Tuesday 13 May 2014

Bagaimana nak Khusyuk dalam Solat


BAGAIMANA NAK KHUSYUK DLM SOLAT!!!

Seorang ahli ibadah bernama Isam Bin Yusuf, sangat warak dan khusyuk solatnya. Namun, dia selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk.

Lantas dia selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih ibadahnya, demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasainya kurang khusyuk.

Pada suatu hari, Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Assam dan bertanya, "Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan solat?"

Hatim berkata, "Apabila masuk waktu solat, aku berwudhu' zahir dan batin."

Isam bertanya, "Bagaimana wudhu' zahir dan batin itu?"

Hatim berkata, "Wudhu' zahir sebagaimana biasa iaitu membasuh semua anggota wudhu' dengan air, sementara wudhu' batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara :-

* Bertaubat,
* Menyesali dosa yang telah dilakukan,
* Tidak tergila-gilakan dunia,
* Tidak mencari/mengharap pujian orang (riya'),
* Tinggalkan sifat berbangga,
* Tinggalkan sifat khianat dan menipu, dan
* Meninggalkan sifat dengki.

Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat. Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku rasakan:

1. Aku sedang berhadapan dengan Allah,
2. Syurga di sebelah kananku,
3. Neraka di sebelah kiriku,
4. Malaikat Maut berada di belakangku, dan
5. Aku bayangkan pula aku seolah-olah berdiri di atas titian 'Siratal mustaqim' dan menganggap bahawa solatku kali ini adalah solat terakhir bagiku.

Kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik. Setiap bacaan dan doa di dalam solat, aku faham maknanya.

Seterusnya aku rukuk dan sujud dengan tawadhuk; aku bertasyahud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersolat selama 30 tahun."

Apabila Isam mendengar, menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim.

Sabda Nabi, ilmu itu milik Tuhan, barang siapa menyebarkan ilmu demi kebaikan, insyaAllah Tuhan akan menggandakan 10 kali kepadanya

Industri jam tangan hadapi saingan dengan jam digital



Penganalisis ramal jualan global cecah tujuh juta unit pada 2014

Frankfurt: Pada 1970-an, pembuat jam Switzerland hampir gulung tikar kerana memandang rendah kepentingan jam kuarza.


Walaupun industri itu kembali pulih dan mencatat kemakmuran, ia kini menghadapi cabaran teknologi baru daripada ‘jam pintar’ seperti Galaxy Gear keluaran Samsung Electronics Co yang berharga AS$299 (RM944).
Seperti jam kuarza empat dekad lalu, peranti itu sedang dipandang ringan. Mengikut kajian syarikat perunding Deloitte, dua pertiga daripada eksekutif dalam industri jam Swiss mengatakan jam pintar tidak menimbulkan ancaman.

“Bagaimana anda akan menyukainya jika teman lelaki anda menghadiahkan jam pintar dan bukannya jam cantik bertatahkan berlian?” kata Johann Rupert, bilionair yang menguasai Cie Financiere Richemont SA (CFR), yang menjual 13 jenama mewah termasuk Cartier dan Vacheron Constantin.

“Saya tidak pasti ia akan memberi kesan yang besar pada jam tangan klasik.”


Sedia cabaran jam pintar


Industri ini harus bersedia untuk kemunculan jam pintar, kata Adrian Hofer, rakan kongsi di Boston Consulting Group di Zurich.

Researcher Strategy Analytics meramalkan jualan global sejuta unit jam pintar tahun ini dan tujuh juta unit pada 2014.

Sanford C Bernstein mengunjurkan bahawa Apple Inc (AAPL) bakal menyaksikan pendapatan daripada jualan iWatch sebanyak AS$2.3 bilion hingga AS$5.7 bilion pada tahun pertama ia menjual peranti terbabit.

“Pembuat jam Switzerland tidak harus terlalu cepat mengatakan ia adalah satu arah aliran yang tidak akan memberi kesan kepada mereka,” kata perunding Hofer. “Perlu ada sedikit perasaan rendah diri.”

Jam tangan Swiss yang mewah begitu rendah daripada sudut pandangan teknologi, ia tidak lagi perlu wujud. Apabila jam tangan kuarza dengan kuasa bateri diperkenalkan pada 1970-an, ramai pengguna tidak lagi menggunakan jam tangan mekanikal yang teknologinya dianggap lebih berusia kerana kedua-dua pergerakan jarum jam menggunakan gear dan berliku-liku serta memanfaatkan tenaga dari gerakan pergelangan tangan pemakai.

