Friday 27 April 2012

Sembang Mesra Belia DUN Engkilili







LUBOK ANTU – 17 Mac yang lalu telah berlansung Program Sembang Mesra Belia bertempat di Taman Rekreasi Wong Ajong, Engkilili. Mengambil tema santai dan sambil beriadah, taman rekreasi tersebut dijadikan pilihan untuk program kali ini. Antara tetamu yang hadir ialah Pemuda SUPP dan Pegawai Belia dan Sukan Bahagian. Program ini juga telah dihadiri seramai 100 orang belia yang majoritinya ialah bumiputera.

Pelbagai isu telah diketengahkan oleh belia pada program berkenaan. Antaranya ialah, isu pendidikan. Mereka memberitahu bahawa masalah ketiadaan institusi pendidikan di daerah Engkilili telah menyebabkan peluang untuk mereka menyambung pelajaran tidak kesampaian. Masalah itu menyebabkan banyak belia mengambil keputusan untuk keluar dari kawasan Engkilili kerana mahu menyambung pelajaran yang lebih tinggi. Oleh sebab itu, mereka mencadangkan supaya diwujudkan institusi pendidikan di Daerah Engkilili.

Masalah kekurangan pekerjaan dan pengangguran turut menjadi topik perbincangan. Hal ini adalah disebabkan kurangnya peluang pekerjaan di pekan Engkilili. Oleh kerana itu, masalah pengangguran di kawasan mereka meningkat. Jadi sebab itu, mereka sangat berharap supaya isu ini dapat diselesaikan dengan segera. Ini kerana, mereka juga berhasrat untuk mencari pengalaman di dalam bidang pekerjaan yang lain.

Untuk pengetahuan umum, belia di kawasan ini hanya memperoleh pekerjaan yang diwarisi keluarga mereka seperti tukang kayu dan berkebun sahaja. Pada masa sekarang pekerjaan seperti itu ujar mereka, lansung tidak menarik minat mereka selain pendapatan yang diperolehi juga agak setimpal.
Bercakap mengenai politik, mereka menjelaskan bahawa mereka lansung tidak didedahkan dengan perkembangan politik terkini. Bagi mereka yang mengetahui hal-hal politik semasa, mereka adalah segelintir orang yang rapat dengan wakil rakyat sahaja. Oleh yang demikian penerimaan mengenai pelbagai isu tidak menyeluruh di kalangan belia setempat.

Selain tidak didedahkan mengenai politik, mereka juga tidak didedahkan mengenai kemudahan jalur lebar ataupun pengunaan IT di rumah panjang. Celik IT dikalangan belia setempat juga dikatakan hanya diketahui sebilangan kecil mereka sahaja.

Menurut mereka juga, dii kawasan setempat mereka jarang sekali diadakan aktiviti sukan, ceramah, mahupun kursus.  Oleh itu, mereka menggesa pihak yang berkenaan supaya mengadakan pelbagai aktiviti di tempat mereka. Mereka berpendapat dengan adanya aktiviti sihat seperti, masa yang terluang dapat diisi dengan pelbagai infomasi yang berguna.

Isu jalan yang tidak berturap sehingga ke rumah panjang, ketiadaan bekalan air bersih dan juga elektrik di beberapa rumah panjang turut dibahaskan oleh mereka. Ketiadaan kemudahan seperti itu telah menyebabkan mereka gagal untuk mendapat segala info terkini. Selain ketinggalan pelbagai aspek pembangunan negara.

Oleh hal yang demikian, mereka benar-benar  berharap sepenuhnya supaya isu ini diberi perhatian serta diambil tindakan segera oleh pihak Kerajaan.
Penyediaan kemudahan asas yang berkualiti  dilihat mampu meringankan beban rakyat di kawasan pendalaman yang daif.

Menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik adalah harapan mereka selama ini dalam mengecapi nikmat kemakmuran negara. Oleh itu, tindakan susulan daripada pihak Kerajaan supaya membantu mereka pada kadar segera amatlah diperlukan.

No comments:

Post a Comment

KELAB PENYOKONG POLIS

GELOBANG ANAK MUDA