Sunday 28 December 2014

Kenapa Ikhwanul Muslimin Ditakuti? Dan Kenapa Pula Yusuf Al-Qardawi Dibimbangi?


TUDUHAN SENGAJA DIREKA OLEH PROKSI YAHUDI DAN AMERIKA

Waran tangkap yang dikeluarkan oleh Polis Antrabangsa (Interpol) untuk menahan Presiden Kesatuan Ulama Sedunia Dr Yusuf Al-Qaradawi ternyata mengejutkan ramai pihak dan menganggap ini satu konspirasi terancang untuk melemahkan Ikhwanul Muslimin.

Terdahulu, Interpol melalui laman webnya pada 5 Disember lalu, telah mengeluarkan notis merah terhadap Al-Qaradawi, 88 tahun.

Beliau dikehendaki pihak berkuasa kehakiman Mesir atas dakwaan dan sabitan hukuman kerana dituduh menghasut dan membantu pembunuhan antarabangsa, membantu banduan melepaskan diri dari penjara, aktiviti vandalisme dan kecurian.

Menurut Global Muslim Brotherhood Daily Watch yang dilaporkan oleh Agensi, notis merah yang dikeluarkan Interpol mengeluarkan pada tahap berjaga-jaga paling tinggi dan memerlukan tindakan segera oleh agensi polis antarabangsa tersebut terhadap Al-Qaradawi.

Al-Qaradawi yang kini menetap di Qatar, memberi maklum balas diatas waran tangkap Interpol itu dengan mempertikaikan tudahan perlibatannya sewaktu insiden kekecohan yang berlaku di penjara Mesir sehingga turut membebaskan tahanan di dalamnya yang kebanyakannya terdiri daripada anggota Ikhwan.

Beliau turut mempersoal kerasionalan tindakan Interpol yang mendakwanya terlibat secara langsung terhadap insiden yang berlaku di Mesir itu sedangkan beliau menetap di Qatar.

Al-Qaradawi ketika menjelaskannya menerusi perbualan telefon dengan stesen televisyen Ikhwan Muslimin berkata, passport yang digunakannya adalah passport Qatar, serta mengesahkan maklumat di dalam passport beliau langsung tidak menunjukkan sebarang rekod perjalanan daripada Qatar ke Mesir.

KERAJAAN MESIR TERDESAK SEHINGGA HUKUM ULAMA ANGKARA SIAPA?

Pemimpin kanan Ikhwan Muslimin Mohamed Morsi yang dilantik menjadi Presiden Mesir pada tahun 2012 melalui satu pilihanraya hanya sempat memerintah selama setahun lima hari setelah memenangi pilihan raya demokratik pertama negara berkenaan.

Beliau mengambil-alih setelah berundurnya bekas presiden selama tiga dekad, iaitu Hosni Mubarak pada awal tahun 2011 akibat tekanan rakyat di Dataran Tahrir kesan gelombang "Arab Spring" melanda Asia Barat.

Morsi kemudiannya digulingkan melalui rampasan kuasa oleh Jeneral Fattah Al-Sisi menyebabkan Mesir kembali bergolak setelah kuasa rakyat dinafikan.

Pertumpahan darah diantara penyokong Ikhwanul Muslimin dengan pihak tentera telah mengkorbankan ramai nyawa, sehinggakan aktiviti pendidikan di Universiti Al-Azhar dihentikan.

Rentetan daripada rampasan itu, Morsi serta beberapa pemimpin kanan Ikhwanul Muslimin dipenjarakan serta aset mereka dibekukan.

Semenjak daripada itu, tekanan terhadap Ikhwanul Muslimin terus menerus diberikan oleh pihak tentera menyebabkan Al-Qaradawi membuat kritikan dengan mengutuk kekejaman terhadap orang awam yang dilakukan oleh Kerajaan Mesir dibawah pimpinan presiden yang baharu Jeneral Fattah Al-Sisi.

Disebabkan tidak senang dengan kritikan berkenaan, Al-Qaradawi dituduh mempunyai kaitan dengan insiden kekecohan ahli kumpulan Ikhwan Muslimin didalam penjara dan penentangan terhadap pemimpin diktator Hosni Mubarak.

Selain itu, Al-Qaradawi juga dikatakan membantu Pemimpin kanan Ikhwan Muslimin, Morsi lari daripada penjara dan tuduhan ini jelas tidak masuk akal sengaja direka dan berniat jahat.

TUDUHAN TIDAK MASUK AKAL.

Melihat kepada tindakan Interpol yang lansung tidak masuk akal ini apabila mengaitkan Ulama Tersohor dunia Islam kepada aktiviti keganasan serta provokasi memberi bayangan jelas siapakah dalang disebaliknya.

Kerana sebelum ini, kejatuhan Morsi daripada Ikhwanul Muslimin jelas tangan-tangan yang memain peranan membonekakan Fattah Al-Sisi adalah Israel dan Amerika.

Bagaimana mahu menafikan penglibatan adik beradik samseng itu dalam percaturan politik Asia Barat kerana mereka-mereka yang jatuh dan digulingkan adalah kategori yang membenci imperialisme Amerika serta memusuhi Israel.

Mana-mana negara yang tidak begitu pro kepada mereka akan menerima nasib seperti Afghanistan, Iraq, Libya dan Mesir, yang dijajah dan dirompak terus hasil minyak mereka.

