Thursday 15 May 2014

Salah faham politik di Terengganu akhirnya selesai



Beberapa hari yang lepas politik negeri Terengganu cemas apabila bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said bertindak keluar parti membawa ADUN Ajil, Ghazali Taib serta Roslee Daud ADUN Bukit Besi serta mengisytiharkan diri mereka sebagai ADUN Bebas.

Tambah menggusarkan apabila berlaku kemelut yang dipanggil legislatif Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang mencemaskan setelah kerusi Barisan Nasional dan pembangkang negeri sama bilangannya. Ini sekaligus menyebabkan, kerusi BN di DUN Terengganu berkurangan daripada 17 kepada 15, Pas (14), PKR (satu) dan Bebas (tiga).

Namun episod mencemaskan itu tidak berpanjangan apabila kesemua 17 ADUN Barisan Nasional daripada UMNO mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO telah mengikrarkan kesepakatan untuk terus memimpin Terengganu. Seterusnya baca di sini

Dari Belia Untuk Belia


Hari ini 15 Mei merupakan Hari Belia 2014, dengan ini diucapkan Selamat Hari Belia kepada seluruh belia-belia di seluruh negara.Setiap kali sambutan diadakan pada setiap 15 Mei, ia mengingatkan kita kepada kepentingan belia sebagai generasi yang mampu mengukuhkan negara pada suatu masa nanti. Di tangan merekalah letaknya tanggungjawab besar untuk menentukan hala tuju negara kelak.

Di Malaysia, sesiapa yang berusia antara 15 hingga 40 dikategorikan sebagai belia. Jumlahnya kini lebih kurang 11.9 juta orang iaitu 41.5 peratus daripada keseluruhan penduduk negara ini.

Perancangan mengenai sambutan Hari Belia Negara 2014 sudah diadakan sejak tahun lepas. Mesyuarat Induk Hari Belia Negara 2014 yang diadakan pada 24 Disember tahun lalu menggariskan program untuk sambutan tahun ini.

Program-program yang akan diadakan tidak tertumpu kepada peringkat nasional sahaja tetapi menjangkau peringkat daerah dan negeri.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, Festival Belia Putrajaya dari 22 hingga 25 Mei ini akan menumpukan kepada program berkualiti dengan 60 aktiviti yang seimbang antara hiburan, keagamaan dan ilmiah.

Antaranya, Selawat Belia bagi memulakan sambutan tersebut akan menjemput beberapa tokoh agama. Program keagamaan dan kerohanian lain termasuk pertandingan nasyid dan tilawah al-Quran.

Program yang diatur tahun memperlihatkan kelainan dalam sambutan tahun ini yang melalui proses penambahbaikan berbanding yang pernah diadakan sebelum ini.

Tiada artis dari luar negara dijemput untuk memeriahkan sambutan. Bahkan tiada sejumlah wang dibelanjakan untuk membayar persembahan mereka.

Sambutan kali ini enggan memberi ruang kepada reaksi negatif masyarakat sekali gus mengekang penyerapan budaya asing, pelbagai masalah sosial ketika persembahan berlangsung dan pembaziran wang ringgit.

Golongan belia di negara kita yang hampir mencecah dua per lima daripada penduduk Malaysia mesti diberikan keutamaan sebagai pewaris negara dan kelangsungan kemajuan negara yang sedang kita kecapi sekarang. Tanpa golongan ini, pembangunan negara akan tempang. Di tangan merekalah terletak satu tanggungjawab besar mempertahankan kemajuan negara dan memacu kecemerlangan negara pada masa akan datang.

Inilah harapan pemimpin negara kita kepada golongan belia di seluruh negara yang bukan sedikit jumlahnya.

Di peringkat sekolah, mereka berdepan dengan pembelajaran untuk membentuk kejayaan dan memperoleh cita-cita murni pada masa akan datang, bukan hanya untuk diri sendiri tetapi juga untuk keluarga bangsa dan negara.

Bagi yang sudah ada kerjaya, mereka sama-sama memikul tanggungjawab mencorakkan hala tuju negara. Tugas yang dipikul dengan penuh amanah akan menjamin kejayaan diri, menaikkan imej jabatan, syarikat atau majikan dan sudah tentu negara tidak akan menghadapi pelbagai masalah jika pekerjanya bersih, rajin, cekap dan beretika.