Jumlah pekerja dalam industri jam Swiss menurun daripada kira-kira 90,000 pada 1970 kepada hanya kira-kira 30,000 pada 1984, dan jumlah syarikat juga menurun daripada 1,600 pada 1970 kepada 600 sekarang, demikian menurut Persekutuan Industri Jam Switzerland, kumpulan yang mewakili pengeluar.

Jam lebih murah

Satu daripada sebab terbesar ialah jam tangan kuarza lebih murah dan lebih boleh dipercayai. Malah, jam tangan mekanikal yang paling mahal akan kehilangan beberapa saat seminggu dan memerlukan penyelenggaraan setiap beberapa tahun yang kosnya mungkin lebih tinggi daripada harga dua iPhone baru.

Timezone, sebuah laman web penggemar jam tangan memanggilnya ‘ketinggalan zaman.’

Walaupun pergantungan berterusan kepada teknologi yang sudah berabad-abad lamanya, industri itu mengukuhkan kedudukannya sejak 1980-an.

Eksport jam tangan Switzerland meningkat 11 peratus tahun lalu untuk mencatat rekod 21.4 bilion franc (AS$23.7 bilion), berdasarkan harga borong, demikian menurut Persekutuan Industri Jam Switzerland.

Data daripada persekutuan itu kini menunjukkan eksport meningkat 8.5 peratus pada September berbanding setahun yang lalu. - BLOOMBERG

Benarkah UMNO masih lagi relevan?


PADA hari Ahad yang lepas, 11 Mei 2014 maka genaplah tahun ke-68 UMNO ditubuhkan.

Dari segi pencapaian, kewibawaan UMNO memang tidak boleh disangkal di sebalik kegagalan Barisan Nasional (BN) buat kali kedua untuk mendominasi majoriti dua pertiga dalam pilihan raya umum.

Jika diambil daripada kekuatan solo, UMNO masih kekal mendominasi di peringkat Parlimen dengan meraih 3,416,310 undi daripada 120 kerusi yang ditandingi dan parti keramat orang Melayu ini berjaya memenangi 88 daripadanya. BN yang ditunjanginya terus diberi mandat memerintah negara ini apabila memperoleh majoriti mudah 133 kerusi Parlimen pada PRU-13 lalu sementara pakatan pembangkang yang dibarisi PKR, DAP dan Pas hanya meraih 89 kerusi.

Sememangnya besar sungguh cabaran UMNO untuk mengekalkan penguasaannya dan lebih utama lagi mengembalikan semula maruah parti-parti komponennya daripada MCA, MIC dan Gerakan yang sudah tercalar teruk.

Bagi UMNO khususnya, parti itu jangan keterlaluan meyakini angka besar seperti 3.5 juta ahli parti untuk memenangi pilihan raya umum ke-14 yang dijadual pada 2017 atau 2018. Jangan lupa, ahli DAP, Pas dan PKR tak pun lebih 600,000 secara purata tetapi mereka memenangi nisbah undi popular dua musim pilihan raya berturut-turut.

Bilangan sukarelawan parti dan para profesional mereka lebih daripada UMNO dan BN. Walaupun ahli mereka sedikit, leadership core mereka serba-serbi layak dan berkemampuan. Mereka hormat kepada apa kata akar umbi atau bahagian masing-masing, justeru tak lari daripada dasar winnable candidate atau calon yang boleh menang. BN, lantaran telah melupakan dasar ini terpaksa menerima rekod lebih rendah dari 2003-2009 sekali pun UMNO sendiri menunjukkan kekuatan yang boleh dibanggakan.

Kita boleh melihat kembali sejarah lain. Napoleon Bonaparte hanya dibantu oleh lima orang penasihat strategik. Riwayatnya menampilkan kejayaan menjadi pemimpin yang masih dihormati pada hari ini sekali pun membawa unsur-unsur diktator. Khalid ibnu Walid hanya merancang melalui syura tujuh orang untuk menjadi strategis dan penakluk yang dikagumi.

Meskipun UMNO boleh memanjatkan rasa syukur kerana parti komponen kedua terbesar BN, MCA kini bersedia untuk kembali ke dalam Kabinet atau sebenarnya menyertai kerajaan semula, ahli UMNO jangan lupa andai parti lemah, UMNO tidak dipandang sesiapa pun. Apabila MCA enggan bersama kerajaan (menerima jawatan Kabinet) tempoh hari, ia menampilkan satu-satunya dasar politik parti komponen yang meleset dan tidak menghiraukan sikap setiakawan perjuangan BN.