Apabila Morsi memegang tampuk pemerintahan Mesir, sinar kebangkitan umat Islam Asia Barat mula menampakkan cahayanya apabila dengan terang menentang kezaliman Israel terhadap Palestin.

Malah hubungan baik Morsi melalui Ikhwanul Muslimin dengan Hamas sekaligus memberi kegusaran terhadap Israel yang memiliki tanah jajahannya di Mesir seperti di Sinai akan dirampas kembali termasuk cengkaman kuasa mereka terhadap tanah-tanah penduduk Palestin yang diduduki selama ini akan dicabar oleh kuasa baru yang kuat.

Usaha Morsi mahu memulihkan ekonomi Mesir melalui projek mega Terusan Suez menyebabkan ada negara Arab seperti Arab Saudi dan UAE tidak menyokong Morsi atas alasan akan menjejaskan Dubai.

Morsi yang jelas bukan boleh diperbodohkan seperti Hosni Mubarak, selain Pertubuhan Ikhwanul Muslimin antara yang terkuat dan paling berpengaruh di dunia Islam sehingga ke rantau ini misalnya Pas di Malaysia dan Muhammadiyah serta Nahdatul Ulama di Indonesia.

Bukti diatas jelas menjadi jawapan mengapa Ikhwanul Muslimin sangat ditakuti oleh kuasa proksi Yahudi dan Amerika. Maka tidak hairan lah mengapa Morsi dan para pemimpin Ikhwan diperjarakan. Manakala suara daripada ulama seperti Al-Qardawi perlu dibimbangi kerana berkemungkinan akan membangkitkan kuasa rakyat untuk mencabar Fattah Al-Sisi.

Penahanan ulama ini dijangka akan membuka episod baru konflik Mesir. Malah akan memberi lanskap baru geopolitik di rantau Asia Barat.

Saturday 24 May 2014

Benarkah UMNO Tidak Gah Seperti Dahulu?


SENARIO politik negara kini berbeza berbanding dengan 20 dan 30 tahun lepas. Hal ini lebih jelas terutama pasca krisis 1998. UMNO mesti berubah. Orang UMNO, khususnya pemimpin mereka di semua peringkat mesti berubah.

Tidak boleh lagi ambil mudah dengan apa yang telah, sedang dan yang akan berlaku. Dalam erti kata lain, "Can't take for granted".

Sekarang, rakyat semakin celik politik dan tidak menerima bulat-bulat apa yang pemimpin kerajaan atau menteri perkatakan. Mereka semakin pandai menilai mana yang betul dan sebaliknya. Kalau dahulu, orang Melayu khususnya, dengan mudah menerima apa sahaja yang diperkatakan pemimpin UMNO, kini kelihatannya tidak lagi.

Kawasan pengundi yang majoritinya didiami orang Melayu bukan lagi boleh dianggap sebagai fixed deposit untuk kerusi-kerusi UMNO.

Realitinya, UMNO suka atau tidak, harus menempuh cabaran yang mendatang.

Dari satu sisi, pengundi muda Melayu semakin ramai yang cerdik pandai. Mereka lebih kritikal dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan dan membuat perbandingan dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan di negara lain.

Pengundi muda masa kini lebih terbuka. Ini kerana mereka telah menerima pendidikan di luar negara yang secara umum suasananya lebih terbuka dan telah terdedah dengan cara pentadbiran kerajaan di luar negara yang begitu tinggi integriti mereka.

Jika itu pilihan mereka setakat hari ini, maka menjelang pilihan raya umum ke-14 nanti adalah tidak adil untuk menyalahkan mereka ini bulat-bulat. Sebaliknya, kita - dalam konteks ini kerajaan Barisan Nasional (BN) ditunjangi UMNO yang perlu menyedarkan mereka dengan menggerakkan program-program kenegaraan untuk mereka memahami struktur negara ini. Iaitu, dengan memfokuskan sejarah pembentukan negara Malaysia itu sendiri.

Program perkaderan pelajar-pelajar di institusi pengajian dalam dan luar negara mesti diperkemas. Buat masa ini, kelihatan program perkaderan untuk pelajar-pelajar ini lebih didominasi oleh parti-parti pembangkang khususnya Pas. Hal ini perlu menjadi agenda utama dalam menarik sokongan akar umbi dalam kalangan para pelajar di institusi pengajian tinggi.

Cabaran UMNO selanjutnya adalah berhadapan dengan golongan pendidik agama yang lebih cenderung pula kepada pergerakan sebuah parti politik yang menggunakan agama sebagai nama partinya. Dianggarkan lebih 80 peratus golongan lulusan agama, sama ada dari dalam mahupun luar negara, lebih cenderung ke arah parti pembangkang iaitu Pas.

Pengundi-pengundi telah mula lebih kritikal dalam menilai tindak-tanduk pemimpin-pemimpin mereka. Adakah cakap serupa bikin kerana kita lihat apa yang berlaku ketika ini ramai yang cakapnya tak serupa bikin pula. Sebagai contoh, hidup bermewah-mewah dan kelihatan di luar kemampuan sebenar dengan dibiarkan rakyat sekeliling hidup dalam kepayahan dan kesusahan.

‘Kumpulan’ ini kelihatannya masih tidak membantu peniaga-peniaga Melayu dalam erti kata sebenar. Mereka hanya membantu kroni sahaja dan sebahagian besarnya hanya menjadi nominee atau ali baba. Sedangkan peniaga-peniaga sebenar Melayu tidak dibantu atau dibantu hanya sekadar melepaskan batok di tangga. Kumpulan yang diamanahkan untuk membantu peniaga Melayu, masih lagi kelihatan rapat dengan peniaga-peniaga kaum asing dan membiarkan peniaga-peniaga Melayu sebenar terkontang-kanting tidak dibantu.

Dari sudut pandang lain pula, mahu tidak mahu ahli UMNO terpaksa akui survival parti-parti komponennya kian lemah dari sehari ke sehari. Parti-parti ini tidak dapat berdiri sendiri tanpa sokongan dan dokongan UMNO.

Terbaharu, kekalahan MCA tempoh hari di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang walaupun calonnya yang diakui cukup berkredibiliti di atas kertas, telah memberi saingan yang cukup sengit. Cuma, hakikatnya peti-peti undi atau pusat daerah mengundi kaum Tionghua masih liat untuk kembali kepada MCA.

Sedangkan, UMNO sendiri sedang bergelut mempertahan kerusi-kerusinya. Dalam masa sama pula, perlu berjuang untuk membantu parti-parti komponen lain mendapatkan kerusi-kerusi yang diperuntukkan kepada mereka. Jika ini berterusan, nescaya sesuatu yang tidak sihat akan memberi tempias kepada BN dalam tempoh jangka masa panjang ini.

Merenung ke dalam parti, kelihatannya masih berlaku 'cah keting'. Ia terjadi bukan setakat di peringkat cawangan atau bahagian, malahan di peringkat tertinggi. Kalau sesiapa perasan, kekadang berlaku black out berita terhadap pemimpin tertentu dalam media-media arus utama kerajaan. Terdapat beberapa faction dalam UMNO yang akan melemahkan UMNO dalam jangka masa pendek dan panjang.

Kita juga cukup bimbang andai kata sokongan kakitangan kerajaan kepada kerajaan BN/UMNO semakin merosot. Andai ketidakpuasan hati kakitangan kerajaan terhadap beberapa dasar dan keputusan kerajaan benar, apakah impaknya? Apakah kaedahnya untuk mengembalikan semula sokongan ini? Yakni, menjelaskan secara fakta, keputusan kerajaan itu memang tepat dan menepati kehendak ramai dan semasa.

Apakah benar dalam kalangan golongan pendidik, dianggarkan sekitar 70 peratus terdiri daripada penyokong dan aktivis parti pembangkang? Kita perlu menyemaknya dan membuktikan fakta ini sebelum segalanya sudah terlewat. Ini juga untuk mengelakkan tanggapan seolah-olah tidak ada sebarang usaha untuk menangani permasalahan ini. Cuma, yang sering hinggap di telinga adalah permasalahan ini begitu ketara sejak 2004. Bahkan, begitu jelas dalam dua pilihan raya umum yang baru lepas.

Terdapat segelintir pemimpin UMNO di pelbagai peringkat sibuk mengejar projek sehingga terlupa tugas hakiki mereka sebagai pemimpin untuk menjaga UMNO. Mereka ini perlu dikembalikan ke destinasi sebenar. Destinasi dan titik asal tujuan penubuhan UMNO.

Pastikan UMNO dapat merampas kembali kesemua kerusi yang majoriti pengundinya orang Melayu yang kini dipegang oleh Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Buktikan bahawa orang Melayu masih memerlukan UMNO dan hanya menjadikan UMNO sebagai wadah pelindung dan penyelamat bangsa Melayu di Malaysia ini.

UMNO mesti berubah. Tidak berubah nasib sesuatu kaum itu melainkan ianya merubah diri sendiri. Demi masa depan anak cucu kita, marilah kita bermuhasabah diri. Berlapang dada menerima teguran. UMNO wajib di transformasikan.

Friday 23 May 2014

Politik Ketaksuban dan Fanatiknya Orang Melayu


MASIH ingatkah kisah kumpulan Al-Arqam yang pernah menggemparkan negara sekitar awal 1990-an dahulu? Kalau nak diikutkan, asal ceritanya bermula dengan seorang ustaz biasa yang giat berdakwah.

Saban hari, fahaman itu berkembang membentuk suatu kumpulan agama yang besar dan memiliki entiti perniagaan dalam pelbagai bidang.

Akhirnya pengasas kumpulan tersebut, Ashaari Muhammad langsung lupa daratan, tenggelam dalam kekuasaan dan mula menyerong daripada akidah Islamiah sebenar. Ashaari mula menjadi idola puluh ribuan pengikutnya dan dianggap wali yang cukup tinggi tarafnya.

Tulisan hari ini sebenarnya bukanlah hendak merungkai isu Al-Arqam. Tetapi yang mahu diperhalusi dan dibicarakan ialah sentimen dan elemen ‘fiil’ Melayu bila mana ia terlalu taksub dalam satu-satu hal.

Dalam konteks Al-Arqam ini misalannya, ketaksuban yang tak kena gaya, tidak berpandukan ilmu dan asas Islam yang hakiki menyebabkan penyelewengan berlaku.

Akhirnya pemimpin pula didewa-dewakan, dipuja dan dihormati secara melampau. Kumpulan yang didokong pula bagai dapat merealisasikan segala-gala hajat dan diumpamakan tiada cacat-cela.

Taksub Berpolitik

Kalau dikaitkan dengan suasana berpolitik orang Melayu sendiri, macam itu jugalah perangai ketaksubannya. Sesetengahnya, bila sudah terlampau fanatik dan percaya dengan parti yang disokong, rasional daripada parti lawan ditolak mentah-mentah.

Sifat, “aku saja betul” dan “kau tetap salah” mewarnai semangat dan kepercayaan politik. Tuduh-menuduh menjadi kebiasaan dengan isu halal-haram dan betul-salah sudah bukan lagi asas pertimbangan. Asalkan yang disokong menang!

Lebih parah sebenarnya, bila adunan politik itu disadur pula dengan kepentingan Islam. Seperti yang pernah dikatakan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, kelemahan sesetengah orang Islam ialah mereka begitu cepat terpengaruh dengan apa sahaja yang dibuat atas nama Islam; dan orang Melayu adalah contohnya paling tepat yang mudah tertarik dalam hal-hal berunsur keagamaan.

Yang jadi mangsa adalah pengikut yang mempunyai kefahaman agama setakat ‘cukup-cukup makan’ sahaja. Gara-gara kecetekan ilmu, mereka ini sering hilang punca dan selalu berdasarkan sentimen perasaan dalam pertimbangan antara hak dan yang batil serta bersikap tertutup dalam menerima buah fikiran yang dilihat berasal daripada kelompok lain.

Bila asas agama digunakan untuk membuktikan betul-salah sesuatu perkara, soal dosa pahala, kafir dan syurga-neraka pun menjadi isu yang terbeban untuk dibicarakan dan dihukum oleh sang pengikut. Inilah yang malangnya; menghukum dan membuat kesimpulan tanpa ilmu di dada!

Perdebatan Mengarut dan Tidak Berfaedah

Isu di sini sebenarnya bukanlah bertujuan untuk memisahkan entiti agama daripada politik. Agama Islam sememangnya syumul atau ‘complete’. Namun, asas agama tentulah wajib dijadikan pegangan setiap insan politik yang bernama ‘Melayu’ dan berjatidirikan ‘Islam’.

Tetapi dalam suasana hiruk-pikuk dan kecelaruan kefahaman Islam yang setakat ‘separuh masak’ saja di kalangan ramai Muslimin di Malaysia, perlu ada boundary tertentu agar agama tidak sampai terseleweng dan disalah tafsir.

Oleh kerana terlalu taksub kepada pemimpin atau sesebuah pertubuhan, hari ini Islam dilihat lebih cenderung ke arah menilai tahap keimanan, mencari perbezaan fahaman imam yang diikuti dan menilai tahap roh perjuangan sehingga menjadikan umat Islam berpecah-belah.

Kita sepatutnya mencari persamaan dan elakkan perbezaan. Begitu banyak perdebatan dan perbalahan yang sudah sampai ke tahap mengarut dan tidak berfaedah.

Justeru itulah, Islam memerangi kejahilan ilmu kerana akibat buruknya mampu melahirkan manusia bersifat taksub membabi-buta. Ketaksuban juga akan memecah-belahkan umat Islam bahkan menjahanamkan hubungan silaturrahim sesama Muslim.

Paling buruk, apabila ia mula menganggu-gugat keamanan dan kestabilan sesebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia. Orang-orang bukan Islam akan merasa salah faham dan segala usaha untuk melaksanakan pembangunan Islam juga turut terbantut.

Kembalilah kepada asas al-Quran yang menyarankan kepentingan ilmu supaya kita tidak terperangkap dalam ketaksuban fanatisme dan membuta-tuli yang menghancurkan diri sendiri, agama, bangsa dan negara tercinta.

Thursday 22 May 2014

Mualaf Serta Definisi Melayu Dalam Perlembagaan


Beberapa media cetak dan portal berita melaporkan petikan kenyataan seorang Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Noor Abdullah yang mencadangkan agar mualaf yang mengamalkan ciri-ciri Melayu seperti yang ditakrifkan di dalam Perlembagaan Persekutuan diberi hak keistimewaan Melayu.

Cadangan ini dilihat membuka lembaran baharu dari sudut perundangan khususnya dalam penentuan status Melayu seseorang warga Malaysia bagi melayakkannya menikmati hak-hak istimewa Melayu sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 153 tersebut antara lain, memperuntukkan hak-hak istimewa orang Melayu melibatkan kuota-kuota khas di dalam perkhidmatan awam, biasiswa persekutuan, lesen perniagaan dan enrolmen di dalam institusi pengajian tinggi awam.

Selain itu, terdapat juga hak-hak istimewa lain seperti kelayakan pemilikan tanah Rizab Melayu dan pelaburan di dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Persoalan yang mungkin timbul ialah sama ada pemberian hak istimewa tersebut bercanggah dengan definisi 'Melayu' di dalam Perlembagaan Persekutuan dan adakah tak­rifan 'Melayu' tersebut perlu dilihat semula untuk dimasukkan golongan mualaf yang ada antara mereka yang sudah sebati dengan cara hidup Islam yang begitu rapat dengan budaya Melayu?

Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan memperincikan definisi 'Melayu' sebagai seseorang yang ber­agama Islam, mengamalkan adat dan budaya Melayu, melazimi pertuturan dalam bahasa Melayu dan a) lahir sebelum Hari Merdeka, di Persekutuan atau di Singapura, atau ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan, atau pada hari Merdeka itu, ia adalah berdomisil di Persekutuan atau Singapura; atau b) ia adalah keturunan seseorang yang tersebut.

Justeru, jika salah satu daripada syarat tersebut tidak dipenuhi maka seseorang itu tidak diiktiraf sebagai Melayu menurut Perlembagaan Persekutuan.

Sebagai contoh, sekiranya seseorang Melayu menjadi murtad atau keluar agama Islam, secara automatik orang tersebut tidak lagi dianggap Melayu menurut undang-undang dan akan terlucut daripadanya hak-hak keistimewaan Melayu yang dinikmatinya sebelum ini. Secara tidak langsung, definisi Melayu sebagai Muslim dari satu sudut, dilihat dapat memelihara akidah Islam orang Melayu agar tidak menajdi murtad.

Namun, dari sudut yang lain, terdapat kecenderungan dalam kalangan masyarakat untuk mengaitkan Melayu dengan Islam dalam semua perkara sehingga ke tahap ada yang mengatakan jika seseorang memeluk Islam ia seolah-olah 'masuk Melayu'.

Ada juga yang menilai prinsip dan ajaran Islam berdasarkan tindak-tanduk orang Melayu walaupun hakikatnya bukan begitu.

Tidak dapat dinafikan, sentimen 'Melayu itu Islam' dan 'Islam itu Melayu' yang begitu tebal di dalam masyarakat Malaysia adalah disebabkan definisi Melayu sebagai Muslim dan kerana kaum Melayu adalah kaum majoriti di Malaysia.

Namun, jika diamati, adalah salah untuk mengkhususkan perspektif Islam di Malaysia hanya dari sudut 'kemelayuan' semata-mata. Ini kerana, penganut Islam di Malaysia bukan hanya terbentuk daripada kelompok Melayu sahaja.

Berdasarkan laporan Banci Penduduk dan Perumahan 2010 (Banci dijalankan setiap 10 tahun sekali), meskipun Melayu menjadi kelompok majoriti dengan mewakili 50.4 peratus daripada keseluruhan 28,908,795 penduduk Malaysia, namun harus diingat peratus penduduk beragama Islam di Malaysia ialah 60.4 peratus.

Dalam kata lain, terdapat 10 peratus atau 2.9 juta rakyat Malaysia dari kalangan umat Islam yang bukan berbangsa Melayu. Atau dalam kata lebih mudah, bagi setiap enam orang Muslim di Malaysia, satu daripadanya adalah bukan Melayu.

Justeru, perbincangan mengenai Islam di Malaysia tidak wajar dieksk­lusifkan dari perspektif Melayu sahaja.

Islam perlu diterjemahkan dalam bentuk yang lebih inklusif menjangkau sempadan perkauman sesuai dengan sifatnya sebagai rahmat kepada sekalian alam.

Untuk mencapai tujuan tersebut, pemberian hak keistimewaan Melayu kepada mualaf boleh dijadikan suatu permulaan yang baik sekiranya betul cara dan mekanisme pelaksanaannya.

Memang benar, jika diamati tafsiran Melayu yang digariskan oleh Perlembagaan Persekutuan, terdapat halangan untuk membolehkan seseorang mualaf dikategorikan sebagai Melayu walaupun sudah memeluk agama Islam bertahun-tahun atau mempunyai zuriat yang dikategorikan Melayu hasil perkahwinan dengan pasangan berbangsa Melayu.

Begitu juga, memeluk Islam tidak akan mengubah bangsa seseorang daripada bukan Melayu kepada Melayu kerana seseorang mungkin boleh mengubah agama­nya tetapi bangsanya akan kekal sehingga akhir hayat.

Namun, tidak ada salahnya untuk mempertimbangkan dan melihat semula kriteria pemberian hak keistimewaan yang dinikmati orang Melayu kepada mualaf yang sudah bertahun-tahun memeluk Islam malah ada yang sudah mengamalkan cara hidup Islam dan menguasai ilmu Islam jauh lebih baik daripada orang Melayu yang telah menjadi Muslim sejak dilahirkan.

Wednesday 21 May 2014

Benarkah Semut mendapat gula-gula baru?


Perkembangan terkini melibatkan SPDP yang menyertai TERAS agak menarik untuk dilihat melalui sudut yang pelbagai.

Tetapi apa yang menarik perhatian saya, apabila ketua NGO Semut di Sarawak yang juga Ketua SPDP Pending Audie Chua menyertai TERAS bersama kira-kira 400 orang ahlinya.

Dengan penyertaan Audie ke dalam TERAS secara tidak lansung membawa sekali jentera Semut yang dimana sebelum ini berada di dalam SPDP.

Apakah dengan perkembangan terbaru ini, menunjukkan semut sudah mendapat gula-gula baru?.

Adakah modus operandi Semut sama seperti sebelum ini ataupun bertukar mengikut keperluan TERAS?

Perjuangan Semut bagaimana?

