Thursday, 15 May 2014
Dari Belia Untuk Belia
Hari ini 15 Mei merupakan Hari Belia 2014, dengan ini diucapkan Selamat Hari Belia kepada seluruh belia-belia di seluruh negara.Setiap kali sambutan diadakan pada setiap 15 Mei, ia mengingatkan kita kepada kepentingan belia sebagai generasi yang mampu mengukuhkan negara pada suatu masa nanti. Di tangan merekalah letaknya tanggungjawab besar untuk menentukan hala tuju negara kelak.
Di Malaysia, sesiapa yang berusia antara 15 hingga 40 dikategorikan sebagai belia. Jumlahnya kini lebih kurang 11.9 juta orang iaitu 41.5 peratus daripada keseluruhan penduduk negara ini.
Perancangan mengenai sambutan Hari Belia Negara 2014 sudah diadakan sejak tahun lepas. Mesyuarat Induk Hari Belia Negara 2014 yang diadakan pada 24 Disember tahun lalu menggariskan program untuk sambutan tahun ini.
Program-program yang akan diadakan tidak tertumpu kepada peringkat nasional sahaja tetapi menjangkau peringkat daerah dan negeri.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, Festival Belia Putrajaya dari 22 hingga 25 Mei ini akan menumpukan kepada program berkualiti dengan 60 aktiviti yang seimbang antara hiburan, keagamaan dan ilmiah.
Antaranya, Selawat Belia bagi memulakan sambutan tersebut akan menjemput beberapa tokoh agama. Program keagamaan dan kerohanian lain termasuk pertandingan nasyid dan tilawah al-Quran.
Program yang diatur tahun memperlihatkan kelainan dalam sambutan tahun ini yang melalui proses penambahbaikan berbanding yang pernah diadakan sebelum ini.
Tiada artis dari luar negara dijemput untuk memeriahkan sambutan. Bahkan tiada sejumlah wang dibelanjakan untuk membayar persembahan mereka.
Sambutan kali ini enggan memberi ruang kepada reaksi negatif masyarakat sekali gus mengekang penyerapan budaya asing, pelbagai masalah sosial ketika persembahan berlangsung dan pembaziran wang ringgit.
Golongan belia di negara kita yang hampir mencecah dua per lima daripada penduduk Malaysia mesti diberikan keutamaan sebagai pewaris negara dan kelangsungan kemajuan negara yang sedang kita kecapi sekarang. Tanpa golongan ini, pembangunan negara akan tempang. Di tangan merekalah terletak satu tanggungjawab besar mempertahankan kemajuan negara dan memacu kecemerlangan negara pada masa akan datang.
Inilah harapan pemimpin negara kita kepada golongan belia di seluruh negara yang bukan sedikit jumlahnya.
Di peringkat sekolah, mereka berdepan dengan pembelajaran untuk membentuk kejayaan dan memperoleh cita-cita murni pada masa akan datang, bukan hanya untuk diri sendiri tetapi juga untuk keluarga bangsa dan negara.
Bagi yang sudah ada kerjaya, mereka sama-sama memikul tanggungjawab mencorakkan hala tuju negara. Tugas yang dipikul dengan penuh amanah akan menjamin kejayaan diri, menaikkan imej jabatan, syarikat atau majikan dan sudah tentu negara tidak akan menghadapi pelbagai masalah jika pekerjanya bersih, rajin, cekap dan beretika.
Inilah peranan yang perlu dimainkan oleh golongan belia demi kejayaan sesebuah negara. Usia dan tenaga mereka yang masih muda mesti dipergunakan sebaik mungkin supaya hasrat negara mencapai kecemerlangan dalam pelbagai bidang dapat direalisasikan.
Di samping itu, harapan besar yang tidak boleh diketepikan adalah usaha membanteras pelbagai masalah sosial yang berlaku dalam kalangan belia di negara kita. Apabila menyebut sahaja golongan ini, ramai yang melihat mereka sebagai penyumbang terbesar pelbagai kes salah laku seperti dadah, merempit, jenayah dan sebagainya.
Statistik menunjukkan golongan belia yang paling banyak terbabit dengan pelbagai kes salah laku yang dinyatakan di atas. Malah, masalah-masalah ini membawa pula kepada kebimbangan pelbagai pihak kerana golongan belia terbabit akan merugikan diri sendiri dan merencatkan pembangunan negara.
Di sekolah, golongan yang boleh dikategorikan sebagai belia berdepan dengan pelbagai masalah seperti ponteng sekolah, pergaduhan, melawan guru dan juga merosakkan harta benda sekolah.
Pelan Menangani Gejala Disiplin di Sekolah diharap dapat membendung kes-kes disiplin di sekolah daripada terus berlaku. Hal ini kerana mereka perlu sedar cabaran sebenar kehidupan adalah di luar sana apabila mereka sudah menamatkan persekolahan.
Bagi golongan belia yang sudah berada dalam masyarakat, mereka mesti mempunyai ketahanan diri untuk menempuh pelbagai pancaroba yang mengitari hidup, menolak ke tepi gejala-gejala negatif yang boleh merosakkan diri dan masa depan.
Pokoknya mereka mestilah menggunakan akal fikiran yang waras apabila berdepan dengan sesuatu situasi, agar tidak terpengaruh dengan gejala tidak sihat.
Di tangan mereka suatu keajaiban boleh berlaku, begitu juga ia akan hilang jika golongan ini leka dan tidak menginsafi peranan mereka yang sebenar.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment