Saturday 24 January 2015

Kisah Disebalik Tun Abdul Rahman, Seorang Patriot Bangsa dan Negara


“BAPAK, nama datuk ialah Wan Ya’kub. Kenapa gelaran ‘Wan’ yang ada pada nama datuk tidak ada dan bukankah nama bapak sepatutnya Wan Abdul Rahman?” Soalan ini saya ajukan ketika umur saya awal 20-an.

Ayah saya memandang tepat ke mata dan berkata, “Wan bukan sebarang gelaran tetapi ia adalah gelaran untuk keluarga kita di Sarawak yang berketurunan Nabi Muhammad SAW.

Gelaran yang mulia tetapi datuk kamu adalah seorang pengajar al-Quran. Dialah yang memulakan budaya tidak menggunakan gelaran ‘Wan’ lagi kerana datuk kamu mahu generasi yang akan datang faham bahawa amalan kita bergantung kepada usaha diri sendiri dan bukan berdasarkan keturunan. Bapak meneruskan wasiat ini."

Benih dakwah dan sifat zuhud sudah ditanam dan disemai dalam roh ayah saya sejak kecil lagi oleh datuk saya, Wan Ya’kub. Jantung kehidupan dan kemuliaannya adalah al-Quran, bukan keturunan mahupun darjat kebesaran dunia.

Maka, setelah menjadi Ketua Menteri Sarawak, ayah saya menggunakan pengaruh dan kuasa politik yang ALLAH SWT berikan untuk menaikkan taraf para pembela al-Quran.

Zaman 60-an di Sarawak menunjukkan graduan-graduan agama dari universiti Islam seperti Universiti al-Azhar dianggap sebagai kelas kedua atau no class! Gaji dan status mereka berbeza dengan graduan-graduan dari universiti Barat. Pejabat Agama tiada rupa pejabat.

Hanya dua bilik kecil sahaja dan sebuah tandas, warisan kolonialis Barat. Tun Rahman berjaya menaikkan status graduan Universiti al-Azhar sehingga sama tarafnya dengan graduan Universiti Oxford. Pejabat Agama pula akhirnya mempunyai bangunannya sendiri.



Bahasa Malaysia juga dianggap sebagai second class. Penggunaannya, hanya sekadar untuk berbahasa jiwang-jiwang dan bukan bahasa pentadbiran negara apatah lagi bahasa ilmu.

Setelah Tunku melantik ayah saya menjadi Menteri Pelajaran, bahasa Malaysia menjadi bahasa wajib lulus di semua sekolah. Surat-surat rasmi untuk pihak kerajaan yang tidak ditulis dalam bahasa Malaysia hendaklah dimasukkan ke bakul sampah! Tun Rahman juga mengasaskan UKM di mana bahasa Malaysia menjadi bahasa pengantar kepada semua ilmu.

Rakyat Malaysia yang tidak ambil peduli untuk belajar bahasa Kebangsaan sebenarnya dianggap tidak cintakan negara.

Komunikasi lisan adalah sebahagian aspek yang penting dalam dakwah, bermula dengan taaruf (saling kenal-mengenal). Kalau rakyat tidak bersatu hati dalam satu bahasa, bagaimana mungkin bertaaruf antara satu sama lain? Sedangkan dialek-dialek al-Quran yang lain dibakar pada zaman Khalifah Uthman Ibn Affan sehingga dialek Quraysh sahaja yang tinggal demi untuk menyatukan umat! Bukankah perjuangan penyatuan atas satu bahasa dalam satu negara itu juga dakwah?

Dakwah bukan sekadar mengislamkan tetapi juga mengajak manusia ke jalan ALLAH SWT. Ajakan kepada keharmonian antara rakyat berbilang bangsa juga adalah ajakan ke jalan ALLAH SWT.

Maka, Tun Rahman bukan sekadar pejuang bahasa Malaysia tetapi beliau mampu berbahasa Iban dan Cina. Bahkan, ayah saya berkahwin dengan ibu saya, seorang Cina!

Bila bersama dengan ayah saya, beliau membuat saya berasa seperti saya bersama dengan seorang pejuang bahasa Malaysia yang tegas tetapi pada masa yang sama, cara beliau membuat saya berasa bahawa beliau memuliakan bahasa-bahasa yang lain.

Ayah saya begitu fasih berbahasa Inggeris sehingga tokoh-tokoh Barat seperti Martin Lings, Gai Eaton, Yusuf Islam, Muhammad Asad, Dr. Zaki Badawi menziarahi beliau untuk berbincang perkara-perkara ilmiah dan perihal dakwah tahap yang tinggi.

Muhammad Asad, seorang bekas Yahudi intelektual yang telah memeluk Islam pernah menyebut inspirasi Tun Rahman kepadanya dalam sebuah buku penulisannya tentang politik Islam.

Kadang-kadang saya terfikir bagaimana seorang anak nelayan seperti ayah saya mampu berkarisma internasional dan pada masa sama begitu tegas memperjuangkan isu yang kononnya lokal iaitu bahasa, agama Islam, mahir tajwid, taranum dan sering menyampaikan khutbah Jumaat ketika menjadi Ketua Menteri? Bila di Sarawak, ayah saya akan membincangkan perihal ilmiah di Surau Sri
Bahagia seperti isu hukum-hakam agama yang mungkin kita anggap remeh seperti hukum talkin pada si mati.

