Wednesday, 21 May 2014

Benarkah Semut mendapat gula-gula baru?


Perkembangan terkini melibatkan SPDP yang menyertai TERAS agak menarik untuk dilihat melalui sudut yang pelbagai.

Tetapi apa yang menarik perhatian saya, apabila ketua NGO Semut di Sarawak yang juga Ketua SPDP Pending Audie Chua menyertai TERAS bersama kira-kira 400 orang ahlinya.

Dengan penyertaan Audie ke dalam TERAS secara tidak lansung membawa sekali jentera Semut yang dimana sebelum ini berada di dalam SPDP.

Apakah dengan perkembangan terbaru ini, menunjukkan semut sudah mendapat gula-gula baru?.

Adakah modus operandi Semut sama seperti sebelum ini ataupun bertukar mengikut keperluan TERAS?

Perjuangan Semut bagaimana?

Mencerna Apa Itu Transformasi


SUATU kaji selidik yang dikendalikan oleh Merdeka Centre mendapati 52 peratus daripada responden yang dikaji selidik tidak tahu tentang program transformasi ekonomi dan daripada 48 peratus yang tahu, 80 peratus daripada mereka memberitahu tidak tahu banyak tentang program tersebut.

Kurang daripada setengah 47 peratus daripada mereka yang dikaji selidik menganggap program-program transformasi ini akan membawa negara kita ke arah negara berpendapatan tinggi.

Ada dua pilihan kepada yang berkenaan untuk melayan maklum balas ini. Pertama, tidak usah dipedulikan kerana maklum balas begini tidak penting dan hanya akan mematahkan semangat mereka yang berfahaman bahawa transformasi ini adalah satu-satunya usaha yang bakal membawa perubahan besar. Kedua, mengambil kira maklum balas ini kerana mereka yang memberikan maklum balas pada hari terbuka program transformasi tempoh hari mempunyai kepentingan sendiri.

Kalau hendak diambil kira maklum balas ini, perlulah sesuatu dilakukan supaya maklumat yang penting sampai kepada fahaman rakyat seperti yang dikehendaki.

Dalam ilmu komunikasi penghantar mesej tidak boleh membuat andaian yang penerima maklumat mempunyai kerangka rujukan sama seperti penghantar maklumat. Banyak maklumat yang dihantar boleh disalah interpretasi atau tafsir atau ditokok tambah mengikut kerangka rujukan si penerima.

Dalam kajian tersebut dinyatakan walaupun sudah banyak maklumat disebarkan tentang program transformasi ekonomi ini tetapi masih rendah lagi tahap kefahaman rakyat. Ini bermakna banyak lagi maklumat yang perlu disampaikan kepada rakyat.

Mungkin roadshow ke setiap negeri perlu diadakan supaya wakil-wakil dari kampung dan daerah dapat menghadiri ceramah ini. Lapisan masyarakat yang bakal dijemput ini tentulah berbeza dengan mereka yang hadir pada hari terbuka tempoh hari.

Apakah penting atau tidak pentingnya rakyat biasa memahami apa yang dilakukan? Atau mereka yang terbabit dengan pelaksanaan program ini sahaja yang perlu ambil tahu, seperti penjawat awam dari peringkat atas sehingga bawah. Mereka ini bakal melaksanakan program-program berjiwa besar.

Kemudian kita juga berhadapan dengan penyebar maklumat yang tidak dipelawa seperti di dalam blog-blog dan alam siber.

Mereka ini sedikit sebanyak akan melentur pemikiran masyarakat awam. Mahasiswa adalah satu-satunya kumpulan rujuk yang berpengaruh yang membaca blog-blog ini dan bila balik bercuti menceritakan kepada ibu bapa mereka fahaman mereka yang tidak semestinya pengertian yang dikehendaki oleh pihak yang bertanggungjawab.

Dua minggu lalu, saya ada menulis tentang risiko program besar-besaran ini.