Beberapa portfolio tradisi seperti kesihatan, pengangkutan, kerajaan tempatan dan lain-lain terpaksa disandang oleh UMNO dan MIC. Pilihan MCA ini merosakkan reputasi MCA di samping keutuhan BN sendiri, sekali gus menampakkan keangkuhan pimpinannya yang tidak kisah terhadap negara, tetapi lebih mementingkan ego politik sendiri.

Tindakan MCA memulaukan Kabinet ini juga tidak menghiraukan nasib masyarakat Cina amnya. Dan secara tidak langsung menggalakkan NGO seperti Dong Zao Dong dan lain-lain pencerca cauvinis melemparkan pelbagai ugutan dan tuduhan.

Tindakannya tak akan akur kepada dasar pelajaran adalah satu-satunya langkah khianat.

Sebab itu UMNO mesti kuat. Kuat dalam erti kata mesti meningkatkan prestasinya selepas pemilihan kepemimpinannya tahun lalu. Memastikan supaya Melayu berani ke depan bersuara dan bertindak demi keutuhan negara.

Setiap ahli yang hendak masuk menjadi anggota mesti ditauliahkan dengan pengertian dan fahaman apa itu UMNO. Perlu diulangi - UMNO adalah sebuah parti politik yang berjuang mendokong cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa agama dan negara. Apa sejarahnya? Apa yang dicapainya? Apa sumbangan pemimpinnya? Kenapa UMNO boleh survive dan memenangi pilihan raya demi pilihan raya?

Jentera penerangan UMNO Pusat jangan pula syok sendiri sehingga penerangan tentang UMNO itu tidak disejagatkan pengertiannya demi ummah dan masyarakat bangsa atau orang Melayu yang dipimpinnya.

Program Juara Rakyat tahun 2012, latihan Janda Baik, himpunan di Port Dickson - semuanya baik tetapi jika anggota tidak memahami perjuangan UMNO sebenarnya, mereka hanya akan menjadi pemimpin mengejar pangkat dan kedudukan.

Perubahan menyeluruh UMNO sedang berlaku. Pemimpin pengasas UMNO sudah mula menghilang akibat ditelan zaman dan usia. Peringkat Tun Dr. Mahathir Mohamad, Pak Lah, Tengku Razaleigh dan Tan Sri Dr. Rais Yatim sudah amat terhad kepada beberapa orang. Itupun jika mereka masih berkebolehan mengambil bahagian dalam arus perdana politik tanah air.

Saudara-saudari ahli-ahli UMNO lah yang kini perlu menoleh ke belakang dan membentuk pimpinan yang kenal sejarah dan amalan luhur. Bangkitkan perjuangan demi Fasal 3 perlembagaan parti. Pertahankan Perlembagaan Persekutuan, sekurang-kurangnya peruntukan-peruntukan yang berkaitan dengan institusi-institusi asas kenegaraan, kesultanan, bahasa, hak-hak istimewa, Islam, kejuaraan bangsa dan agama.

Jangan lupa pada suatu hari nanti akan ada pihak yang akan meminda Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan yang memberi definisi siapa itu Melayu.

UMNO mesti kuat dan teguh dengan prinsip perjuangannya. Pemimpinnya perlu terus bervisi dengan misi yang utuh.

Kenapa Melayu tidak bersatu dalam perjuangan bangsa-agama dan negara supaya kuasa politik mereka tetap kukuh dan berkuasa? Setiap yang bernama Melayu atau bumiputera - sama ada kita dalam UMNO, Pas atau PKR - harus memikirkan hal ini dan bertindak. Bila kita kuat, orang segan. Bila kita lembut, orang sudu. Mesti pakai falsafah ‘kendur berdenting-berdenting, tegang berjela-jela’.

Generasi baharu tidak harus idealis tak tentu keruan. Mereka perlu diperingatkan - ke mana perjuangan orang Melayu hendak dibawa selepas ini?

Pemikiran sempit pihak tertentu terutama pembangkang yang menghasut sebilangan rakyat supaya bencikan UMNO termasuk mengkafirkan sesama Islam mesti diadili oleh suara bangsa dan suara agama.

Perjuangan melandaskan hidup ‘enau dalam belukar’ perlu diketepikan. Kita Melayu sama Melayu. Kita sunni dan sunni. Bukan sunni dan syiah.

Perjelas budaya Melayu adat bersandarkan syarak dan syarak bersandarkan Kitabullah. Adat bersandarkan yang benar, yang benar tegak dengan sendirinya.

Perjelas Fasal 3 Perlembagaan UMNO. Perjelas perjuangan tentang berpegang teguh kepada tali Allah dan jangan berpecah-belah.