Inilah peranan yang perlu dimainkan oleh golongan belia demi kejayaan sesebuah negara. Usia dan tenaga mereka yang masih muda mesti dipergunakan sebaik mungkin supaya hasrat negara mencapai kecemerlangan dalam pelbagai bidang dapat direalisasikan.

Di samping itu, harapan besar yang tidak boleh diketepikan adalah usaha membanteras pelbagai masalah sosial yang berlaku dalam kalangan belia di negara kita. Apabila menyebut sahaja golongan ini, ramai yang melihat mereka sebagai penyumbang terbesar pelbagai kes salah laku seperti dadah, merempit, jenayah dan sebagainya.

Statistik menunjukkan golongan belia yang paling banyak terbabit dengan pelbagai kes salah laku yang dinyatakan di atas. Malah, masalah-masalah ini membawa pula kepada kebimbangan pelbagai pihak kerana golongan belia terbabit akan merugikan diri sendiri dan merencatkan pembangunan negara.

Di sekolah, golongan yang boleh dikategorikan sebagai belia berdepan dengan pelbagai masalah seperti ponteng sekolah, pergaduhan, melawan guru dan juga merosakkan harta benda sekolah.

Pelan Menangani Gejala Disiplin di Sekolah diharap dapat membendung kes-kes disiplin di sekolah daripada terus berlaku. Hal ini kerana mereka perlu sedar cabaran sebenar kehidupan adalah di luar sana apabila mereka sudah menamatkan persekolahan.

Bagi golongan belia yang sudah berada dalam masyarakat, mereka mesti mempunyai ketahanan diri untuk menempuh pelbagai pancaroba yang mengitari hidup, menolak ke tepi gejala-gejala negatif yang boleh merosakkan diri dan masa depan.

Pokoknya mereka mestilah menggunakan akal fikiran yang waras apabila berdepan dengan sesuatu situasi, agar tidak terpengaruh dengan gejala tidak sihat.

Di tangan mereka suatu keajaiban boleh berlaku, begitu juga ia akan hilang jika golongan ini leka dan tidak menginsafi peranan mereka yang sebenar.

Pembentukan modal insan bukan perkara yang harus kita pandang enteng



PEMBANGUNAN modal insan bermula dari rumah dan alam persekolahan. Ia termasuk usaha membentuk peribadi mulia dalam kalangan murid yang memerlukan semua pihak memainkan peranan masing-masing sama ada di peringkat sekolah, para ibu bapa serta pihak-pihak lain yang berkepentingan.

Negara kita sedang menghadapi pelbagai gejala dan masalah sosial seperti keruntuhan akhlak, ancaman dadah yang serius, salah laku juvana dan jenayah serta keganasan terhadap kanak-kanak, pembuangan bayi dan lain-lain.

Semua ini adalah petanda penurunan nilai-nilai murni yang jika tidak diatasi dengan berkesan akan menggugat aspirasi kita dalam menjadikan Malaysia sebuah negara maju yang mendokong nilai budaya murni yang tinggi.

Apabila sekolah dibelenggu kejadian melanggar disiplin, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memberikan lebih perhatian terhadap pentingnya kita kembali kepada prinsip asal mengenai nilai-nilai murni dan kemanusiaan.

Kita perlu mendidik dan melatih anak-anak kita dan memastikan supaya mereka menghargai nilai-nilai murni seperti sifat persefahaman dan kesederhanaan, hormat-menghormati antara satu sama lain, kepatuhan kepada undang-undang, keyakinan diri dan sifat keterbukaan terhadap perbezaan agama, kepercayaan, adat dan budaya.

Sejak kebelakangan ini, masyarakat di seluruh negara telah didedahkan dengan pelbagai perbuatan jenayah dan salah laku pelajar.

Perlakuan jenayah pelajar ini berbentuk perbuatan mencuri, merosakkan harta benda sekolah, bergaduh, membuli, mencederakan murid-murid lain, memeras ugut wang malah ada yang berani hingga mengancam para guru dan lain-lain.

Penglibatan murid sekolah dalam kegiatan salah laku, disiplin dan jenayah merupakan perbuatan yang perlu dilihat secara serius oleh semua pihak khususnya pihak pengurusan sekolah.

Gejala tersebut boleh memberikan impak yang negatif terhadap pengurusan sekolah sekiranya tidak ditangani segera dan secara berkesan di peringkat awal.