Pertama risiko daripada pelaksanaannya dan kedua risiko dari segi kewangan. Walaupun kerajaan dijangka membelanjakan lapan peratus daripada RM1.3 trilion dalam masa 10 tahun ini bererti sebanyak RM104 bilion perlu digembeling. Kita memerlukan pertumbuhan tidak kurang enam peratus setiap tahun sehingga 10 tahun untuk mencapai hasrat menjadi negara berpendapatan tinggi. Pertumbuhan ini banyak bergantung kepada respons daripada sektor swasta kita.

Kita tidak boleh berharap sangat dengan pelabur asing kerana pelabur asing ini banyak juga kerenah mereka dan kalau mereka tahu yang kita ini terlampau ‘terdesak’ sangat, mereka tentu akan jual mahal. Tinggallah syarikat kita yang diharap akan menjana pertumbuhan yang dijangka itu. Apakah mereka ini akan sanggup bertukar haluan dan mengarahkan pelaburan mereka balik ke sini?

92 peratus daripada RM1.3 trilion ialah satu angka yang besar. Mereka yang terbabit dengan projek-projek kemasukan ini akan terpaksa menjual bon kepada orang ramai dari luar dan dalam negeri untuk membiayai projek-projek mereka. Ambil contoh MRT yang bernilai RM36 bilion, tentu sebahagian daripada pakej kewangan pembiayaan melibatkan penjualan bon untuk tempoh matang beberapa tahun.

Baik orang luar mahupun orang dalam negeri, mereka akan menjual bon sebagai salah satu jalan pembiayaan. Tidak ada seorang pun yang akan meletakkan ‘hard cash’ untuk sesuatu projek, kecuali mungkin PNB dengan menara 100 tingkatnya.

Ada baiknya kita melihat apa yang berlaku di Dubai dengan pelbagai rancangan mega mereka yang akhirnya terbengkalai dan bon mereka tidak dapat ditebus balik. Kini, sesetengah hartanah di sana dijual pada paras 20 peratus nilai asal mereka.

Dubai juga mempunyai hasrat untuk menjadi tempat yang terulung di Timur Tengah dengan ramai orang bank berkejar ke sana memberikan pinjaman sehinggalah ‘belon’ hartanah mereka pecah.

Siapakah yang bakal mendapat manfaat daripada Menara Warisan 100 tingkat tersebut misalnya? Macam bangunan KLCC hendak menyewa untuk ruang pejabat pun ramai yang tak mampu. Kemudian ruang untuk jualan, berapa kerat sangat orang Melayu yang mampu berniaga di sana.

Sewa tetap akan terus naik sehinggalah tidak terdaya untuk menyewa lagi. Sebagai suatu institusi yang bertanggungjawab dengan pelaburan, bukankah PNB patut melihat peluang-peluang untuk mengembangkan sayap mereka keluar negara dalam bidang-bidang yang menguntungkan dan berkongsi pulangan daripada pelaburan luar tersebut dengan pemegang unit.

Kita lihat dalam tahun 2008 dulu semasa krisis kewangan global, banyak institusi antarabangsa seperti Citicorp, UBS, Morgan Stanley tersungkur sehingga memerlukan penyelamat. Kita patut mengambil peluang tersebut dan memperluaskan portfolio pelaburan kita ke luar negara, terutama sekali yang mampu memberikan pulangan yang menguntungkan. Memanglah hartanah pun suatu pelaburan tetapi di mana letaknya bidang kepakaran PNB? Hartanah atau pelaburan portfolio?

Tuesday, 20 May 2014

Menyingkap perjuangan UMNO menongkah arus


Kini genaplah 68 tahun usia Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO. Parti keramat yang lahir daripada ketentuan tujuan dan matlamat iaitu atas perjuangan ABATA; agama, bangsa, tanah air dan bukannya kepentingan peribadi atau kelompok tertentu. UMNO juga parti yang mempunyai keabsahan untuk dijenamakan sebagai ‘parti rakyat yang tulen’ kerana terbina atas aspirasi dan dokongan rakyat, bukannya kehendak individu yang mempergunakan pentas rakyat.

Selama hampir tujuh dekad, UMNO konsisten dan masih tetap sama - berorientasikan rakyat dan berpaksikan asas perjuangan yang tidak pernah berubah. Hakikatnya, pegangan dan istiqamah kita kepada keluhuran perjuangan inilah yang telah menjadi asas kekuatan dan pemangkin sokongan majoriti rakyat kepada UMNO.

Sebagaimana yang diungkapkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menyempurnakan perasmian Rumah UMNO Taiping pada 8 Mei lalu, sekiranya diterjemahkan usia 68 tahun ini kepada manusia, kekuatannya mungkin tidak segagah ketika muda tetapi berbeza dengan UMNO yang semakin kukuh dan kuat.

Sungguhpun kerusi Parlimen yang dimenangi Barisan Nasional (BN) berkurangan daripada 140 pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 kepada 133 pada PRU Ke-13 yang lalu, namun kerusi dimenangi UMNO meningkat daripada 79 kepada 88 kerusi.

Pada masa sama, Najib juga mengingatkan bahawa UMNO perlu sedar akan cabaran yang dihadapi supaya proses muhasabah diri, menambah baik dan melaksanakan transformasi sepanjang masa bagi menentukan parti itu terus relevan. Inilah tuntutan penting dan keutamaan yang perlu dilaksanakan oleh jentera UMNO di setiap peringkat.

Perubahan besar landskap dunia dari pelbagai aspek termasuk iklim politik membawa bersama pelbagai fenomena yang menuntut adaptasi dan transformasi. Sebagai sebuah organisasi yang terlibat dalam proses demokrasi yang kejayaannya bersandar kepada jumlah sokongan undi rakyat, UMNO perlu memastikan parti berupaya untuk bertindak proaktif, inovatif dan kreatif dalam strategi dan pendekatannya mendepani tuntutan semasa rakyat.

Bila menyentuh perihal rakyat, sudah pasti ia berkait langsung dengan prestasi Kerajaan BN dan UMNO adalah tunjang kerajaan sekian lama.

Realitinya, pembangunan dan kemajuan yang dibawa oleh Kerajaan BN mungkin dapat dilihat dan dirasai, tetapi tidak dijiwai dan kurang menyentuh hati rakyat, kalau tidakpun semua, sebahagian rakyat. Ini hakikat yang perlu diakui dan apa yang dirujuk sebahagian itu sebenarnya satu jumlah yang signifikan mengambil kira undi popular BN hanya 48 peratus dalam PRU-13.

Sehubungan itu, cara dan kaedah kerajaan bergerak pada hari ini perlu diteliti dan ditambah baik. Kita gembira apabila kepimpinan kerajaan dilihat mengakui hakikat ini apabila Perdana Menteri sendiri pernah mengeluarkan kenyataan bahawa masa dan ketika kerajaan merasakan tahu semua perkara telah berlalu. Kenyataan ini memperlihatkan komitmen ketua kerajaan sendiri yang mengiktiraf peranan penting rakyat dalam proses pembangunan negara.

Di sinilah pentingnya pendekatan politik nilai dan makna diintegrasikan dalam gerak kerja kerajaan pada masa ini. Pendekatan politik ini akan memastikan elemen nilai dan makna menjadi sebahagian hasil sesuatu dasar, program dan projek kerajaan.

Pendekatan ini juga menjadikan keterangkuman (inclusivity) sebagai strategi penting untuk memastikan rakyat menghargai peranan kerajaan yang telah membawa nilai dan makna kepada kehidupan mereka.

Kerajaan dan parti perlu menakhodai zaman, tetapi kegagalan kita untuk menyuntik kefahaman rakyat berhubung sesuatu agenda ke hadapan yang kita gagaskan akan mengundang bahaya apabila pertalian di antara kerajaan dan parti dengan rakyat terungkai.

Kita sudah tidak boleh menjadikan rakyat sebagai pemegang taruh atau pihak berkepentingan (stakeholders) yang pasif, tetapi jentera kerajaan perlu melibatkan rakyat secara aktif dalam gerak kerja kerajaan.

Rakyat tidak boleh dibiarkan sekadar menjadi pendengar dan penonton, tetapi mereka perlu dilibatkan untuk mengetahui, memahami dan menjiwai kepentingan sesuatu dasar, program dan projek kerajaan. Impaknya khidmat kerajaan akan dapat menyentuh hati dan memberi kesan mendalam kepada rakyat.

