Thursday, 15 May 2014

Benarkah orang Malaysia mudah ditipu?


SECARA logiknya, mana ada orang boleh dengan senang-senang beri kita duit beribu-ribu ringgit dengan percuma dan saja-saja!

Dengan tidak payah berbuat apa-apa dan tidak pernah masuk peraduan apa-apa, tiba-tiba pula kita boleh diumumkan menang. Bukankah nampak sangat mengarutnya?

Tetapi itulah, ramai juga yang percaya mereka ini agaknya tergolong dalam ­ka­langan insan terpilih atau orang yang paling bernasib baik di muka bumi ini yang boleh dapat wang sebanyak itu dengan tidak perlu buat apa-apa atau cukup dengan mengeluarkan sedikit modal untuk mendapat wang yang berlipat kali ganda banyak­nya.

Mungkin sebab naluri untuk menjadi kaya terlalu kuat dan sudah berkurun memasang angan-angan untuk hidup bermewah-mewah, tanpa fikir panjang dengan apa yang ditawarkan, akhirnya mereka tertipu.

Ada yang bukan sekali kena tipu. Sudah beberapa kali, tetapi tidak juga serik-serik. Bila ditanya kenapa boleh kena tipu lagi, dia jawab rasa rugi sangatlah kalau tidak menang hadiah yang ditawarkan itu.

Penyudahnya, mengadu lagi dia kepada pihak polis atas kesilapan yang sama dilakukannya atau menceritakan kisah sedihnya ditipu itu kepada mana-mana biro aduan yang dikendalikan oleh parti-parti politik dengan harapan nasib dirinya dapat dibela.

Ada juga yang mengadu, memang betul mereka dapat hadiah itu, tetapi hadiah yang diberi nilainya terlalu kecil jika dibandingkan dengan duit yang mereka keluarkan untuk mendapatkan hadiah tersebut. Kalau dah namanya pun hadiah, kenapa pula perlu bayar untuk dapatkan hadiah itu?

Pada tahun lalu dianggarkan sebanyak RM1.78 bilion angka kerugian akibat jenayah komersial yang membabitkan bukan hanya penipuan siber, juga beberapa bentuk penipuan lain seperti peraduan yang didalangi warga asing.

Yang kena tipu bukan saja orang perempuan. Orang lelaki pun terjebak sama dalam peraduan-peraduan yang kononnya diadakan oleh syarikat-syarikat besar di negara ini seperti Petronas, Shell dan Maybank sedangkan syarikat-syarikat ini tidak pernah menganjurkan peraduan berkenaan.

Dalam pada itu, ada juga yang terpengaruh dengan emel-emel yang datangnya dari luar negara yang kononnya si pengirim yang kaya-raya itu ingin mengagihkan kekayaannya dengan mencari waris yang dipercayainya di negara ini untuk menyimpan wang miliknya.

Kenal pun tidak, tiba-tiba saja boleh percaya pada kita dan mahu mema­sukkan duit berjuta-juta ringgit ke dalam akaun kita dengan meminta maklumat terperinci mengenai diri kita. Ini memang sudah nampak jelas sangat pembohongannya. Tetapi itulah, yang ini pun ada yang masuk perangkap.

Biasanya, pihak yang tertipu ini tidak memberitahu sesiapa pun waima orang pa­ling dekat dengannya bahawa dia menerima dan melayan emel atau peraduan tersebut.

Mungkin mahu membuat kejutan apabila mendapat wang tersebut kelak, atau tidak mahu sesiapa mengetahui bahawa dia bakal kaya.

Apabila pindahan wang sudah dilakukan kepada pihak berkenaan dan hari demi hari berlalu tetapi tidak mendapat apa-apa, barulah dia gelabah dan memberitahu semua orang. Akhirnya dia sendiri yang menerima kejutan.

Cerita mengenai rakyat kita mudah ditipu oleh warga asing, bukan cerita baru. Ini cerita sudah lama. Tetapi yang hairannya statistik mengenainya tidak pun menunjukkan pengurangan setiap tahun. Walhal be­rita pasal penipuan seperti ini sudah banyak dilaporkan dalam akhbar, media elektronik dan media sosial.

Mungkin sebab lebih suka membaca bahan-bahan yang lebih menyeronokkan se­perti gosip-gosip artis dan dunia hiburan, dan menganggap apa saja yang dilaporkan dalam akhbar-akhbar arus perdana itu semuanya tipu belaka termasuk berita penipuan seperti ini, akhirnya mereka yang tertipu.

No comments:

Post a Comment

KELAB PENYOKONG POLIS

GELOBANG ANAK MUDA