Mencerna Apa Itu Transformasi


SUATU kaji selidik yang dikendalikan oleh Merdeka Centre mendapati 52 peratus daripada responden yang dikaji selidik tidak tahu tentang program transformasi ekonomi dan daripada 48 peratus yang tahu, 80 peratus daripada mereka memberitahu tidak tahu banyak tentang program tersebut.

Kurang daripada setengah 47 peratus daripada mereka yang dikaji selidik menganggap program-program transformasi ini akan membawa negara kita ke arah negara berpendapatan tinggi.

Ada dua pilihan kepada yang berkenaan untuk melayan maklum balas ini. Pertama, tidak usah dipedulikan kerana maklum balas begini tidak penting dan hanya akan mematahkan semangat mereka yang berfahaman bahawa transformasi ini adalah satu-satunya usaha yang bakal membawa perubahan besar. Kedua, mengambil kira maklum balas ini kerana mereka yang memberikan maklum balas pada hari terbuka program transformasi tempoh hari mempunyai kepentingan sendiri.

Kalau hendak diambil kira maklum balas ini, perlulah sesuatu dilakukan supaya maklumat yang penting sampai kepada fahaman rakyat seperti yang dikehendaki.

Dalam ilmu komunikasi penghantar mesej tidak boleh membuat andaian yang penerima maklumat mempunyai kerangka rujukan sama seperti penghantar maklumat. Banyak maklumat yang dihantar boleh disalah interpretasi atau tafsir atau ditokok tambah mengikut kerangka rujukan si penerima.

Dalam kajian tersebut dinyatakan walaupun sudah banyak maklumat disebarkan tentang program transformasi ekonomi ini tetapi masih rendah lagi tahap kefahaman rakyat. Ini bermakna banyak lagi maklumat yang perlu disampaikan kepada rakyat.

Mungkin roadshow ke setiap negeri perlu diadakan supaya wakil-wakil dari kampung dan daerah dapat menghadiri ceramah ini. Lapisan masyarakat yang bakal dijemput ini tentulah berbeza dengan mereka yang hadir pada hari terbuka tempoh hari.

Apakah penting atau tidak pentingnya rakyat biasa memahami apa yang dilakukan? Atau mereka yang terbabit dengan pelaksanaan program ini sahaja yang perlu ambil tahu, seperti penjawat awam dari peringkat atas sehingga bawah. Mereka ini bakal melaksanakan program-program berjiwa besar.

Kemudian kita juga berhadapan dengan penyebar maklumat yang tidak dipelawa seperti di dalam blog-blog dan alam siber.

Mereka ini sedikit sebanyak akan melentur pemikiran masyarakat awam. Mahasiswa adalah satu-satunya kumpulan rujuk yang berpengaruh yang membaca blog-blog ini dan bila balik bercuti menceritakan kepada ibu bapa mereka fahaman mereka yang tidak semestinya pengertian yang dikehendaki oleh pihak yang bertanggungjawab.

Dua minggu lalu, saya ada menulis tentang risiko program besar-besaran ini.

Pertama risiko daripada pelaksanaannya dan kedua risiko dari segi kewangan. Walaupun kerajaan dijangka membelanjakan lapan peratus daripada RM1.3 trilion dalam masa 10 tahun ini bererti sebanyak RM104 bilion perlu digembeling. Kita memerlukan pertumbuhan tidak kurang enam peratus setiap tahun sehingga 10 tahun untuk mencapai hasrat menjadi negara berpendapatan tinggi. Pertumbuhan ini banyak bergantung kepada respons daripada sektor swasta kita.

Kita tidak boleh berharap sangat dengan pelabur asing kerana pelabur asing ini banyak juga kerenah mereka dan kalau mereka tahu yang kita ini terlampau ‘terdesak’ sangat, mereka tentu akan jual mahal. Tinggallah syarikat kita yang diharap akan menjana pertumbuhan yang dijangka itu. Apakah mereka ini akan sanggup bertukar haluan dan mengarahkan pelaburan mereka balik ke sini?

92 peratus daripada RM1.3 trilion ialah satu angka yang besar. Mereka yang terbabit dengan projek-projek kemasukan ini akan terpaksa menjual bon kepada orang ramai dari luar dan dalam negeri untuk membiayai projek-projek mereka. Ambil contoh MRT yang bernilai RM36 bilion, tentu sebahagian daripada pakej kewangan pembiayaan melibatkan penjualan bon untuk tempoh matang beberapa tahun.

Baik orang luar mahupun orang dalam negeri, mereka akan menjual bon sebagai salah satu jalan pembiayaan. Tidak ada seorang pun yang akan meletakkan ‘hard cash’ untuk sesuatu projek, kecuali mungkin PNB dengan menara 100 tingkatnya.

Ada baiknya kita melihat apa yang berlaku di Dubai dengan pelbagai rancangan mega mereka yang akhirnya terbengkalai dan bon mereka tidak dapat ditebus balik. Kini, sesetengah hartanah di sana dijual pada paras 20 peratus nilai asal mereka.

Dubai juga mempunyai hasrat untuk menjadi tempat yang terulung di Timur Tengah dengan ramai orang bank berkejar ke sana memberikan pinjaman sehinggalah ‘belon’ hartanah mereka pecah.