Begitu juga halnya dalam hubungan di antara kerajaan dan parti. Mungkin kerana faktor UMNO dan BN telah sekian lama mengemudi tampuk pemerintahan, kita tidak sedar yang kita meninggalkan parti jauh di belakang sehinggakan rakyat tidak dapat melihat, merasai dan menjiwai peranan parti.

Situasi inilah yang telah membentuk sentimen sesetengah rakyat yang melihat semua pembangunan dan kesejahteraan yang dibawa oleh kerajaan adalah tanggungjawab Kerajaan, tanpa mengira siapa tunjangnya. Lebih malang lagi ada yang berpendapat jika parti lain memerintah kelak, perkara yang sama akan dilakukan.

Peranan penting UMNO dan BN tidak dianggap faktor utama yang membawa nikmat kemakmuran pada hari ini.

Atas sebab itu, peranan parti dalam kerajaan perlu diperkasa. PRU-13 menzahirkan kepada kita formula mengguna pakai kaedah penonjolan individu sebagaimana pemilihan Presiden Amerika Syarikat bukanlah pendekatan yang sesuai di negara kita.

Sebahagian besar rakyat akan mengundi berdasarkan parti; sama ada mengundi ‘BN/UMNO’ atau ‘Asal Bukan BN/UMNO’.

Sudah tiba masanya peranan parti ditonjolkan dalam kerajaan, namun ini tidak bermakna parti menguasai kerajaan. Apa yang penting rakyat dapat menjiwai nilai dan makna perjuangan UMNO dan BN dalam penggubalan dasar dan program kerajaan yang membawa nikmat kemajuan, keamanan dan kemakmuran, sekali gus memberi mandat berterusan kepada UMNO dan BN.

Sebagaimana kerajaan, jentera UMNO di semua peringkat juga perlu mengamalkan pendekatan politik nilai dan makna dengan strategi keterangkuman yang menyeluruh meliputi semua segmen masyarakat.

Tidak dinafikan gerak kerja dan program UMNO sedia ada di akar umbi adalah baik dan perlu diteruskan kerana inilah antara faktor yang telah menyebabkan UMNO bertahan sekian lama. Namun ini tidak bermakna tidak ada ruang yang perlu ditambah baik.

Sebagai contoh, pendekatan UMNO untuk mendekati dan membawa generasi muda kepada parti perlu digerakkan dengan lebih agresif.

Perlu diingat demografi pemilih di negara ini sudah menunjukkan pola perubahan dengan peningkatan amat ketara jumlah pemilih di bawah 40 tahun dan dijangka mencecah hampir 70 peratus menjelang PRU-14.

Dalam konteks ini, keterangkuman parti untuk membawa orang muda menyokong UMNO dan BN perlu dilaksanakan dengan pendekatan yang bernilai dan bermakna.

Usaha ini pula perlu digerakkan dan didokong oleh kepimpinan parti di semua peringkat kerana kita tidak mahu sikap tidak peduli dan tidak terbuka sesetengah pihak dalam parti akhirnya membawa generasi baru ini lebih jauh dari parti dan mereka beralih memilih alternatif yang lain.

Masa depan UMNO tidak akan sentiasa cerah jika kepimpinan dan ahli parti tidak mengambil peduli akan cabaran yang perlu kita hadapi hari ini.

Saiz kelas menengah yang besar, lonjakan jumlah golongan berpendidikan, proses urbanisasi, peningkatan taraf hidup, kemajuan prasarana fizikal dan akses kepada lebuh raya maklumat merupakan sebahagian faktor yang monumental kepada rekod prestasi cemerlang UMNO sebagai pemerintah selama ini dan juga suatu cabaran baru dalam konteks gerakan politik kita.

Kita tidak mampu untuk bersikap menafikan atau lebih bahaya lagi bermusuh dengan realiti yang ada dan perubahan yang akan terus berlaku.

Kita wajib menyediakan parti dengan sebaik mungkin untuk meluaskan jaringan pengaruh di semua kumpulan sasar yang telah terhasil daripada kemajuan yang kita bina. Jika tidak maka kita akan menghadapi hentaman ribut yang terhasil daripada semaian kita sendiri.

