Tuesday 24 April 2012

Belia ku hanyut dan terkapai-kapai angkara siapa?





Ketika saya mengemas kini maklumat di setiap bahagian di Sarawak dan membacanya satu persatu, saya mendapati isu belia seperti masalah sosial melibatkan remaja sering diutarakan mereka di Program Sembang Mesra. Saya kemudiannya menggaru garu kepala walaupun tidak gatal tanda kehairanan, rupa-rupanya kebanyakkan masalah sosial sememangnya berlaku di luar Bandar dan ianya di tahap kritikal!.

Persepsi saya selama ini mengenai remaja di bandar sahaja yang liar meleset dengan serta mertanya. Situasi yang sama turut berlaku di kawasan luar bandar. Jadi ini bermakna di segenap pelusuk ceruk mana sekalipun masalah sosial sememangnya berlaku, cuma kita sahaja yang jarang mengetahuinya.

Remaja adalah remaja, kemahuannya penuh dengan pelbagai keinginan. Disebabkan usia mereka yang separa matang, kelakuan serta tindakan yang mereka ambil berdasarkan fikiran yang amat singkat. Saya kongsikan sebuah kisah ketika saya membuat liputan Program Sembang Mesra Belia. Kisahnya begini,

Bulan lepas saya menemani salah seorang Pegawai Belia dan Sukan untuk pergi membuat liputan sembang mesra belia di Balai Ringin, Sri Aman Sarawak. Perjalanan selama 6 jam diperlukan untuk sampai ke daerah berkenaan akhirnya kami tiba tepat pada waktunya. Balai Ringin, daerah di dalam kawasan Parlimen Sri Aman sememangnya agak jauh dari kawasan bandar. Di daerah ini, penduduk setempatnya berbilang bangsa serta jumlah belianya pula adalah ramai. Buktinya, kehadiran mereka di dewan masyarakat Balai Ringin, amat menggalakkan.

Setelah beberapa sesi tamat, (iaitu ucapan alu aluan dan amamat daripada Yang Berhormat) tibalah detik yang saya nantikan. Iaitu sesi dialog bersama wakil rakyat.

Seorang demi seorang yang tampil untuk menyuarakan pendapat, pandangan dan mengutarakan permasalahan mereka. Walaupun mereka berinteraksi dengan wakil rakyat menggunakan bahasa Iban, isu yang diketengahkan mereka lebih kurang sama.

Setelah itu, seorang lelaki bingkas bangun reaksinya cukup bersemangat. Beliau adalah individu yang keempat untuk melontarkan soalan kepada wakil rakyat yang duduk di hadapan. Setelah bercakap 3 isu diutarakan saya kemudiannya tertarik kepada isu yang keempat.

Beliau memulakan ayat begini, “Yang Berhormat, masalah seterusnya ialah masa biji-bijian iaitu biji benih yang berleluasa di kampung saya” soalan itu menyebabkan tetamu yang hadir termasuk saya kehairanan. Hingar bingar suasana dewan jadinya.

Beliau menyambung lagi “masalah biji-bijian ini kepada belia di kawasan saya semakin menjadi-jadi, masalah semakin ramai”.

Saya semakin kebingungan, adakah beliau maksudkan biji benih untuk pertanian? Saya mengajukan soalan berkenaan kepada beberapa orang tetamu yang hadir dan mereka menggelengkan kepala.

Namun beberapa rakan lelaki berkenaan tersenyum simpul sambil ada di antaranya berteriak dari jauh tanda sokongan. Suasana dewan dirasakan semakin hangat. Tetamu yang hadir pula semuanya menfokuskan pandangan mereka kepada lelaki itu. Beberapa lelaki yang bertempik serta bersorak saya dapat rasakan mereka juga tahu perkara yang disampaikan oleh lelaki berkenaan.

Lelaki itu kembali ke tempat duduknya setelah selesai memberi pandangan. Beliau disambut dengan tepukan gemuruh serta menerima jabat tangan daripada rakan-rakannya.

Suasana menjadi tenang seketika apabila Yang Berhormat Snowdan Lawan ADUN Balai Ringin mengambil mikrofon.

Yang Berhormat kemudiannya memulakan ayatnya begini,  “saya tahu perkara itu, untuk makluman penduduk kampung masalah biji-bijian yang dimaksudkan oleh saudara tadi ialah masalah pil-pil khayal yang remaja kita makan” jawapan itu telah menggamatkan sekali lagi dewan berkenaan serta diiringi dengan tepukan.

Sambung Yang Berhormat lagi “betul ke tidak saudara???” soalan yang ditujukan tepat kepada lelaki tadi. Lelaki itu segera mengangguk kepalanya tanda YA.

Saya mengambil penuh perhatian dan mencatitnya di dalam jurnal, tajuknya masalah sosial juga berlaku di luar bandar dan saya bulatkan tajuk itu. Sebagai perhatian. Ketika itulah bermacam-macam soalan mulai timbul di dalam kepala saya.

“Masalah remaja memakan pil-pil khayal yang semakin menjadi-jadi di kawasan kita ini adalah disebabkan orang luar iaitu orang yang berada di Bandar Kuching membawanya dan menjualkannya kepada belia kita”. Ujar Yang Berhormat.

Kenyataan yang sangat jelas membuktikan bahawa pil khayal berkenaan sengaja disebarkan. Kemungkinan dilakukan oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, “sekirannya tuan-tuan dan puan-puan mengetahui siapakah yang mengedar barang ini sila laporkan kepada saya terus dan pastikan anda mempunyai bukti yang kukuh untuk mendakwa si pelaku”.
“sebelum ini saya cuma pernah mendengar perkara ini, dan ada orang yang melaporkannya kepada saya cuma saya tiada bukti”

Dengan nada tegas beliau menambah “jika anda berjaya menangkap si pelaku bersama bukti, saya akan memberikan anda ganjaran”.

Semua hadirin yang hadir memberikan tepukan gemuruh di atas kenyataan Beliau itu. Rata-rata daripada mereka bersetuju dengan cadangan berkenaan.

Secara peribadinya saya sangat berpuas hati dengan jawapan yang telah diberikan oleh wakil rakyat berkenaan. Walaupun bukan saya yang mengutarakan isu itu, saya tetap berpuas hati.
Apa yang saya dapat simpulkan ialah wakil rakyat di kawasan berkenaan menjalankan tanggungjawab, tugas serta amanah. Selain prihatin terhadap masalah belia di kawasan beliau, beliau juga sangat aktif dalam persatuan belia kugiran. Tidak hairanlah pemimpin ini disenangi dan mudah didekati.

Ketika kami menjamu selera, saya sempat pasang telinga ketika wakil rakyat berbual dengan Pegawai Belia dan Sukan. Yang menariknya topik perbualan mereka hanyalah isu belia sahaja. Beliau juga mahu program sebegini diteruskan lagi dimasa kelak. Paling mengujakan saya, beliau juga turut berhasrat mahu mengadakan Karnival Belia di kawasan berkenaan serta menajanya.

Pemimpin yang memimpin orang yang dipimpinnya kearah landasan yang betul, itu barulah pemimpin. Pemimpin sedemikian unggul, ini kerana ianya menjamin kesejahteraan pengikut mereka. Jadi, belia haruslah bijak memilih pemimpin untuk diikuti supaya tidak tersasar dari landasan sebenar. Harus ingat, di arus perdana inilah kita sebenarnya dikelilingi oleh manusia fasik dan munafik. Belia harus bijak, dan janganlah jadi pak turut!

No comments:

Post a Comment

KELAB PENYOKONG POLIS

GELOBANG ANAK MUDA