Wednesday, 21 May 2014

Mencerna Apa Itu Transformasi


SUATU kaji selidik yang dikendalikan oleh Merdeka Centre mendapati 52 peratus daripada responden yang dikaji selidik tidak tahu tentang program transformasi ekonomi dan daripada 48 peratus yang tahu, 80 peratus daripada mereka memberitahu tidak tahu banyak tentang program tersebut.

Kurang daripada setengah 47 peratus daripada mereka yang dikaji selidik menganggap program-program transformasi ini akan membawa negara kita ke arah negara berpendapatan tinggi.

Ada dua pilihan kepada yang berkenaan untuk melayan maklum balas ini. Pertama, tidak usah dipedulikan kerana maklum balas begini tidak penting dan hanya akan mematahkan semangat mereka yang berfahaman bahawa transformasi ini adalah satu-satunya usaha yang bakal membawa perubahan besar. Kedua, mengambil kira maklum balas ini kerana mereka yang memberikan maklum balas pada hari terbuka program transformasi tempoh hari mempunyai kepentingan sendiri.

Kalau hendak diambil kira maklum balas ini, perlulah sesuatu dilakukan supaya maklumat yang penting sampai kepada fahaman rakyat seperti yang dikehendaki.

Dalam ilmu komunikasi penghantar mesej tidak boleh membuat andaian yang penerima maklumat mempunyai kerangka rujukan sama seperti penghantar maklumat. Banyak maklumat yang dihantar boleh disalah interpretasi atau tafsir atau ditokok tambah mengikut kerangka rujukan si penerima.

Dalam kajian tersebut dinyatakan walaupun sudah banyak maklumat disebarkan tentang program transformasi ekonomi ini tetapi masih rendah lagi tahap kefahaman rakyat. Ini bermakna banyak lagi maklumat yang perlu disampaikan kepada rakyat.

Mungkin roadshow ke setiap negeri perlu diadakan supaya wakil-wakil dari kampung dan daerah dapat menghadiri ceramah ini. Lapisan masyarakat yang bakal dijemput ini tentulah berbeza dengan mereka yang hadir pada hari terbuka tempoh hari.

Apakah penting atau tidak pentingnya rakyat biasa memahami apa yang dilakukan? Atau mereka yang terbabit dengan pelaksanaan program ini sahaja yang perlu ambil tahu, seperti penjawat awam dari peringkat atas sehingga bawah. Mereka ini bakal melaksanakan program-program berjiwa besar.

Kemudian kita juga berhadapan dengan penyebar maklumat yang tidak dipelawa seperti di dalam blog-blog dan alam siber.

Mereka ini sedikit sebanyak akan melentur pemikiran masyarakat awam. Mahasiswa adalah satu-satunya kumpulan rujuk yang berpengaruh yang membaca blog-blog ini dan bila balik bercuti menceritakan kepada ibu bapa mereka fahaman mereka yang tidak semestinya pengertian yang dikehendaki oleh pihak yang bertanggungjawab.

Dua minggu lalu, saya ada menulis tentang risiko program besar-besaran ini.

Pertama risiko daripada pelaksanaannya dan kedua risiko dari segi kewangan. Walaupun kerajaan dijangka membelanjakan lapan peratus daripada RM1.3 trilion dalam masa 10 tahun ini bererti sebanyak RM104 bilion perlu digembeling. Kita memerlukan pertumbuhan tidak kurang enam peratus setiap tahun sehingga 10 tahun untuk mencapai hasrat menjadi negara berpendapatan tinggi. Pertumbuhan ini banyak bergantung kepada respons daripada sektor swasta kita.

Kita tidak boleh berharap sangat dengan pelabur asing kerana pelabur asing ini banyak juga kerenah mereka dan kalau mereka tahu yang kita ini terlampau ‘terdesak’ sangat, mereka tentu akan jual mahal. Tinggallah syarikat kita yang diharap akan menjana pertumbuhan yang dijangka itu. Apakah mereka ini akan sanggup bertukar haluan dan mengarahkan pelaburan mereka balik ke sini?

92 peratus daripada RM1.3 trilion ialah satu angka yang besar. Mereka yang terbabit dengan projek-projek kemasukan ini akan terpaksa menjual bon kepada orang ramai dari luar dan dalam negeri untuk membiayai projek-projek mereka. Ambil contoh MRT yang bernilai RM36 bilion, tentu sebahagian daripada pakej kewangan pembiayaan melibatkan penjualan bon untuk tempoh matang beberapa tahun.

Baik orang luar mahupun orang dalam negeri, mereka akan menjual bon sebagai salah satu jalan pembiayaan. Tidak ada seorang pun yang akan meletakkan ‘hard cash’ untuk sesuatu projek, kecuali mungkin PNB dengan menara 100 tingkatnya.

Ada baiknya kita melihat apa yang berlaku di Dubai dengan pelbagai rancangan mega mereka yang akhirnya terbengkalai dan bon mereka tidak dapat ditebus balik. Kini, sesetengah hartanah di sana dijual pada paras 20 peratus nilai asal mereka.

Dubai juga mempunyai hasrat untuk menjadi tempat yang terulung di Timur Tengah dengan ramai orang bank berkejar ke sana memberikan pinjaman sehinggalah ‘belon’ hartanah mereka pecah.

Siapakah yang bakal mendapat manfaat daripada Menara Warisan 100 tingkat tersebut misalnya? Macam bangunan KLCC hendak menyewa untuk ruang pejabat pun ramai yang tak mampu. Kemudian ruang untuk jualan, berapa kerat sangat orang Melayu yang mampu berniaga di sana.

Sewa tetap akan terus naik sehinggalah tidak terdaya untuk menyewa lagi. Sebagai suatu institusi yang bertanggungjawab dengan pelaburan, bukankah PNB patut melihat peluang-peluang untuk mengembangkan sayap mereka keluar negara dalam bidang-bidang yang menguntungkan dan berkongsi pulangan daripada pelaburan luar tersebut dengan pemegang unit.

Kita lihat dalam tahun 2008 dulu semasa krisis kewangan global, banyak institusi antarabangsa seperti Citicorp, UBS, Morgan Stanley tersungkur sehingga memerlukan penyelamat. Kita patut mengambil peluang tersebut dan memperluaskan portfolio pelaburan kita ke luar negara, terutama sekali yang mampu memberikan pulangan yang menguntungkan. Memanglah hartanah pun suatu pelaburan tetapi di mana letaknya bidang kepakaran PNB? Hartanah atau pelaburan portfolio?

No comments:

Post a Comment

KELAB PENYOKONG POLIS

GELOBANG ANAK MUDA