Dengan pendekatan politik nilai dan makna, cabaran semasa yang kita hadapi dengan landskap politik dan demografik yang baru hari ini adalah hasil kejayaan kita yang boleh dijadikan sumber kekuatan baru.

Monday, 19 May 2014

Antara 10 kategori Bos yang dibenci!!!


1. Kaki Facebook, Twitter, Instagram, WhatsApp

Ketagihan kepada media sosial di atas ini selalu berlaku dalam organisasi di mana terdapat pengurus yang ramai sehingga pembahagian tugas menjadi kecil. Ini diterjemahkan sebagai pengurus ramai tetapi tugas sikit. Kenapa perlu ramai pengurus, kita merrepak pada sesi lain. Disebabkan tugas sikit, maka banyaklah waktu untuk berlegar di laman sosial. Kecenderungan ini jadi kegilaan kerana fizikal badan ada di meja atau bilik masing-masing tetapi jiwa raga di alam maya. Bila waktu deadline, baharulah terkial-kial hendak menyiapkan tugasan yang tertunggak.

PETUA: Jangan ‘friend’ bos dalam laman sosial. Takut sesekali anda tertekan ‘Check In’, bos akan tahu anda tidak berada di tempat kerja. Kalau dia minta friend, luluskan. Lusa anda ‘unfriend’.

2. Suka mencarut, bercakap lucah

Berpakaian segak, bertali leher dan kadang kala lengkap dengan sut, bos anda kelihatan tampan dan berkuasa. Tetapi masalahnya hot temper mengalahkan ahli gusti. Pantang sikit marah, mulut terus mencabul dengan perkataan mencarut. F%$# Y&%.

PETUA: Elak dari cetus kemarahan bos. Masalahnya masalah orang lain pun anda juga kena tempias. Belajar teknik ‘tuli telinga’. Bila bos mula mencarut, tulikan pendengaran tetapi buat muka lurus. Jangan lawan. Bos adalah durian. Kita durian belanda. Tak sama.

3. Kaki potong OT
Memanglah syarikat amalkan konsep jimat cermat. Jimatlah elektrik, tutup lampu masa makan tengah hari. Guna e-mel, kurangkan kertas cetak. Tapi memotong tuntutan overtime (OT) kakitangan yang bos sendiri kerah bertugas lebih masa, adalah tidak adil sama sekali.

PETUA: Bila bos arah kerja lebih masa, siapkan borang OT dan minta bos tandatangan terus. Kaedah ini bagi mengelakkan bos lupa di hujung bulan atau kemaruk memotong OT.

4. Cuci tangan

Ada kalangan bos-bos kecil ini memiliki tali pinggang hitam dalam seni kung fu mengelak kena marah bos besar. Walaupun kesalahan kakitangan itu telah disemak bos dan patut bos bertanggungjawab bersama-sama, tetapi perkara pertama dibuat ialah menunding jari kepada kakitangan. Kaedah ini amat bertentangan dalam prinsip mengukuhkan ukkuwah dan jati diri dalam organisasi.

PETUA: Sebaik berlaku bencana, bos jenis ini akan meninggalkan kapal. Jadi terserah kepada anda untuk bersiap dengan pelampung atau paling bagus, cari kapal lain untuk belayar.

5. Suka cari kesalahan

Bos yang suka mencari kesalahan kakitangan, kononnya untuk meninggikan mutu kerja mungkin mendapat didikan kepimpinan daripada sekolah tentera Ghengis Khan. Jangan puji, takut nanti kakitangan lupa diri. Tumpukan kepada kesalahan. Senang keji. Peduli apa aspek motivasi dan keyakinan untuk membuat keputusan dalam kalangan kakitangan. Mereka bukan bos.

PETUA: Kakitangan sekalian, jangan contohi bos sebegini bila anda diberi peluang memimpin nanti. Fikirkan apa yang anda rasa sekarang terhadap bos anda yang sebegini. Benci tegar, bukan? Lagi tragis bila bos besar memberi contoh nama anda sebagai contoh bos dibenci sewaktu perhimpunan.

