkan di sesi dialog Program Sembang Mesra Belia di kawasan luar bandar dan pendalaman. 


Jadi, mereka memohon kepada pihak berwajib untuk mencari kaedah terbaik dalam memperluaskan kemudahan jalur lebar sekaligus menghapuskan jurang pengetahuan informasi maklumat antara penduduk.

Jelas, mereka juga tidak mahu ketinggalan. Luahan mereka itu sebenarnya telah membuktikan bahawa, mereka juga berhasrat untuk bersama-sama bergerak seiring bersama agenda kerajaan dalam proses pembangunan negara.

No comments:

Post a Comment

KELAB PENYOKONG POLIS

GELOBANG ANAK MUDA