Sekolah sepatutnya mempunyai persekitaran yang kondusif dan selamat agar setiap murid dapat menumpukan perhatian terhadap pelajaran mereka.

Menurut statistik jenayah Polis Bukit Aman pada 2013 jumlah pelajar yang terlibat dalam jenayah adalah sebanyak 1,632 atau 1.10 % daripada jumlah indeks jenayah yang dicatatkan di seluruh Malaysia.

Seramai 1,855 pelajar juga ditangkap untuk pelbagai kesalahan. Daripada jumlah itu, mereka yang berumur 16 hingga 18 tahun adalah yang paling ramai ditangkap iaitu 1,009 orang dengan 819 pelajar berusia 13 hingga 15 tahun.

Bagi kategori bukan pelajar pula sebanyak 6,184 kes atau 4.2% jumlah indeks jenayah dicatatkan pada tahun 2013. Seramai 6,455 bukan pelajar ditangkap dengan 5,073 daripadanya berumur di antara 16 hingga 18 tahun manakala 1,364 lagi yang berumur 13 hingga 15 tahun.

Bagi tempoh Januari hingga Disember 2013, sebanyak 2,553 kes jenayah kekerasan iaitu melibatkan 542 pelajar dan 2,011 bukan pelajar. Kebanyakan jenayah kekerasan yang dilakukan adalah jenayah rogol, bunuh dan samun berkawan tanpa senjata api.

Sementara itu, bagi jenayah harta benda dalam tempoh kajian yang sama, sebanyak 1,090 kes melibatkan pelajar dan 4,173 kes melibatkan bukan pelajar yang majoritinya terlibat dalam jenayah curi motosikal dan kecurian lain.

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan kemunculan gejala negatif semakin serius melanda golongan pelajar iaitu:-

* Keruntuhan institusi kekeluargaan dalam memainkan peranannya sebagai institusi pembentukan insan yang positif dan produktif.

* Kemerosotan moral dan akhlak yang berleluasa akibat arus pembangunan negara dan era ICT.

* Masalah tekanan ekonomi dan sosiobudaya yang mengakibatkan krisis di dalam keluarga sehingga mempengaruhi remaja sekolah,

* Pengaruh negatif rakan sebaya.

Memandangkan kes-kes salah laku dan kadar jenayah di kalangan remaja masa kini meningkat, penubuhan Kelab Pencegahan Jenayah di sekolah-sekolah difikirkan perlu bagi memberi kesedaran pencegahan jenayah di peringkat awal.

Kelab Pencegahan Jenayah mampu melahirkan ahli yang kreatif dan inovatif, mempunyai ketahanan diri, berani bersaing, prihatin terhadap bidang yang diceburi, mempunyai wawasan dalam bidang kokurikulum dan juga sahsiah, serta menggembleng kreativiti diri secara global demi memartabatkan nama kelab dan sekolah.

Benarkah orang Malaysia mudah ditipu?


SECARA logiknya, mana ada orang boleh dengan senang-senang beri kita duit beribu-ribu ringgit dengan percuma dan saja-saja!

Dengan tidak payah berbuat apa-apa dan tidak pernah masuk peraduan apa-apa, tiba-tiba pula kita boleh diumumkan menang. Bukankah nampak sangat mengarutnya?

Tetapi itulah, ramai juga yang percaya mereka ini agaknya tergolong dalam ­ka­langan insan terpilih atau orang yang paling bernasib baik di muka bumi ini yang boleh dapat wang sebanyak itu dengan tidak perlu buat apa-apa atau cukup dengan mengeluarkan sedikit modal untuk mendapat wang yang berlipat kali ganda banyak­nya.

Mungkin sebab naluri untuk menjadi kaya terlalu kuat dan sudah berkurun memasang angan-angan untuk hidup bermewah-mewah, tanpa fikir panjang dengan apa yang ditawarkan, akhirnya mereka tertipu.

Ada yang bukan sekali kena tipu. Sudah beberapa kali, tetapi tidak juga serik-serik. Bila ditanya kenapa boleh kena tipu lagi, dia jawab rasa rugi sangatlah kalau tidak menang hadiah yang ditawarkan itu.

Penyudahnya, mengadu lagi dia kepada pihak polis atas kesilapan yang sama dilakukannya atau menceritakan kisah sedihnya ditipu itu kepada mana-mana biro aduan yang dikendalikan oleh parti-parti politik dengan harapan nasib dirinya dapat dibela.