6. Pengawal kesihatan tidak bertauliah

Bila kakitangan sakit, perkara pertama disuarakan ialah `semalam nampak sihat. Tiba-tiba pula sakit hari ini?". Memang tidak salah bertanya tetapi bab sakit dan tidak sihat ini, di luar kawalan. Kakitangan tahu, mereka kena mengemukakan sijil sakit nanti. Apa bos tak pernah jatuh sakit?

PETUA: Cetak artikel kesihatan berkaitan masa kedatangan haid perempuan atau laporan akhbar tentang masalah kesihatan kesan daripada meminum air lombong atau badan jadi gatal disebabkan catuan air. Letak atas meja bos. Harap dia baca.

7. Tidak sensitif

Syarikat menanggung hutang bila melakukan projek tertentu. Akan ada sana sini yang perlu dikurangkan kos dan dikenakan kos. Kawasan meletak kereta kena caj RM30 sebulan terhadap kakitangan. Maka kakitangan meletak kereta di sekeliling pejabat. Laluan jadi sesak. Bangunan parking lapan tingkat jadi gajah putih.
Yang tidak boleh diterima sama sekali bila bos potong kemudahan perubatan hospital swasta. Mana sensitiviti? Bos yakin diri sendiri takkan perlu guna kemudahan hospital tersebut.

PETUA: Buat petisyen bantahan dan kemukakan kepada Lembaga Pengarah syarikat. Tak berkesan, buat sidang akhbar.

8. Egois

Bos daripada golongan ini memiliki sedikit kelebihan berbanding bos lain, sama ada daripada segi pendidikan atau harta atau rupa paras. Ia menjadi melarat bila mereka diberi peranan atau kuasa. Kalau benar-benar bertaraf bos besar tidak mengapa, tetapi baru ketua unit pun sudah mempamerkan ciri-ciri Adolf Hitler, memanglah anak buah semua bertekad menjadi gerila pejabat mensabotaj projek.

PETUA: Tazkirah secara perlahan-lahan menerusi posting di Twitter, Facebook (di mana bos selalu berada) tentang perlunya menurunkan ego supaya tidak dibenci kakitangan.

9. Mementingkan kerjaya diri sendiri

Dalam organisasi yang ramai pengurus, masing-masing diberi beberapa kakitangan sebagai unit. Di sebalik memimpin unit, bos jenis ini lebih suka buat kerja sendiri untuk menonjolkan diri dan menerima pujian bos besar. Bila waktu patut semua pengurus bekerja serentak mengejar deadline, bos jenis ini selamba buat kerja lain. Itu belum kira waktu dia terlelap tanpa mengetahui seluruh warga pejabat mengetawakannya.

PETUA: Bagitau bos besar minta dia ketuai unit tanpa kakitangan supaya tiada yang rasa diabaikan. Kalau bos besar nak dengarlah.

10. Berpuak-puak

Bos jenis ini bercita-cita tinggi dan mahu menjadi CEO dalam tempoh singkat. Bos ini percaya dia perlu mengumpul kroni-kroni dalam pejabat. Mereka yang tidak sebulu dengannya akan disisihkan daripada mengendali projek besar atau tidak disenyawakan. Lazimnya, kakitangan jadi mangsa kerana tidak tahu hendak patuh pada siapa. Penyelia terdekat selalu kena veto Little Napoleon.

PETUA: Buat komplot untuk dedahkan kepada bos besar tentang puak politik pejabat ini. Cara ada macam-macam. Jangan guna surat layang. Sudah tidak berkesan. Guna Facebook.

Sunday, 18 May 2014

Sarawak bantu ADUN DAP bayar 1 Juta Kos rawatan

Wong Ho Leng

Kerajaan Sarawak telah meluluskan bantuan sebanyak RM1 juta untuk memenuhi perbelanjaan perubatan kepada bekas pengerusi DAP Sarawak Wong Ho Leng yang telah menghidap kanser.

Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem berkata, bantuan tersebut telah diberikan atas dasar kemanusiaan berikutan permintaan daripada pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen.

