Monday 20 August 2012

Mercun Setiap Tahun “Makan” Tangan.



Mercun Setiap Tahun “Makan” Tangan.


Tiba sahaja Bulan Ramadhan, bunyi mercun sudah mula bersahut-sahutan. Malah dikatakan bertambah riuh rendah apabila selesai sahaja berbuka puasa dan solat Maghrib.  

Puncanya, bahan ini sangat mudah diperolehi. Sebab itulah, perniagaan menjual mercun dan bunga api di negara ini seperti “cendawan tumbuh selepas hujan”.
Jika dilihat dari sudut yang positif, benar dengan adanya bunga api dan mercun ini akan lebih memeriahkan lagi musim perayaan.

Lagi-lagi jika dimainkan di malam ambang Raya, dentuman bunyi mercun serta percikan bunga api yang menghiasi angkasaraya dengan serentak secara tidak lansung menggambarkan kemeriahan ketibaan Hari Raya. 

Maka tidak hairanlah setiap tahun kita disajikan bunyi-bunyian mercun, serta bergegas keluar rumah untuk melihat bunga api yang mekar dan berwarna warni. Disebabkan begitu ramai yang bermain bunga api dan mercun, asap yang terhasil pula menjadi jerebu. Perkara biasa.

Bagi peniaga mercun dan bunga api pula, ini adalah sumber rezeki tambahan untuk menampung keperluan di Hari Raya. Ekoran itulah, pembukaan gerai-gerai menjual bahan ini juga sangat mudah kita lihat di kiri dan kanan kita.

Tapi dari segi undang-undang negara, bahan ini diharamkan penjualannya sejak diwartakan pada tahun 1957 lagi. Ini kerana, mercun dan bunga api dikatakan lebih membawa kepada kesan negatif yang banyak berbanding kesan baiknya. 

Lantaran itu operasi demi operasi daripada pihak berkuasa mengawal kemasukan bahan ini ke dalam negara, selain giat bertindak merampas dan menahan individu yang mengedarnya kepada umum. Langkah ini diambil untuk mencegah berlakunya kemalangan jiwa disebabkan bahan itu.

PEMBAZIRAN

Bermain mercun seharusnya kena pada tempat dan waktunya. Ini tidak, kalau sudah tahu orang-orang sedang mengerjakan solat terawih, tadarus dan aktiviti keagamaan lain di dalam masjid mahupun surau, janganlah membakar mercun berhampiran dengan rumah ibadat tersebut. 

Ini kerana, dentuman mercun berkenaan akan menganggu jemaah yang sedang mengejarkan ibadat. Secara jujurnya, perbuatan tidak bertanggungjawab itu sangat menyakitkan hati.

Menjadikan mercun sebagai alat guraun dengan tujuan menakut-nakutkan individu lain, jangan sesekali dilakukan. Harus diingat, mercun boleh mendatangkan kecerderaan fizikal. Malahan ada yang berisiko cacat seumur hidup, ataupun hilang keupayaan pancaindera.

Lihat sahaja cerita di akhbar-akhbar perdana dan juga berita television baru-baru ini, beberapa orang telah hilang tangan akibat kecuaian bermain mercun. Tambahan pula, ini bukan insiden yang pertama dilaporkan di negara ini.

Kekerapan berlakunya insiden ini kepada orang Melayu terutamanya ketika di bulan Ramadhan sering berlaku saban tahun. Adakah orang kita tidak pandai bermain mercun? walhal sudah beberapa kali diberitahu, dinasihat serta ditunjukkan bukti implikasi bahana mercun ini.

Cukuplah, mercun bukan bahan yang sesuai untuk kita berseronok ataupun berlagak pandai membuat eksperimen keatasnya. 

Banyak lagi perkara lain yang boleh kita lakukan, malahan untuk tidak membelinya salah satu cara mengelak untuk hilang anggota tubuh badan selain mengelakkan pembaziran wang ringgit.

Prihatin~



No comments:

Post a Comment

KELAB PENYOKONG POLIS

GELOBANG ANAK MUDA