Monday 12 May 2014

Kandungan Hudud di Negara Brunei Darussalam


Hukum Hudud telah pun dilaksanakan di Brunei. Berikut ialah kandungan hudud yang dijalankan di Brunei pada ketika ini. Sila rujuk Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013.

LELAKI BERLAGAK MENYERUPAI PEREMPUAN ATAU SEBALIKNYA 198

(1) Mana-mana lelaki yg memakai pakaian perempuan dan berlagak menyerupai perempuan atau mana-mana perempuan yang memakai pakaian lelaki dan berlagak menyerupai lelaki di mana-mana tempat awam tanpa alasan yang munasabah adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi $1,000, dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 3 bulan atau kedua-duanya sekali.

(2) Mana-mana lelaki yg memakai pakaian perempuan dan berlagak menyerupai perempuan atau mana-mana perempuan yang memakai pakaian lelaki dan berlagak menyerupai lelaki di mana-mana tempat awam untuk tujuan yang tidak bermoral adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi $4,000, dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

TIDAK MEMBAYAR ZAKAT ATAU FITRAH 236

(1) Mana-mana orang Islam yang telah ditaksirkan dengan sah sebagai wajib untuk membayar zakat atau fitrah di bawah Akta Majlis Ugama Islam dan Mahkamah-Mahkamah Kadi (Penggal 77) dan gagal untuk memperolehi secara rayuan atau selainnya, pembatalan atau pengubahsuaian bagi penaksiran demikian, dengan sengaja gagal untuk membayar zakat atau fitrah tersebut adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi $8,000, dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

KHALWAT 196

(1) Mana-mana orang Islam yang melakukan khalwat adalah melakukan kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi $4,000, dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

(2) Mana-mana orang bukan Islam yang melakukan khalwat dengan orang Islam adalah melakukan kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi $4,000, dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

(3) Dalam bab ini, KHALWAT bermakna

(a) bersekediaman, bersekedudukan, berkurung; atau

(b) Mengasingkan diri dalam keadaan berhampiran yang mendatangkan syak bahawa mereka sedang melakukan perbuatan maksiat.

TIDAK MENUNAIKAN SEMBAHYANG JUMAAT 194

Mana-mana lelaki mukallaf yang tidak menunaikan sembahyang Jumaat di masjid dengan tiada uzur syarie atau tiada alasan-alasan yang munasabah adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi $200 bagi kesalahan pertama, dikenakan suatu denda tidak melebihi $300 bagi kesalahan kedua, dan dikenakan suatu denda tidak melebihi $1,000 bagi kesalahan ketiga atau berikutnya.

TIDAK MENGHORMATI BULAN RAMADAN 195

(1) Mana-mana orang yang memakan atau meminum atau menghisap apa jua tembakau di tempat awam semasa waktu berpuasa dalam bulan Ramadan adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi $4,000, dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

(2) Mana-mana orang yang menjual atau menghidang apa jua makanan atau tembakau untuk dimakan,diminum atau dihisap dengan serta-merta di tempat itu juga, di tempat awam, semasa waktu berpuasa dalam bulan Ramadan adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi $4,000, dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua- duanya sekali.

(3) Ceraian (2) hendaklah tidak dikenakan kepada mana-mana pengamal perubatan atau mana-mana orang lain yang menghidang apa jua makanan, minuman atau ubat kepada mana-mana pesakit semasa waktu-waktu berpuasa dalam bulan Ramadan yang tanpanya pesakit itu terjejas.

(4) Jika mana-mana orang yang gagal mematuhi ceraian (2) dalam kedudukannya sebagai pekerja kepada orang lain, majikannya hendaklah dianggap telah bersubahat melakukan kesalahan tersebut dan telah menyebabkan kesalahan itu dilakukan oleh sebab subahat itu melainkan dia dapat membuktikan bahawa kesalahan tersebut telah dilakukan tanpa kebenaran, kuasa, pengetahuan atau keizinannya dan dia telah mengambil langkah-langkah yang munasabah untuk mencegah daripada perbuatan itu dilakukan.

HUKUMAN ZINA 69

(1) Mana-mana orang Islam yang melakukan zina dan dibuktikan sama ada dengan ikrar tertuduh, atau dengan syahadah sekurang-kurangnya empat orang syahid menurut Hukum Syara setelah mahkamah berpuas hati dengan mengambil kira kehendak-kehendak tazkiyah al syuhud, adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan hukuman hadd seperti berikut -

(a) jika dia muhshan, direjam sehingga mati dengan disaksikan oleh sekumpulan orang Islam; atau

(b) jika dia ghairu muhshan, disebat 100 sebatan dengan disaksikan oleh sekumpulan orang Islam dan dihukum penjara selama tempoh satu tahun.

(2) Mana-mana orang Islam yang melakukan zina dan dibuktikan dengan keterangan selain yang diperuntukan di bawah ceraian (1) adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan :-

(a) jika dia muhshan, disebat tidak melebihi 30 sebatan dan dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 7 tahun; atau

(b) jika dia ghairu muhshan, disebat tidak melebihi 15 sebatan dan dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 3 tahun.

(3) Mana-mana orang bukan Islam yang melakukan zina dengan seorang Islam dan dibuktikan sama ada dengan ikrar tertuduh, atau dengan syahadah sekurang-kurangnya empat orang syahid setelah mahkamah berpuas hati dengan mengambil kira kehendak-kehendak tazkiyah al syuhud, adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dihukum dengan hukuman yang sama sebagaimana yang diperuntukan di bawah ceraian (1).

(4) Mana-mana orang bukan Islam yang melakukan zina dengan seseorang Islam dan dibuktikan dengan keterangan selain daripada yang diperuntukan di bawah ceraian (3) adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan, dihukum dengan hukuman yang sama sebagaimana yang diperuntukan dibawah ceraian (2).

HUKUMAN ZINA JIKA PESALAH BUKAN MUKALLAF ATAU BELUM MENCAPAI UMUR

BALIGH. (70). Jika mana-mana orang yang bukan mukallaf atau belum mencapai umur baligh melakukan zina dan-

(a) dibuktikan sama ada dengan ikrar tertuduh, atau dengan syahadah sekurang-kurangnya empat orang syahid menurut Hukum Syara setelah mahkamah berpuas hati dengan mengambil kira kehendak-kehendak tazkiyah al syuhud, adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dihukum sebat tidak melebihi 30 sebatan dan ditahan di mana-mana pusat pemulihan yang difikirkan sesuai oleh mahkamah selama suatu tempoh tidak melebihi 3 tahun; atau

(b) dibuktikan dengan keterangan selain daripada yang diperuntukan di bawah perenggan (a) adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dihukum sebat tidak melebihi 15 sebatan dan ditahan di mana-mana pusat pemulihan yang difikirkan sesuai oleh mahkamah selama suatu tempoh tidak melebihi 3 tahun.

Nilai minimum barang curi untuk kena hukum hudud ialah 1 dinar (4.25g emas)

(A) Jika didapati bersalah (dengan cara pengakuan sendiri atau saksi-saksi yang sah) maka :

* Kesalahan pertama potong tangan kanan hingga pergelangan tangan.

* Kesalahan kedua potong kaki kiri hingga lutut.

* Kesalahan ketiga dan seterusnya - penjara tidak lebih 15 tahun.

Kalau bersalah bukan cara di atas (A) : kena penjara dan denda.

* Sumber : Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah Brunei 2013.

Soal gaji Kerajaan harus prihatin dengan masalah rakyat


SEDAR atau tidak, terasa berat atau tidak apabila sebagai rakyat biasa yang berpendapatan di sekitar RM2,000 sebulan berhasrat untuk beli sebuah rumah yang sederhana untuk keluarga kerana ketika ini sebuah rumah teres satu tingkat yang mempunyai tiga bilik sudah menjangkau RM200,000 sebuah dan teres dua tingkat pula sudah menjangkau RM400,000 sebuah.

Hendak buat pinjaman RM200,000 bagi rumah teres satu tingkat pun sudah membebankan dan itu pun kalau layak kerana dengan harga sebanyak itu pinjaman perlu dibayar RM1,500 sebulan.

Kalau gaji hanya RM2,500 sebulan bagaimana hendak menampung perbelanjaan kehidupan harian seisi keluarga?

Bayangkan untuk perbelanjaan yang boleh dikatakan berpatutan bagi seisi keluarga seramai enam orang sekurang-kurangnya kita mesti ada RM3,000 sebulan barulah ada kelegaan sedikit tetapi kalau setelah ditolak bayaran ansuran bulanan untuk rumah sudah mencecah RM1,500 apalah yang tinggal kalau sekiranya gaji hanya setakat RM2,500.

Itu tidak termasuk bayaran ansuran kereta dan perbelanjaan sekolah anak-anak yang masih kecil lagi.

Tambah lagi bayaran ansuran untuk rumah sahaja perlu ambil masa selama 25 tahun ataupun 30 tahun untuk diberes.

Pekerja di negara ini tidak boleh lagi diberikan gaji RM1,000 ataupun RM2,000 sebulan tetapi mesti sekurang-kurangnya RM5,000 seorang untuk pastikan rakyat mendapat kehidupan yang mampu untuk menanggung sebuah keluarga yang sederhana.