"Saya telah mengarahkan Kementerian Kewangan Negeri mengeluarkan cek RM1 juta untuk menampung perbelanjaan perubatan Wong," katanya semasa memberikan ucapan di Dewan Undangan Negeri.

Menurut sumber, Wong Ho Leng, ADUN Bukit Assek, dikatakan telah menghidap kanser otak sejak tahun lalu dan memerlukan rawatan di Singapura.

Baru-baru ini beliau telah dibawa balik ke Sibu dan dikatakan berada dalam keadaan koma.

Sarawak lulus RM1 juta untuk perubatan pemimpin DAP

Gambar wanita solat atas jambatan akhirnya terjawab


PETALING JAYA: Mendakwa mendapat 'hidayah' untuk berubah, seorang wanita warga Indonesia mencetuskan tanda tanya apabila dilihat menunaikan solat dan membaca al-Quran di atas jejambat berhampiran Bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Gambar wanita berkenaan mula tersebar di laman sosial sejak tengah hari Sabtu hingga menjadi viral apabila dia yang lengkap bertelekung sedang membaca al-Quran di atas sejadah ditepi jalan.

Maklumat awal mendapati Anita Shiar, 27, mendakwa dia bermimpi ditimpa sesuatu perkara yang tidak baik lalu bertindak bersembahyang di merata tempat.

Ketua Polis Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Menurut Zainuddin, wanita yang ditemui tanpa dokumen pengenalan diri itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan lanjut.

Sementara itu jurucakap HKL mengesahkan wanita itu kini sedang menerima rawatan di hospital berkenaan.

SUMBER~

Nilai sesebuah perpaduan mengenang kembali peristiwa 13 Mei


Tahun ini genap 45 tahun peristiwa hitam 13 Mei yang berlaku tiga hari selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 1969.

Tragedi berkenaan sudah tentu tidak perlu dikenang lagi ketika negara berbilang kaum ini sedang bergerak menjadi sebuah negara maju.

Cuma apa yang perlu diingat adalah semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh semua rakyat ketika kejadian itu sehingga menyebabkan niat golongan pelampau untuk menghancurkan negara telah gagal.

Dalam suasana kacau sebegitu rupa, masih ramai penduduk yang tidak hilang perhitungan dan perikemanusiaannya dan ia terbukti apabila pergaduhan kaum tidak merebak jauh.

Boleh dikatakan pergaduhan hanya terbatas di Kuala Lumpur khususnya kawasan Chow Kit dan Kampung Baru sahaja serta sedikit-sedikit melarat ke Ampang, Kampung Pandan dan Kampung Datuk Keramat.

Bagi mereka yang pernah membaca buku ‘Memoir Seorang Pejuang’ yang ditulis oleh bekas Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Allahyarham Tan Sri Aishah Ghani sudah pasti akan tersentuh dengan kisah-kisah yang diceritakan mengenai semangat perpaduan yang ditunjukkan penduduk berbilang kaum ketika itu.

Menurut Allahyarham, walaupun situasi mencemaskan, masih ada individu yang berfikiran rasional untuk menyelamatkan pihak lain walaupun daripada kaum berlainan.

Antara kisah-kisah itu, adalah seorang setiausaha di ibu pejabat UMNO telah diselamatkan seorang penjaga kedai Cina di Chow Kit dengan disorokkan di celah gulungan kain apabila beberapa orang yang memegang kayu mahu memukul wanita itu.

Aishah juga menceritakan bagaimana rumahnya di Jalan Daud, Kampung Baru, Kuala Lumpur dimasuki seorang pemuda Cina yang lari lintang-pukang dengan tidak berkasut.

“Saya terus meminta pemuda Cina itu supaya jangan keluar rumah sehingga saya dapat menghubungi polis atau kenderaan askar yang boleh membawanya keluar dengan selamat.

“Dalam pada itu, saudara mara yang datang berkumpul di rumah saya telah membawa beberapa orang kanak-kanak Cina, mereka disuruh memakai baju kurung supaya tidak dikenali sesiapa. Salah seorang dipanggil dengan nama Minah sahaja," tulisnya.