Ada juga yang mengadu, memang betul mereka dapat hadiah itu, tetapi hadiah yang diberi nilainya terlalu kecil jika dibandingkan dengan duit yang mereka keluarkan untuk mendapatkan hadiah tersebut. Kalau dah namanya pun hadiah, kenapa pula perlu bayar untuk dapatkan hadiah itu?

Pada tahun lalu dianggarkan sebanyak RM1.78 bilion angka kerugian akibat jenayah komersial yang membabitkan bukan hanya penipuan siber, juga beberapa bentuk penipuan lain seperti peraduan yang didalangi warga asing.

Yang kena tipu bukan saja orang perempuan. Orang lelaki pun terjebak sama dalam peraduan-peraduan yang kononnya diadakan oleh syarikat-syarikat besar di negara ini seperti Petronas, Shell dan Maybank sedangkan syarikat-syarikat ini tidak pernah menganjurkan peraduan berkenaan.

Dalam pada itu, ada juga yang terpengaruh dengan emel-emel yang datangnya dari luar negara yang kononnya si pengirim yang kaya-raya itu ingin mengagihkan kekayaannya dengan mencari waris yang dipercayainya di negara ini untuk menyimpan wang miliknya.

Kenal pun tidak, tiba-tiba saja boleh percaya pada kita dan mahu mema­sukkan duit berjuta-juta ringgit ke dalam akaun kita dengan meminta maklumat terperinci mengenai diri kita. Ini memang sudah nampak jelas sangat pembohongannya. Tetapi itulah, yang ini pun ada yang masuk perangkap.

Biasanya, pihak yang tertipu ini tidak memberitahu sesiapa pun waima orang pa­ling dekat dengannya bahawa dia menerima dan melayan emel atau peraduan tersebut.

Mungkin mahu membuat kejutan apabila mendapat wang tersebut kelak, atau tidak mahu sesiapa mengetahui bahawa dia bakal kaya.

Apabila pindahan wang sudah dilakukan kepada pihak berkenaan dan hari demi hari berlalu tetapi tidak mendapat apa-apa, barulah dia gelabah dan memberitahu semua orang. Akhirnya dia sendiri yang menerima kejutan.

Cerita mengenai rakyat kita mudah ditipu oleh warga asing, bukan cerita baru. Ini cerita sudah lama. Tetapi yang hairannya statistik mengenainya tidak pun menunjukkan pengurangan setiap tahun. Walhal be­rita pasal penipuan seperti ini sudah banyak dilaporkan dalam akhbar, media elektronik dan media sosial.

Mungkin sebab lebih suka membaca bahan-bahan yang lebih menyeronokkan se­perti gosip-gosip artis dan dunia hiburan, dan menganggap apa saja yang dilaporkan dalam akhbar-akhbar arus perdana itu semuanya tipu belaka termasuk berita penipuan seperti ini, akhirnya mereka yang tertipu.

Wednesday 14 May 2014

Pengorbanan Ibubapa tiada bandingan, pengorbanan kita sebagai anak pula bagaimana?



Ibubapa merupakan insan yang paling mulia dalam kehidupan. Kerana itulah Islam mengajar umatnya supaya menghormati dan berbuat baik kepada mereka. Segala jasa dan pengorbanan yang mereka curahkan, sejak di alam rahim sehingga kita dilahirkan, begitu besar dan tinggi nilainya. Merekalah yang bertanggungjawab mencari nafkah dan mendidik kita sehingga dewasa. Mereka juga sanggup mengorbankan nyawa dan kepentingan diri mengharungi pelbagai cabaran demi masa depan anak-anak.

Marilah kita merenung kembali semasa kita kecil dulu apa yang telah dilakukan oleh kedua ibubapa kita. Merekalah yang memberi susu kepada kita, menyuap makanan ke mulut kita, memandikan kita, memakaikan pakaian kepada kita, mendodoi dan menidurkan kita, membersihkan najis dan segala kotoran di badan kita, menghantar kita ke sekolah, semuanya dilakukan demi melihat anaknya ini menjadi insan berguna di kemudian hari.

