Revolusi secara takrifannya ialah perubahan dari takuk yang lama kepada sesuatu yang baru. Dalam konteks Revolusi Musim Bunga Arab yang bermula di Tunisia (18 Desember 2010-14 Januari 2011), Mesir (25 Januari 2011-30 Jun 2012) dan Syria (15 Mac 2011-kini) menyaksikan tumbangnya pemimpin-pemimpin diktator yang telah memerintah sejak sekian lama.
Dapat disaksikan perpaduan dalam kalangan rakyat digembleng sepenuhnya untuk menjadi satu kuasa majoriti melebihi kekuatan ketenteraan kerajaan. Tidak dinafikan juga, pengaruh laman sosial dan campur-tangan kuasa asing yang mula menunjukkan taringnya untuk menjaga kepentingan mereka di negara-negara terbabit.
DARI RAKYAT KEPADA RAKYAT
Tunisia merupakan negara perintis. Negara kecil berkepadatan 10 juta penduduk ini dibelenggu masalah kemiskinan, pengangguran, rasuah, tiada kebebasan bersuara dan harga makanan yang tinggi. Segalanya bermula dari peristiwa seorang pemuda bernama Mohamed Bouazizi (26 tahun) yang bertindak membakar diri setelah gerai sayurannya dirampas oleh pihak berkuasa.
Merasakan keadilan tidak berpihak pada dirinya, beliau mengambil langkah berani tersebut dan akhirnya meninggal dunia pada 4 Januari 2011. Rentetan itu, beberapa siri protes telah diadakan di bandar-bandar utama seperti Tunis, Sousse, Meknassy dan Sfax bagi mendesak Presiden Zine El Abidene Ben Ali meletak jawatan.
Kemarahan rakyat terhadap beliau akhirnya dilepaskan setelah 24 tahun berkuasa tanpa sebarang tentangan.
Demonstrasi pada peringkat awal hanyalah disertai rakyat biasa namun kemudiannya disertai oleh pegawai kerajaan dan juga anggota polis dan tentera yang berpangkat tinggi. Demonstrasi tersebut akhirnya berjaya menumbangkannya walaupun cubaan mematahkannya menggunakan kekerasan. Beliau kini hidup dalam buangan di Arab Saudi.
Kesan domino akhirnya melimpah ke bumi Firaun, Mesir. Sejak sekian lama, kepimpinan negara dipegang oleh Presiden Hosni Mubarak yang juga merupakan panglima angkatan tentera. Seperti Tunisia, negara ini juga mengalami masalah yang hampir sama akibat dari penyelewengan kuasa dan rasuah yang berleluasa dalam kalangan pegawai kerajaan. Dataran Tahrir menjadi saksi Revolusi Mesir.
Selama hampir setahun, ribuan bahkan jutaan rakyat berhimpun untuk menyatakan sokongan terhadap demokrasi dan menumbangkan kerajaan sedia ada. Polis dan pengikut setia kepada Hosni Mubarak menggunakan kekerasan untuk menyuraikan mereka namun semangat kekentalan dan ketabahan menjadi azimat berharga. Sepanjang tempoh tersebut, dianggarkan sebanyak 6467 cedera dan 846 terkorban.
Situasi ini menekan kepimpinan Presiden Hosni Mubarak dan akhirnya beliau secara rasmi meletak jawatan pada 11 Februari 2011. Kepimpinan kerajaan diambil-alih oleh pihak tentera sementara menunggu pilihan raya diadakan. Bermulalah era baru dalam kancah politik Mesir apabila Mohamad Mursi dari Parti Ikhwanul Muslimin secara rasminya dilantik menjadi Presiden melalui pilihan raya yang sah dan adil.
Situasi di Libya dan Syria pula amat berlainan. Kedegilan Presiden Bashar Al-Assad (Syria) dan Muammar Gaddafi (Libya) daripada berundur telah menyebabkan perang saudara tercetus di antara pemberontak dan tentera pro-kerajaan. Bandar Benghazi (Libya) dan Homs (Syria) menjadi kubu kuat puak penentang. Dapat dilihat campur tangan dari kuasa Barat yang berniat jahat. Jet-jet pejuang NATO yang diketuai Britain dan Perancis telah membantu pemberontak Libya dengan membedil sasaran utama tentera Gaddafi.
Di Syria, tekanan dari Amerika Syarikat berjaya dihalang dengan bantuan Russia dan China melalui kuasa veto yang dimiliki. Tidak lupa juga Iran dan Hezbollah yang merupakan sekutu kuat Presiden Bashar. Walaupun perang di Libya sudah berakhir dengan tewasnya Muammar Gaddafi, kesudahannya amatlah menyedihkan. Beliau dibelasah sehingga mati di bandar kelahirannya, Sirte. Tiada keadilan mahupun perbicaraan diberi sebaliknya rakyat Libya sendiri yang rela untuk menjadi kuda tunggangan kuasa besar tanpa memikirkan akibat daripada tindakan mereka.
ARTIKEL INI TELAH DISIARKAN OLEH ; 10 SEPTEMBER 2012. DI LUAR KOTAK!!!