Kita kena rangkakan dari sekarang bagaimana dan macam mana untuk mengatasi masalah ke­wangan setiap keluarga terutama mereka yang makan gaji.

Untuk menjadi sebuah negara maju, kebajikan rakyat mesti diambil kira terutama sekali tentang pendapatan mereka dan pastikan apabila negara sudah maju dan makmur, rakyat mesti juga ikut seiring dan sekata dengan kemajuan negara tersebut dan bukannya negara menjadi maju tetapi rakyat ketinggalan jauh kebelakang.

Kita kena terima hakikat bahawa kesempurnaan kehidupan sesebuah keluarga adalah bergantung sejauh mana ketua keluarga itu mampu membina dan membentuk dengan mempunyai aset untuk berdikari.

Persepsi dan Fitnah dalam Politik yang kian sebati


HAKIKAT politik di negara kita hari ini adalah politik benci membenci. Kebencian ditimbulkan untuk menjatuhkan lawan. Persepsi diciptaagar satu pihak membenci pihak lain.

Dalam sejarah Islam, hal seumpama ini telah lama berlaku. Syaitan adalah makhluk pertama yang memulakan sejarah persepsi, apabila ALLAH SWT memerintahkannya untuk sujud kepada Adam AS, syaitan berkata, “Engkau ciptakan aku daripada api sedangkan Engkau ciptakan Adam daripada tanah.” Persepsi ini lahir daripada syaitan sendiri.

Dalam peristiwa pergaduhan dua anak Adam, terhasil daripada persepsi. Pembunuhan pertama di atas muka bumi, di mana si abang membunuh adiknya juga lahir daripada persepsi yang salah, apabila si abang melihat seolah-olah bapanya, Nabi Adam AS berlaku tidak adil apabila memberikan adik perempuannya kepada adik lelakinya.

Persepsi bawa perpecahan

Persepsi pada zaman Nabi Nuh AS yang ALLAH SWT beritakan di dalam al-Quran, apabila dakwah Nabi Nuh AS sendiri ditolak oleh anaknya dan kaum keluarganya. Anak Nabi Nuh AS berpersepsi buruk dan menganggap ayahnya gila, kerana membina sebuah bahtera dalam keadaan tiada hujan, banjir, laut, pantai, mahupun sungai.

Zaman Nabi Ibrahim AS apabila Baginda memusnahkan satu berhala besar pada ketika itu, mereka berpersepsi negatif terhadap Nabi Ibrahim AS, lalu Baginda AS berkata kepada mereka: "Tanyakanlah kepada berhala-berhala yang kamu sembah; adakah ia mampu berkata- kata, adakah ia mampu memaklumkan siapakah yang memusnahkannya? Berhala itu sendiri tidak mampu menolong dirinya."

Begitulah sejarah persepsi ini sangat banyak ALLAH nukilkan di dalam al-Quran al-Karim. Cuma apa yang ingin kita bincangkan di sini, bagaimana sikap kita berdepan dengan persepsi?

Kita sebagai pengamal media sosial, menulis di alam maya dan memberikan pendapat dan pandangan. Kita tidak mahu pandangan dan pendapat kita itu membentuk suasana membenci sesama Muslim, membenci sesama saudara, membenci sesama rakyat Malaysia.

Saya ingin memberi contoh untuk kita lihat bagaimana persepsi itu timbul. Kalau kita lihat, banyak isu yang berlaku dalam negara ini. Apabila berlaku sesuatu isu, dukacitanya sebahagian agamawan dan ilmuwan melontarkan persepsi untuk membangkitkan kemarahan rakyat tanpa menganalisis dan tanpa mengkaji.

Hal ini kemudian dipetik oleh golongan yang tidak menganalisis dan tidak mengkaji lalu terus menyebarkannya. Impak dan kesannya, fitnah pasti akan tersebar. Apabila pihak kerajaan telah menjawab dan menjelaskan hal yang sebenar, kritikan terus dilontarkan, persepsi terus dilontarkan.

Kebanyakan masyarakat tidak meneliti sesuatu isu. Dia mendapat apa-apa berita dia langsung menyebarkan. Ini khususnya bagi golongan muda, antara umur 20-40 tahun, yang mana kalau dilihat dalam analisis, 82 peratus daripada mereka menggunakan media sosial untuk komunikasi dan mendapatkan berita dan maklumat.

Maka menjadi tugas kita, bukan tugas untuk menjadi benteng kepada kezaliman, atau benteng kepada kesalahan, tetapi tugas untuk memperbetulkan keadaan, memperbaiki keadaan. Ini sikap agama, sikap yang dibawa Nabi Muhammad SAW.