Mungkin ada antara kita pada ketika ini, ibubapanya telah pergi buat selama-lamanya. Kita mendoakan roh-roh mereka ini di tempatkan di kalangan syuhada dan solihin. Sekiranya ibubapa kita masih bersama dengan kita di dunia ini, marilah sama-sama kita mengingati mereka. Mungkin pada ketika ini, ibu-bapa kita berada jauh nun di kampung sana, di rumah yang usang - ketika hujan mereka kebasahan, ketika kemarau mereka kekeringan.

Kadangkala ibubapa kita berada dalam kelaparan dan keperitan akibat kesempitan hidup, sedangkan kita sebagai anak-anaknya yang berada di kota ini, dalam kemewahan dan tidak merasa itu semua. Kasih sayang ibubapa kepada anak-anak sepanjang hayat, pengorbanan dan kudrat dicurah siang-malam, hanya tahu memberi dan tidak mengharapkan apa-apa balasan. Segala kesusahan dan penderitaan tidak pernah dikongsi bersama dengan anak-anak.

Ingatlah apa yang kita miliki pada hari ini - harta, pekerjaan, pangkat, kesenangan dan keluarga kita, adalah hasil dari pengorbanan mereka. Tanpa mereka, kita tidak dapat melihat dunia ini dan tanpa nasihat dan pengorbanan mereka kita tidak akan memiliki semua ini.

Sehubungan itu, kita sebagai anak wajib merendah diri, menghormati, mentaati dan berbuat baik terhadap mereka. Ini sebagai suatu penghormatan tertinggi daripada anak bagi membalas jasa ibu bapa mereka.

Firman Allah subhanahu wata’ala dalam surah al-Isra’, ayat 23-24 yang bermaksud:
“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan 'ah', dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.”

Tidak dapat dinafikan bahawa kasih sayang seorang ibu mengatasi segalanya, tidak dapat dinilai dengan emas dan perak, tidak dapat dibayar dengan wang ringgit. Tidak hilang di hati seorang ibu perasaan rindu terhadap anak-anaknya walaupun sesaat, kadang-kala ibu tidak dapat menyuap makanan ke mulutnya dan melelapkan matanya kerana teringatkan anak-anaknya ini dan ada ketikanya air mata berlinangan mengalir membasahi di pipinya kerana mengenang dan merindui akan anak-anak.

Penulis ingin mengajak semua pembaca mengingati kembali, bilakah kali terakhir kita bertemu dengan mereka, menatap wajah dan mencium tangan mereka? Cukupkah dengan sekadar kita mengirim duit sebagai pengganti diri bagi membayar setitis air mata ibu akibat merindui kepulangan si anak? Ambillah kesempatan yang ada semasa hidup sebelum mereka pergi buat selama-lamanya.
Kebiasaan kita, sebagai anak, akan lebih mengingati dan menyebut nama ibu. Jika kita ada masalah, kita akan luahkan kepada ibu. Kita lebih suka berkongsi perasaan dengan ibu. Jika kita sakit, kita lebih suka ibu yang jaga. Kalau hendak makan, kita lebih suka ibu yang masak dan suapkan.

Sehinggakan untuk memasuki gerbang perkahwinan pun, masih mengharapkan bantuan ibu. Oleh itu, wajarlah Allah subhanahu wata’ala memuliakan ibu sesuai dengan pengorbanannya.

Firman Allah subhanahu wata’ala dalam surah Luqman ayat 14:
Maksudnya: Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).

Imam al-Bukhari rahimahullah meriwayatkan sebuah hadis tentang pertanyaan seorang sahabat kepada Rasulullah sallallahu alaihi wasallam yang bermaksud :
“Siapakah yang paling berhak saya pergauli dangan baik? Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda “Ibumu”. Orang itu bertanya kemudian siapa lagi? Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda “Ibumu”, Orang itu bertanya kemudian siapa lagi, Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda “Ibumu”. Orang itu bertanya kemudian siapa lagi, Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda : Ayahmu.”


Al-Bazzar meriwayatkan, ada seorang lelaki sedang tawaf dengan mengendung ibunya. Lelaki itu bertanya kepada Rasulullah sallallahu alaihi wasallam, “Apakah dengan ini saya telah melaksanakan kewajipan saya kepadanya? Rasulullah sallallahu alaihi wasallam menjawab “Tidak, tidak sebanding walaupun dengan satu kali hembusan nafas ketika ibumu melahirkanmu.”
Betapa besarnya pengorbanan ibubapa! Namun persoalannya kini, bagaimana pula pengorbanan anak untuk menghargai dan membalas balik jasa serta pengorbanan ibu yang tidak terhitung ini?

