Mutakhir ini, perihal politik negara telah menjadi fenomena. Ini kerana, dari semasa ke semasa ada-ada saja berita mengisi ruangan tersebut. Baik dari akhbar, televisyen sehinggalah blog “rancak” mempermainkan isu politik.
Fenomena ini muncul berikutan tsunami politik yang telah melanda pada negara pada tahun 2008. Jadi tidak hairanlah pelbagai kelompok masyarakat mahupun genre umur mula berjinak-jinak bercakap hal politik. Sesetengah kelompok enggan mengaku ambil tahu perihal politik negara, alasannya kami di atas pagar. Itu bermakna mereka juga tahu perkembangan politik negara.
Namun apa yang menjadi kerisauan penulis, adakah “saluran informasi” mengenai politik yang mereka perolehi benar-benar jujur ataupun ikhlas memperjuangkan hak rakyat. Ini kerana, ramai di antara kita sering kali menerima informasi yang sangat mengelirukan. Malah ada yang sangsi, sehingga terjadinya persepsi. Bagi mereka yang matang mengenai isu politik sudah pastinya kebal, tetapi bagaimana pula mereka yang masih baru-baru ini? lebih jelas lagi, generasi muda kita.
Penyebaran informasi yang kurang tepat ini oleh segelintir penglipur lara ini baik dari media cetak, elektronik mahupun mereka yang memberi ceramah berunsur politik dilihat sengaja memanipulasikan masyarakat.
Jelas, senario ini berpunca daripada keghairahan sesetengah pihak yang berpolitik dimana mereka ini tidak lansung memikirkan akibat jangka masa panjang. Apa yang menjadi perhatian penulis apabila isu sensitif disentuh dimana, Perlembagaan Negara yang sudah termaktub sekalipun dipersoal. Benar, kita sebuah negara demokrasi dimana kita berhak bersuara. Namun sejauh manakah kematangan kita memahami demokrasi?
HAK KEISTIMEWAAN
Mempersoalkan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera sepatutnya tidak masuk list. Malangnya, isu ini dipersoalkan dengan lantang sekali oleh pihak yang berpolitik. Penulis kehairanan mengapa ahli politik mempersoalkan isu ini, sedangkan mereka perlu memperjuangkan nasib rakyat?.
Lebih memburukkan keadaan apabila hak keistimewaan ini disalah ertikan oleh kaum lain. Sehingga mereka beranggapan disebabkan keistimewaan itu, kaum mereka dipinggirkan di Malaysia. Berpolitik begini langsung tidak matang. Jika ahli politik mahu memperolehi undi dari kaum lain ini bukan caranya. Mencurah minyak keatas api lah jawabnya. Penulis sangat bersetuju saranan negarawan ulung negara Tun Mahathir Mohamad supaya kita belajar Sejarah. Apabila diamati saranan itu, besar maknanya.
Melayu dianggap rasis apabila bercakap mengenai nasib dan hak mereka, namun apabila kaum lain bercakap mengenai hak mereka tidak pula dilabel rasis. Orang Melayu akhirnya dilihat banyak mengalah, jika ada di antara kita bercakap mengenai Melayu terus dikatakan perkauman. Di dalam perlembagaan Bahasa Kebangsaan adalah bahasa Melayu, agama Islam pula agama rasmi dan agama-agama lain pula bebas untuk di amalkan. Manakala hak kedudukan keistimewaan orang Melayu pula dilindungi oleh perlembagaan dan orang bukan berbangsa Melayu juga dilindungi. Bangsa lain harus sedar, di negara kita ini mereka berhak menggunakan bahasa ibunda mereka, sekolah jenis kebangsaan dan budaya mereka dikekalkan.
Beranggapan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera meminggirkan kaum lain, adalah tidak benar sama sekali. Jika dibandingkan dengan negara serantau, kaum-kaum lain serta merta diasimilasikan sehingga bahasa dan budaya yang menjadi identiti kaum mereka lenyap. Sekiranya mahu hapuskan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera, kaum-kaum di Malaysia juga haruslah menghapuskan hak keistimewaan mereka juga. Mereka tidak boleh menggunakan bahasa ibunda mereka, sekolah jenis kebangsaan juga mestilah dihapuskan. Bukankah keadaan itu merugikan kita semua?
Tafsirkanlah intipati yang disampaikan oleh mereka-meraka yang bermain di dalam arena politik negara kita. Jika cadangan mereka membawa kepada kemakmuran untuk kita sajikan kepada generasi mendatang, sokonglah. Jika agenda mereka demi undi, kuasa, wang ringgit sehingga nasib negara kita diperjudikan, wajar kita tolak. Junjunglah semangat 1 Malaysia. Ianya tidak sukar untuk dilakukan oleh kita semua, jika kita mengikiskan ego dan angkuh sesama kita.
“Perpaduan asas kemakmuran Negara”