Siapakah yang bakal mendapat manfaat daripada Menara Warisan 100 tingkat tersebut misalnya? Macam bangunan KLCC hendak menyewa untuk ruang pejabat pun ramai yang tak mampu. Kemudian ruang untuk jualan, berapa kerat sangat orang Melayu yang mampu berniaga di sana.

Sewa tetap akan terus naik sehinggalah tidak terdaya untuk menyewa lagi. Sebagai suatu institusi yang bertanggungjawab dengan pelaburan, bukankah PNB patut melihat peluang-peluang untuk mengembangkan sayap mereka keluar negara dalam bidang-bidang yang menguntungkan dan berkongsi pulangan daripada pelaburan luar tersebut dengan pemegang unit.

Kita lihat dalam tahun 2008 dulu semasa krisis kewangan global, banyak institusi antarabangsa seperti Citicorp, UBS, Morgan Stanley tersungkur sehingga memerlukan penyelamat. Kita patut mengambil peluang tersebut dan memperluaskan portfolio pelaburan kita ke luar negara, terutama sekali yang mampu memberikan pulangan yang menguntungkan. Memanglah hartanah pun suatu pelaburan tetapi di mana letaknya bidang kepakaran PNB? Hartanah atau pelaburan portfolio?

Tuesday 20 May 2014

Menyingkap perjuangan UMNO menongkah arus


Kini genaplah 68 tahun usia Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO. Parti keramat yang lahir daripada ketentuan tujuan dan matlamat iaitu atas perjuangan ABATA; agama, bangsa, tanah air dan bukannya kepentingan peribadi atau kelompok tertentu. UMNO juga parti yang mempunyai keabsahan untuk dijenamakan sebagai ‘parti rakyat yang tulen’ kerana terbina atas aspirasi dan dokongan rakyat, bukannya kehendak individu yang mempergunakan pentas rakyat.

Selama hampir tujuh dekad, UMNO konsisten dan masih tetap sama - berorientasikan rakyat dan berpaksikan asas perjuangan yang tidak pernah berubah. Hakikatnya, pegangan dan istiqamah kita kepada keluhuran perjuangan inilah yang telah menjadi asas kekuatan dan pemangkin sokongan majoriti rakyat kepada UMNO.

Sebagaimana yang diungkapkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menyempurnakan perasmian Rumah UMNO Taiping pada 8 Mei lalu, sekiranya diterjemahkan usia 68 tahun ini kepada manusia, kekuatannya mungkin tidak segagah ketika muda tetapi berbeza dengan UMNO yang semakin kukuh dan kuat.

Sungguhpun kerusi Parlimen yang dimenangi Barisan Nasional (BN) berkurangan daripada 140 pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 kepada 133 pada PRU Ke-13 yang lalu, namun kerusi dimenangi UMNO meningkat daripada 79 kepada 88 kerusi.

Pada masa sama, Najib juga mengingatkan bahawa UMNO perlu sedar akan cabaran yang dihadapi supaya proses muhasabah diri, menambah baik dan melaksanakan transformasi sepanjang masa bagi menentukan parti itu terus relevan. Inilah tuntutan penting dan keutamaan yang perlu dilaksanakan oleh jentera UMNO di setiap peringkat.

Perubahan besar landskap dunia dari pelbagai aspek termasuk iklim politik membawa bersama pelbagai fenomena yang menuntut adaptasi dan transformasi. Sebagai sebuah organisasi yang terlibat dalam proses demokrasi yang kejayaannya bersandar kepada jumlah sokongan undi rakyat, UMNO perlu memastikan parti berupaya untuk bertindak proaktif, inovatif dan kreatif dalam strategi dan pendekatannya mendepani tuntutan semasa rakyat.

Bila menyentuh perihal rakyat, sudah pasti ia berkait langsung dengan prestasi Kerajaan BN dan UMNO adalah tunjang kerajaan sekian lama.

Realitinya, pembangunan dan kemajuan yang dibawa oleh Kerajaan BN mungkin dapat dilihat dan dirasai, tetapi tidak dijiwai dan kurang menyentuh hati rakyat, kalau tidakpun semua, sebahagian rakyat. Ini hakikat yang perlu diakui dan apa yang dirujuk sebahagian itu sebenarnya satu jumlah yang signifikan mengambil kira undi popular BN hanya 48 peratus dalam PRU-13.

Sehubungan itu, cara dan kaedah kerajaan bergerak pada hari ini perlu diteliti dan ditambah baik. Kita gembira apabila kepimpinan kerajaan dilihat mengakui hakikat ini apabila Perdana Menteri sendiri pernah mengeluarkan kenyataan bahawa masa dan ketika kerajaan merasakan tahu semua perkara telah berlalu. Kenyataan ini memperlihatkan komitmen ketua kerajaan sendiri yang mengiktiraf peranan penting rakyat dalam proses pembangunan negara.

Di sinilah pentingnya pendekatan politik nilai dan makna diintegrasikan dalam gerak kerja kerajaan pada masa ini. Pendekatan politik ini akan memastikan elemen nilai dan makna menjadi sebahagian hasil sesuatu dasar, program dan projek kerajaan.

Pendekatan ini juga menjadikan keterangkuman (inclusivity) sebagai strategi penting untuk memastikan rakyat menghargai peranan kerajaan yang telah membawa nilai dan makna kepada kehidupan mereka.

