SIRI 2 : PENINDASAN TERHADAP ORANG ISLAM MINORITI DI ASIA TENGGARA. APA KESUDAHANNYA?
DILEMMA PRIMADONA
Berlarutannya krisis kemanusiaan di Myanmar tanpa jalan penyelesaian yang konkrit merupakan kegagalan utama pemimpin pro-demokrasi, Aung San Suu Kyi. Walaupun kerajaan junta tentera tidak lagi mempunyai kuasa autokratik yang sepenuhnya ke atas pemerintahan namun ianya seolah-olah tidak memberi apa-apa makna kepada golongan minoriti seperti etnik Rohingnya dan Karen. Sikap membisu pemimpin pro-demokrasi itu juga turut dipersoal banyak pihak kerana sehingga kini beliau masih enggan mengkritik penindasan yang dilakukan.
Taraf ekonomi, sosiopolitik dan pendidikan pula dilihat masih lagi jauh ketinggalan di belakang dan ini jelas membuktikan penganiayaan sekarang semakin teruk khususnya ke atas umat Islam minoriti. Dakwaan ini disokong berikutan etnik Rohingya dan Karen dikatakan gagal menyediakan wakil daripada etnik mereka yang fasih berbahasa Inggeris berikutan kunjungan wakil PBB ke Myanmar. Rundingan yang diadakan oleh PBB itu, adalah bertujuan untuk mencari jalan penyelesaian berhubung konflik berdarah yang berlaku di Myanmar.
Ketidakupayaan Aung San Suu Kyi untuk menyelesaikan krisis ini mungkin disebabkan terhadnya kuasa untuk membuat keputusan kerana Myanmar masih ada lagi pelobi di dalam kerajaan yang cenderung ke arah proksi junta yang lama. Selain beralasankan mahu menghormati undang-undang negaranya mengenai keperluan penguatkuasaan undang-undang imigresen yang lebih jelas. Campur tangan kuasa luar seperti China dan Amerika Syarikat yang memberi kesedian untuk membantu Myanmar pula sebenarnya telah memburukkan lagi keadaan.
Beralasankan mahu menegakkan demokrasi, hanyalah tipu-helah semata-mata kerana masalah dalaman sesebuah negara tidak boleh diselesaikan oleh sebuah negara asing yang sudah pasti mempunyai budaya dan pemikiran yang berlainan. Lagipun kita sedia maklum, negara Amerika Syarikat bukan contoh terbaik untuk membawa proses kedamaian kerana imejnya sudah terkenal sebagai samseng besar.
Tambahan pula, China juga turut melakukan penindasan yang sama juga terhadap golongan Islam minoriti di dalam negaranya yang selama ini “dibungkus kemas”.
SEANTERO
Dalam konteks yang lebih global, organisasi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sepatutnya memainkan peranan yang lebih dalam menangani isu kemanusiaan yang berlaku di serata dunia. Simbol zaitun di atas peta dunia yang menjadi logo rasmi pertubuhan sepatutnya menjalankan peranan yang lebih serius dan tidak mengamalkan berat sebelah dalam menjalankan tugas.
Sejak penubuhannya selepas Perang Dunia Ke-2, pemberian kuasa veto kepada lima kuasa bersekutu yang memenangi perang tersebut iaitu negara Amerika Syarikat, Perancis, Britain, Rusia dan China memberikan mereka kuasa yang lebih untuk menyokong atau membantah sesuatu usul yang dicadangkan oleh perwakilan yang bersidang. Ini bermakna sebarang resolusi yang tidak menguntungkan pihak yang berkepentingan akan segera ditolak seperti yang berlaku ke atas isu Syria baru-baru ini.
Situasi sebegini sudah pasti menimbulkan persoalan tentang keupayaannya untuk menegakkan demokrasi kerana suara majoriti boleh ditolak bulat-bulat oleh sebarang negara yang mempunyai kuasa veto. Kesannya dapat dilihat pada isu Israel-Palestin yang berlarutan sejak dari tahun 1948 sehingga hari ini kerana dasar luar Amerika Syarikat yang melindungi saudaranya Israel dari dikenakan sebarang tindakan atau sekatan walaupun terang-terangan rejim zionis membunuh rakyat Palestin.
DIMENSI MEMBUTAKAN MATA, MEMEKAKAN TELINGA.
Kesatuan umat Islam yang berjumlah 1.5 bilion di bawah naungan Pertubuhan Negara Islam (OIC) pula hanyalah seperti “melukut di tepi gantang” yakni mengambil sikap “tunggu dan lihat”. Berpuluh persidangan yang dianjurkan tidak membawa apa-apa makna tanpa sebarang penyelesaian yang tuntas.