Berdasarkan pemerhatian penulis, ada anak-anak yang sanggup meninggalkan ibubapa mereka di rumah kebajikan atas alasan tidak sanggup melayan kerenah ibubapa yang semakin tua. Malah lebih malang lagi, ada yang sanggup membuang dan menyisihkan terus ibu-bapanya.

Islam menganjurkan agar setiap anak menghormati dan berbakti kepada ibu bapa selagi suruhan tersebut tidak melanggar syariat Islam. Jika anak-anak mengingkari perintah ibubapa, maka itu adalah derhaka dan satu dosa besar.

Imam al-Bukhari rahimahullah meriwayatkan bahawa Abdullah bin Amru bin al-'As radhiallahu anhu bertanya kepada Rasulullah sallallahu alaihi wasallam tentang dosa besar. Sabda Baginda: Antara dosa besar ialah seorang lelaki mencerca ibu bapanya. Tanyanya lagi: Wahai Rasulullah! Adakah akan berlaku seorang lelaki memaki-hamun ibu bapanya? Jawab Nabi sallallahu alaihi wasallam: Ya. Seorang lelaki memaki hamun bapa seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu memaki kembali bapanya. Begitu juga sekiranya seorang lelaki memaki hamun ibu seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu juga akan memaki hamun ibunya.
Ingatlah, bahawa menyayangi ibubapa bukan sekadar ketika keduanya masih hidup sahaja, tetapi sebenarnya berpanjangan ketika mereka berada di alam arwah atau alam kubur. Roh orang mati tetap hidup di sisi Allah.

Menurut Abu Darda’ radhiallahu anhu, Allah subhanahu wata’ala telah menempatkan roh orang mukmin di sebuah perkampungan di langit ketujuh yang diberi nama Darul Baida’. Dari sana roh orang mukmin sentiasa diberi peluang oleh Allah subhanahu wata’ala untuk melihat amalan atau kegiatan manusia yang masih hidup di dunia, khususnya anak-anak atau kaum kerabat mereka.
Roh sentiasa bertanya khabar kepada jenazah yang baru tiba di alam arwah, terutama tentang kehidupan keluarga mereka di dunia.

Setiap hari amalan umat Muhammad diangkat ke langit, dan segala amalan tersebut dipertonton kepada roh ibu bapa kita. Oleh itu, gembirakanlah roh ibu-bapa kita dengan amalan soleh semasa kita masih hidup di duna ini. Roh ibu-bapa akan sakit, tersiksa dan menderita jika melihat amalan anak-anak mereka terlibat melakukan dosa besar seperti berzina, berjudi, minum arak, rasuah, memfitnah orang, bersubahat melakukan kezaliman, penganiayaan dan perbuatan maksiat lain.

Perbuatan anak di dunia menjadi ukuran dan bukti sama ada kita yang masih hidup ini benar-benar menyayangi ibubapa kita. Apalah gunanya anak-anak mengadakan majlis kenduri tahlil dan doa selamat setiap minggu, setiap tahun, sedangkan perbuatan harian mereka penuh dengan maksiat, kejahatan dan melakukan dosa besar?

Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya amal-amal kamu dibentangkan kepada keluarga dan kaum kerabat kamu yang telah mati; maka kalau amal perbuatan kamu itu baik, mereka gembira mengetahuinya, dan kalau sebaliknya, mereka (berdoa untuk kamu dengan) berkata :‘ Ya Allah Ya Tuhan kami, berilah kaum kerabat kami yang hidup itu hidayah petunjuk,sebagaimana engkau telah memberi hidayah petunjuk kepada kami (sehingga kami mati dalam iman)”.
(Hadis riwayat Imam Ahmad dan al-Tirmizi)

Marilah sama-sama kita menzahirkan perasaan kasih sayang terhadap ibubapa setiap masa. Memberi kasih sayang kepada mereka bukan sekadar memberi hadiah bahkan seluruh jiwa dan raga kita serahkan kepada mereka. Gembirakanlah mereka dan carilah keredhaan mereka serta perbanyakkanlah doa keampunan kepada mereka. Budayakanlah amalan memuliakan dan menghormati ibu-bapa di sepanjang kehidupan kita dan janganlah hanya dibuat pada masa-masa tertentu sahaja.