Cara berdepan persepsi


Pada zaman Nabi Muhammad SAW, pernah berlaku fitnah berat apabila dilontarkan persepsi seperti isteri Nabi Muhammad SAW yang paling dicintai, Aisyah RA berzina dengan sahabat Baginda.

Cerita yang kita semua maklumi, Aisyah RA tertinggal di belakang rombongan dan dilihat pulang bersama dengan sahabat Nabi SAW daripada padang pasir. Ini kerana Aisyah mencari rantainya yang jatuh sehingga tidak sedar rombongan telah berangkat.

Apabila sampai golongan munafiqun Madinah, mereka menyebarkan persepsi yang boleh jadi Aisyah melakukan sesuatu yang tidak elok. Persepsi itu tersebar dan akhirnya menyebabkan keluar kenyataan Aisyah berzina.

Apa tindakan Nabi Muhammad SAW yang perlu dijadikan contoh? Adakah Baginda SAW melatah? Adakah Nabi Muhammad SAW melakukan tindakan yang tidak sewajarnya seperti mengamuk? Tidak. Baginda SAW menanti wahyu, kerana wahyu adalah kebenaran yang pasti.

Simboliknya di sini, selama mana hal itu tidak pasti, jangan bercakap atau bertindak. Selama mana hal tersebut tidak ada bukti yang kukuh, jangan mengulas atau menyebarkan. Ini nasihat yang kita berikan kepada semua pengamal media sosial.

Juga peristiwa Sa’ad bin Abi Waqqash yang diriwayatkan dalam hadis sahih riwayat Imam Al-Bukhari. Pada zaman pemerintahan Umar bin Al-Khattab RA, Saad bin Abi Waqqas dilantik menjadi gabenor di Syam.

Ada kalangan rakyat di bawah pimpinannya menuduh beliau dengan beberapa tuduhan; solatnya tidak bagus, melakukan kezaliman, tidak adil, tidak layak menjadi pemimpin.

Hal ini tersebar dan sampai ke telinga Umar bin Al-Khatthab RA yang ketika itu menjadi khalifah di Madinah. Umar bin Al-Khattab turun pergi bertemu dengan Saad bin Abi Waqqas, bertanya beliau sendiri untuk memastikan berita itu benar atau tidak.

Umar tidak hanya terima penjelasan daripada Saad sahaja. Dia mengajak Saad pergi dari masjid ke masjid seluruh Syam bertanya kepada seluruh ahli kariah, benarkah tuduhan-tuduhan yang dilemparkan ke atas Saad itu.

Semua ahli kariah tidak ada yang mengiyakan tuduhan tersebut, melainkan hanya di sebuah masjid, bangun seorang lelaki dan mengatakan tuduhan yang tidak baik ke atas Saad. Apa perkataan Saad bin Abi Waqqash? Beliau berdoa, “Ya ALLAH, sekiranya orang ini berdusta, panjangkanlah umurnya, dan panjangkanlah kefaqiran, dan timpakanlah bala fitnah ke atasnya.”

Setelah beberapa tempoh yang panjang, orang bertemu dengan lelaki ini dalam keadaan usianya cukup tua, dalam kefakiran yang sangat teruk, duduk di tepi jalan, dan apabila wanita-wanita lalu, dia meraba wanita tersebut. Apabila orang bertanya, dia mengatakan “Aku terkena doa Saad bin Abi Waqqas. (Riwayat Al-Bukhari)

Maka sebab itu, kita hendaklah berhati-hati dengan persepsi, kerana tidak mustahil orang akan percaya kepada persepsi tersebut, dan ingatlah doa Saad bin Abi Waqqas, doa orang yang dituduh, doa orang yang dizalimi.

Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Takutilah kamu terhadap doa orang yang dizalimi. Doanya akan naik kepada ALLAH bagaikan percikan api.” (Sahih. Riwayat Al-Hakim)

Oleh itu, apabila ada orang yang cuba sebar persepsi, tanya kepadanya adakah dia pasti, adakah dia memiliki bukti? Nabi Muhammad SAW bersabda: “Bukti itu adalah (wajib) atas orang yang mendakwa (menuduh)” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Demikian Islam secara khususnya menggariskan kepada kita, apabila datang sesuatu isu atau dakwaan, kita perlukan bukti terlebih dahulu.