Kerajaan dan parti perlu menakhodai zaman, tetapi kegagalan kita untuk menyuntik kefahaman rakyat berhubung sesuatu agenda ke hadapan yang kita gagaskan akan mengundang bahaya apabila pertalian di antara kerajaan dan parti dengan rakyat terungkai.

Kita sudah tidak boleh menjadikan rakyat sebagai pemegang taruh atau pihak berkepentingan (stakeholders) yang pasif, tetapi jentera kerajaan perlu melibatkan rakyat secara aktif dalam gerak kerja kerajaan.

Rakyat tidak boleh dibiarkan sekadar menjadi pendengar dan penonton, tetapi mereka perlu dilibatkan untuk mengetahui, memahami dan menjiwai kepentingan sesuatu dasar, program dan projek kerajaan. Impaknya khidmat kerajaan akan dapat menyentuh hati dan memberi kesan mendalam kepada rakyat.

Begitu juga halnya dalam hubungan di antara kerajaan dan parti. Mungkin kerana faktor UMNO dan BN telah sekian lama mengemudi tampuk pemerintahan, kita tidak sedar yang kita meninggalkan parti jauh di belakang sehinggakan rakyat tidak dapat melihat, merasai dan menjiwai peranan parti.

Situasi inilah yang telah membentuk sentimen sesetengah rakyat yang melihat semua pembangunan dan kesejahteraan yang dibawa oleh kerajaan adalah tanggungjawab Kerajaan, tanpa mengira siapa tunjangnya. Lebih malang lagi ada yang berpendapat jika parti lain memerintah kelak, perkara yang sama akan dilakukan.

Peranan penting UMNO dan BN tidak dianggap faktor utama yang membawa nikmat kemakmuran pada hari ini.

Atas sebab itu, peranan parti dalam kerajaan perlu diperkasa. PRU-13 menzahirkan kepada kita formula mengguna pakai kaedah penonjolan individu sebagaimana pemilihan Presiden Amerika Syarikat bukanlah pendekatan yang sesuai di negara kita.

Sebahagian besar rakyat akan mengundi berdasarkan parti; sama ada mengundi ‘BN/UMNO’ atau ‘Asal Bukan BN/UMNO’.

Sudah tiba masanya peranan parti ditonjolkan dalam kerajaan, namun ini tidak bermakna parti menguasai kerajaan. Apa yang penting rakyat dapat menjiwai nilai dan makna perjuangan UMNO dan BN dalam penggubalan dasar dan program kerajaan yang membawa nikmat kemajuan, keamanan dan kemakmuran, sekali gus memberi mandat berterusan kepada UMNO dan BN.

Sebagaimana kerajaan, jentera UMNO di semua peringkat juga perlu mengamalkan pendekatan politik nilai dan makna dengan strategi keterangkuman yang menyeluruh meliputi semua segmen masyarakat.

Tidak dinafikan gerak kerja dan program UMNO sedia ada di akar umbi adalah baik dan perlu diteruskan kerana inilah antara faktor yang telah menyebabkan UMNO bertahan sekian lama. Namun ini tidak bermakna tidak ada ruang yang perlu ditambah baik.

Sebagai contoh, pendekatan UMNO untuk mendekati dan membawa generasi muda kepada parti perlu digerakkan dengan lebih agresif.

Perlu diingat demografi pemilih di negara ini sudah menunjukkan pola perubahan dengan peningkatan amat ketara jumlah pemilih di bawah 40 tahun dan dijangka mencecah hampir 70 peratus menjelang PRU-14.

Dalam konteks ini, keterangkuman parti untuk membawa orang muda menyokong UMNO dan BN perlu dilaksanakan dengan pendekatan yang bernilai dan bermakna.

Usaha ini pula perlu digerakkan dan didokong oleh kepimpinan parti di semua peringkat kerana kita tidak mahu sikap tidak peduli dan tidak terbuka sesetengah pihak dalam parti akhirnya membawa generasi baru ini lebih jauh dari parti dan mereka beralih memilih alternatif yang lain.

Masa depan UMNO tidak akan sentiasa cerah jika kepimpinan dan ahli parti tidak mengambil peduli akan cabaran yang perlu kita hadapi hari ini.

Saiz kelas menengah yang besar, lonjakan jumlah golongan berpendidikan, proses urbanisasi, peningkatan taraf hidup, kemajuan prasarana fizikal dan akses kepada lebuh raya maklumat merupakan sebahagian faktor yang monumental kepada rekod prestasi cemerlang UMNO sebagai pemerintah selama ini dan juga suatu cabaran baru dalam konteks gerakan politik kita.

Kita tidak mampu untuk bersikap menafikan atau lebih bahaya lagi bermusuh dengan realiti yang ada dan perubahan yang akan terus berlaku.

Kita wajib menyediakan parti dengan sebaik mungkin untuk meluaskan jaringan pengaruh di semua kumpulan sasar yang telah terhasil daripada kemajuan yang kita bina. Jika tidak maka kita akan menghadapi hentaman ribut yang terhasil daripada semaian kita sendiri.

Dengan pendekatan politik nilai dan makna, cabaran semasa yang kita hadapi dengan landskap politik dan demografik yang baru hari ini adalah hasil kejayaan kita yang boleh dijadikan sumber kekuatan baru.

KELAB PENYOKONG POLIS

GELOBANG ANAK MUDA