Perlu kita insafi bahawa ketidakredhaan ibubapa kepada sikap keji anak-anak ini mengundang kemurkaan Allah subhanahu wata’ala. Selama mana kita tidak diredhai oleh ibubapa, selama itu juga kita hidup dalam kemurkaan dan derhaka terhadap Allah subhanahu wata’ala. Ambillah kesempatan yang ada ini untuk menyayangi sebelum mereka didatangi ajal.

Firman Allah subhanahu wata’ala dalam surah al-Israa ayat 24:
Maksudnya : Dan hendaklah Engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.

Jangan salah ertikan Poligami



JANGAN pandang serong atau salahkan wanita yang akan menjadi isteri kedua, ketiga ataupun keempat kerana kita mesti fikirkan juga masa hadapan mereka dan naluri mereka sebagai manusia biasa.

Sudah menjadi fitrah dan dalam Islam setiap perkara yang Allah tentukan mempunyai hikmah tersendiri. Begitu juga dengan kebenaran untuk berpoligami. Jangan mempertikaikan hukum Allah.

Isteri pertama hendaklah rasional apabila berdepan dengan persoalan ini. Janganlah memberontak serta melatah apabila suami meminta izin untuk berpoligami.

Jangan berdendam apatah lagi sehingga bertindak mahu menuntut cerai.

Sepatutnya ustaz dan ustazah berikan pencerahan dalam masalah poligami yang dibenarkan dalam Islam dan bukannya menimbulkan provokasi sehingga memanaskan lagi suasana. Dalam masa yang sama diharap pihak Jabatan Agama Islam terutama sekali dalam unit nikah dan cerai ini tidak memperketatkan syarat berpoligami.

Sebaliknya permudahkan urusan itu agar tiada yang ‘kahwin lari’ ke luar negara.

Apa salahnya seseorang lelaki Muslim mahu mengamalkan poligami jika semua syarat dan kemampuan zahir dan batin telah diambil kira dan mampu melaksanakannya.

Sepatutnya digalakkan lagi supaya bertambah keturunan umat Islam. Lagipun Rasulullah SAW sendiri mahukan supaya umat Islam ramai bertaburan di muka bumi ini.

Memberikan laluan kepada poligami ini adalah juga suatu jihad bagi kaum wanita demi menjaga agama dan kekuatan ummah itu sendiri dan jangan mempertikaikan apa yang Allah telah halalkan.

Tuesday 13 May 2014

Bagaimana nak Khusyuk dalam Solat


BAGAIMANA NAK KHUSYUK DLM SOLAT!!!

Seorang ahli ibadah bernama Isam Bin Yusuf, sangat warak dan khusyuk solatnya. Namun, dia selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk.

Lantas dia selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih ibadahnya, demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasainya kurang khusyuk.

Pada suatu hari, Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Assam dan bertanya, "Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan solat?"

Hatim berkata, "Apabila masuk waktu solat, aku berwudhu' zahir dan batin."

Isam bertanya, "Bagaimana wudhu' zahir dan batin itu?"

Hatim berkata, "Wudhu' zahir sebagaimana biasa iaitu membasuh semua anggota wudhu' dengan air, sementara wudhu' batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara :-

* Bertaubat,
* Menyesali dosa yang telah dilakukan,
* Tidak tergila-gilakan dunia,
* Tidak mencari/mengharap pujian orang (riya'),
* Tinggalkan sifat berbangga,
* Tinggalkan sifat khianat dan menipu, dan
* Meninggalkan sifat dengki.

Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat. Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku rasakan:

1. Aku sedang berhadapan dengan Allah,
2. Syurga di sebelah kananku,
3. Neraka di sebelah kiriku,
4. Malaikat Maut berada di belakangku, dan
5. Aku bayangkan pula aku seolah-olah berdiri di atas titian 'Siratal mustaqim' dan menganggap bahawa solatku kali ini adalah solat terakhir bagiku.

Kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik. Setiap bacaan dan doa di dalam solat, aku faham maknanya.

Seterusnya aku rukuk dan sujud dengan tawadhuk; aku bertasyahud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersolat selama 30 tahun."

Apabila Isam mendengar, menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim.

Sabda Nabi, ilmu itu milik Tuhan, barang siapa menyebarkan ilmu demi kebaikan, insyaAllah Tuhan akan menggandakan 10 kali kepadanya

KELAB PENYOKONG POLIS

GELOBANG ANAK MUDA