Jangan lupa bahawa, dahulu kita terpaksa bergantung kepada bantuan kuasa Barat untuk menyelamatkan umat Islam di Bosnia daripada terus disembelih tentera Kristian Serb melalui bantuan NATO dan juga peranan ISAF (International Security Asistant Force) untuk menjaga keamanan di Afghanistan.Penyertaan dari negara yang mempunyai umat Islam teramai di dunia iatu Indonesia pula amatlah dialu-alukan kerana ianya adalah sesuatu yang pelik kerana ketiadaan negara `bakso` ini membuktikan segala cakap-cakap mereka untuk memajukan umat Islam hanyalah omong kosong.
Negara Iran yang menganut fahaman Syiah pula dibiarkan bersendirian menghadapi kuasa-kuasa Barat hanya kerana menganut mazhab yang berbeza. Contoh yang lain adalah Turki yang masih terus-menerus ingin melaksanakan impiannya untuk menyertai Kesatuan Eropah (EU) tanpa ada sebab yang jelas. Kesemua permasalah dalaman di negara Islam ini akan melemahkan struktur organisasi itu sendiri sekaligus memberi tiket kepada negara bukan Islam untuk terus menindas dan membuli umat Islam di Myanmar, China, Palestin, Iraq, Afghanistan dan berterusan ke seluruh dunia.
Blok Asia Tenggara yang mempunyai penduduk seramai 500 juta orang serta dikuniakan hasil bumi yang banyak dilihat mampu mengimbangi pengaruh India dan China yang dilihat semakin agresif dalam menyebarkan kekuatan ekonomi dan ketenteraan mereka khusunya di rantau Laut China Selatan dan Lautan Hindi. Negara ASEAN yang dianggotai 10 negara boleh menjadi sekuat Kesatuan Eropah (EU) jika perpaduan dan sengketa dalaman dapat diselesaikan dengan bijak.
Prinsip ASEAN yang tidak mahu mencampuri urusan dalaman negara anggota inilah yang menjadi penyebab berlakunya campur tangan negara luar untuk menangani permasalahan yang berlaku. Polisi ini sebenarnya harus diubah supaya keupayaan ASEAN akan dilihat lebih proaktif dalam menyelesaikan pelbagai isu termasuk kemanusiaan. Selain hanya bertindak membuka pintu kepada pelarian yang memohon suaka politik selama ini dilihat bukan cara harus dikekalkan .
Ini kerana kebanyakan etnik dan suku kaum di setiap negara mempunyai kaitan dengan saudara mereka yang menetap di negara jiran. Sebagai contoh Indonesia, Malaysia, Singapura, selatan Thailand dan Filipina merupakan sebuah kepulauan Melayu pada zaman dahulu sebelum dipecah-belahkan oleh penjajah Barat. Begitu juga Indochina yang dibahagikan menjadi tiga negara oleh Perancis kepada Laos, Kemboja dan Vietnam untuk mengelakkan mereka bersatu.
Sementara susur-galur penduduk Thailand dan Myanmar dikatakan berasal dari rumpun yang sama tetapi berpecah menjadi bangsa yang berlainan. Ini boleh dijadikan bukti betapa seharusnya nilai perpaduan boleh disemai melalui pertubuhan ASEAN seperti penganjuran Sukan SEA dan Kejohanan Bola Sepak AFF Suzuki.
Oleh itu, kebergantungan kepada kuasa Barat seharusnya dihentikan sama sekali khususnya dalam hal-ehwal ketenteraan. Keadaan ini menjadi tanda bahawa hormat-menghormati di antara negara jiran itu wujud seperti di Filipina yang membenarkan Amerika Syarikat membina pangkalan tentera laut di negara mereka walaupun dibantah oleh rakyat tempatan.
Negara Brunei pula wajib keluar dari kepompongnya dan terbang ke dunia realiti kerana konflik yang berlarutan di negara serantau lambat-laun akan merebak ke negara mereka jika sikap tidak ambil tahu gagal dibuang. Peranan negara ASEAN yang lain boleh dimaksimakan melalui bantuan kepakaran untuk memajukan ekonomi negara yang kurang membangun seperti Timor Leste, Kemboja dan Laos.
Walaupun perkara ini kedengarannya agak mustahil namun jika kita berusaha dan bertekad sudah pasti akan ada sedikit sinar harapan dan bantuan daripada-Nya. Amin.
No comments:
Post a Comment