Dalam memoir itu, Aishah menegaskan, kejadian itu merupakan satu amaran besar kepada semua pihak supaya jangan lagi memarakkan api perkauman.

“Rakyat tidak harus terpengaruh dengan dakyah kumpulan tertentu yang terus menerus menentang apa jua yang berbau Melayu.
“Kita juga tidak harus menyokong mana-mana pihak yang membuat tuntutan tidak berpijak kepada realiti sejarah," tulisnya.

Mengulas kejadian berkenaan, bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Samsuri Arshad berkata, perpaduan kaum yang dikecapi sejak sekian lama membolehkan negara ini membangun dari segi ekonomi yang dikongsi secara bersama oleh semua penduduk.

Antara rahsia kita boleh maju dari segi ekonomi kerana pelabur-pelabur berani datang untuk membuka kilang di Malaysia kerana negara kita aman.

Kita aman disebabkan tidak berlaku pertelingkahan sesama rakyat setelah penduduk berbilang kaum dan agama mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku ketika 13 Mei," ujarnya.

Beliau berkata, ekoran kejadian itu, semua pihak mengelak untuk membangkitkan isu-isu yang boleh menyentuh sensitiviti kaum lain dan mempunyai semangat toleransi yang tinggi.

Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini, ada pihak tidak bertanggungjawab yang tidak pernah mengalami peristiwa pahit berkenaan telah cuba membangkitkan kembali isu-isu sensitif berkenaan.

Saya meminta mereka supaya tidak meneruskan niat berkenaan. Jika generasi sebelum ini boleh mengelak menyentuh isu sensitif terbabit, kenapa generasi sekarang tidak boleh melakukan perkara sama.

Elakkan untuk membangkitkan isu sensitif ini dalam media massa dan media sosial.

Sebarang rasa tidak berpuas hati hendaklah dibincang secara tertutup bagi membolehkan penyelesaian dicapai yang memuaskan hati kedua-dua belah pihak," katanya.

Menurut beliau, satu lagi prasyarat untuk memastikan perpaduan terus berkekalan adalah semua pihak harus menghormati kontrak sosial yang dipersetujui semua kaum sebelum ini.

Kontrak sosial merujuk kepada persetujuan untuk memberi kewarganegaraan kepada kaum-kaum lain dan sebagai ganti diberikan hak keistimewaan kepada orang Melayu.

Kontrak sosial ini adalah sesuatu yang telah terdapat dalam sejarah negara kita yang harus diterima bagi memastikan hubungan antara kaum terus terpelihara.

Pemimpin-pemimpin Melayu telah bertolak ansur dengan melonggarkan syarat-syarat kewarganegaraan untuk diberikan kepada kaum lain dan perkara ini tidak pernah dibuat oleh negara-negara lain.

Jika dilihat di Australia misalnya mereka yang berhijrah ke sana hanya diberikan status penduduk tetap dan bukannya kewarganegaraan secara terus," katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Syed Hassan Syed Ali yakin kejadian hitam itu tidak akan berulang sekiranya semua pihak menghormati segala yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, antaranya Perkara 153 yang menyentuh mengenai kedudukan istimewa orang Melayu dan dalam masa sama tidak menafikan kepentingan sah kaum-kaum lain.

Antara yang disentuh adalah hak istimewa Melayu untuk mendapat jawatan dalam perkhidmatan awam, biasiswa, pendidikan, perniagaan dan kemudahan khas lain yang diberikan.

“Perkara 153 tidak boleh dipinda, diubah atau dilucutkan tanpa mendapat persetujuan raja-raja Melayu.
“Ini juga termasuk peruntukan Perkara 86 yang menyentuh mengenai langkah-langkah melindungi tanah rizab orang Melayu," ujarnya.

Beliau berkata, Perkasa sentiasa komited untuk memastikan perpaduan nasional di negara ini terus dimantapkan.

Dalam masa yang sama kita meminta kaum-kaum lain tidak mempersoalkan hak keistimewaan yang diberikan kerana orang Melayu kerana mereka masih ketinggalan di negara ini dalam segenap bidang," tegasnya.

KELAB PENYOKONG POLIS

GELOBANG ANAK MUDA