Jika tidak pasti, maka prinsip dan sikap kita adalah kembali kepada firman ALLAH yang bermaksud: “Jangan kamu berpendirian dengan sesuatu yang kamu tidak ada pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semua itu akan dipertanggungjawabkan.” (Surah Al-Isra: 36)

Orang Islam percaya akan ada hari perhitungan dan pembalasan, dihitung segala amal perbuatan manusia. Sebab itu banyak ayat al-Quran dan hadis, dihubungkan iman kepada ALLAH dengan iman kepada hari akhirat.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa beriman kepada ALLAH dan hari akhirat, maka katakanlah perkataan yang baik ataupun diamlah.” (Bukhari dan Muslim)

Wednesday 12 March 2014

#MH370 Hilang: Guna Khidmat Bomoh – Kenyataan Media JAKIM

Photo: #DOAUTKMH370

PUTRAJAYA – Berikutan liputan meluas dilaman media massa dan media sosial berkaitan penggunaan khidmat bomoh baru-baru ini dalam usaha mencari pesawat MAS Boeing 777-200ER MH370 yang dilaporkan hilang pada Sabtu, 2.41 pagi, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengeluarkan satu kenyataan media hari ini.
Kenyataan media tersebut dikeluarkan oleh Ketua Pengarahnya, Dato’ Haji Othman Mustapha, berkenaan penggunaan khidmat bomoh dan perkara yang bertentangan syarak dalam usaha pencarian pesawat MH370.
Berikut kenyataan media tersebut;
Terlebih dahulu marilah sama-sama kita menginsafi bahawa sesungguhnya kekuasaan ALLAH meliputi semua ciptaanNya.
Apabila Allah menghendaki sesuatu, maka Dia hanya memerintahkannya sahaja, begitulah hebatnya kekuasaan ALLAH SWT.
Sebagai manusia yang diciptakan olehNya, Dia menguji kita dengan pelbagai ujian demi untuk kesempurnaan manusia itu sendiri.
Allah tidak akan menguji manusia di luar kemampuannya.
DIA menguji kita dengan pelbagai dugaan dalam taraf kemampuan manusia dan setelah disediakan dengan segala alat kelengkapan pada diri manusia itu sendiri.
JAKIM menyelar usaha pihak-pihak yang mendapatkan khidmat bomoh dalam usaha pencarian pesawat MH370 yang secara jelas adalah bertentangan dengan Islam.
Hukum mengamalkan pengubatan alternatif atau kaedah perbomohan adalah harus di dalam Islam namun mestilah tidak bertentangan dengan syarak.
Jakim telah terlebih dahulu mengeluarkan Garis Panduan Perbomohan Menurut Islam untuk diteliti dan difahami oleh masyarakat dan ia boleh diakses melalui laman web Jakim di www.islam.gov.my.
Walaupun kita amat sedih dengan ujian yang sedang menimpa kita.
Tatkala pelbagai usaha yang telah kita lakukan oleh pihak berkuasa dan dengan pelbagai jenis teknologi dan aset sama ada dari negara kita dan dari negara-negara luar yang sudi menghulurkan tangan, kita masih menemui jalan buntu tanpa sebarang petunjuk dalam tempoh 3 hari ini.
Namun kita tidak boleh berputus asa dan wajib terus memohon pertolongan Allah swt.
Dalam satu Mesyuarat panel Kajian Akidah Jakim pada 22 hingga 23 November 2004 telah memutuskan bahawa rawatan perbomohan Ibrahim Mat Zin adalah bercanggah dengan aqidah Islam kerana mengandungi unsur-unsur syirik, khurafat serta penipuan.
Jika dilihat dari sudut alat-alat yang digunakan beliau pula menggambarkan bahawa raja bomoh ini menggunakan unsur khurafat dan tahyul yang ditolak dalam Islam.
Panel menjelaskan bahawa Islam adalah saintifik dan menolak segala perbuatan tahyul dan khurafat.
Sehubungan dengan itu, saya mengingatkan semua msyarakat khasnya umat Islam agar tidak terpengaruh dan/atau mengamalkan upcara perbomohan yang jelas bertentangan dengan Islam.
Ia bukan sahaja satu usaha yang sia-sia malah boleh mengundang kemurkaan Allah swt.
Umat islam harus menyakini bahawa ALLAH swt adalah sebaik-baik tempat bergantung dan bertawakkal.
Setelah segala usaha pencarian dengan upaya manusia melalui ilmu sains, kepakaran dan teknologi sedang giat dijalankan maka kita sebagai hamba Allah harus terus berdoa bermohon kepada Allah yang maha Kuasa.
Saya yakin kita akan berjaya temui petunjuk terhadap misteri kehilangan pesawat ini atas izinNya jua.

KELAB PENYOKONG POLIS

GELOBANG ANAK MUDA