Terlalu banyak strategi dakwah yang telah diusahakan oleh beliau seperti mengasaskan Petronas, Yayasan Sarawak, Bina (Hikmah), Maahad Tahfiz dan lain-lain. Semua dibuat untuk melahirkan khairu ummah, iaitu umat yang mampu berdiri atas kaki sendiri, bukan bergantung pada keturunan.

Saya akan menulis strategi-strategi ini secara berperingkat di Sinar Harian. Bagi ayah, Petronas bukan sekadar sebuah syarikat minyak tetapi umat Islam patut berdikari dan berdiri atas kaki sendiri dengan menggunakan sumber-sumber yang ALLAH SWT telah kurniakan.

Dakwah kepada sektor korporat atau elit lebih condong melihat kepada sejauh mana kemampuan umat dalam sektor ekonomi.

Yayasan Sarawak ditubuhkan kerana wawasan ilmu perlu dibangunkan di kalangan rakyat Sarawak. Ramai rakyat Sarawak dihantar untuk belajar ke luar negara untuk membuka mata mereka tentang keluasan bumi ALLAH SWT.

Bina atau sekarang dikenali sebagai Hikmah ditubuhkan untuk menjaga maslahat rakyat umum tanpa mengambil kira jenis agama. Klinik bergerak Bina diamanahkan untuk bergerak dari satu kampung ke satu kampung. Islam agama kesejahteraan.

Hasilnya banyak kampung berjaya diislamkan keseluruhannya. Untuk kesinambungan tarbiah Islam, masjid dibina dan ustaz-ustaz dihantar ke kampung yang baru diislamkan. Pegawai-pegawai dan pengarah-pengarah jabatan kerajaan dihantar setiap minggu untuk ditarbiahkan juga setiap malam Jumaat kerana mereka memegang amanah rakyat.

Ketokohan Tun Rahman yang paling menyentuh hati adalah terletak pada peribadinya. Sahabatnya, Hamka pernah menulis bahawa empat ekor lembu yang sama beratnya dan sama warnanya adalah sama harganya. Akan tetapi empat orang manusia yang sama beratnya dan sama bangsanya tidak sama harganya kerana harga manusia terletak pada peribadinya.

Ustaz Fathi, bekas Setiausaha Kehormat Bina, masih ingat bagaimana Tun Rahman sentiasa memimpin tangannya sampai ke kereta setelah menjemputnya untuk mengajar di Surau Sri Bahagia.

Haji Ayub, bekas paderi yang disyahadahkan oleh Tun Rahman pernah memuji jiwa rakyat Tun Rahman yang sanggup memberhentikan kereta apabila nampak beliau dan keluar dari kereta untuk mempelawa beliau yang sedang berjalan kaki untuk menumpang kereta VIP beliau semasa Tun masih Ketua Menteri.

Peribadinya yang paling menonjol adalah tidak menyimpan dendam. Tiada musuh politik dalam dakwah. Ayah tetap melawat mereka yang kononnya ‘musuh politik’ semasa mereka sakit di hospital.

Pada ulang tahunnya yang ke-80, Tun Rahman dan anak saudaranya, Taib Mahmud saling bermaaf-maafan. Hasilnya, Maahad Tahfiz Tun Rahman ditubuhkan dan menjadi lambang harmoni, dakwah serta peribadi yang agung.

Dakwah adalah lisanul hal. Bukan hanya pandai bercakap di pentas.

Dengan peribadi inilah, Tun Rahman mencatat sejarah apabila berjaya mengadakan perjanjian damai antara kerajaan dan komunis Sarawak tanpa pertumpahan darah. “Bagaimana Bapak dapat berbaik dengan Ketua Komunis Sarawak, Bong Kee Chok?” Saya bertanya.

“Bapak ajak beliau makan dulu sebelum berbincang!” Bapak tersenyum. Beliau memang pemurah dengan senyuman.

“Selepas kenyang makan, bapak tanya adakah rakyat yang sokong komunis itu cukup makan? Kalau tak cukup, bapak sediakan peluang pekerjaan yang cukup dan bagi tanah yang cukup supaya semua cukup makan!”

Bong Kee Chok kini menjadi usahawan yang sangat berjaya dan rakyat tidak lagi menyokong komunis kerana sudah diberi tanah untuk menyara keluarga.

Hidup Tun adalah dakwah dan wafatnya juga adalah dakwah. Ayah saya telah berwasiat agar tidak ditalkinkan jenazah beliau. Sebaliknya hanya diberi tazkirah tentang makna kehidupan dan kematian pada hari pengebumiannya. Saya teringat pesanan ayah, “Talkin maknanya mengajar. Ajarlah yang hidup, bukan yang mati. Belajarlah al-Quran semasa masih bernyawa, jangan tunggu setelah mati baru minta imam ajarkan!”

Hampir sebulan sebelum ayah saya meninggal, tiba-tiba ayah melambaikan tangan memanggil saya. Penyakit Alzheimernya sudah sampai tahap kritikal dan ditempatkan di ICU Pusat Perubatan Normah. Ayah sudah tidak ingat lagi.

Saya memegang tangannya yang hanya tinggal tulang dan dibaluti kulit. Beliau memandang tepat pada mata saya, dan saya terkejut sangat kerana ayah membaca seluruh Surah al-Fatihah walaupun dalam keadaan lemah tidak bermaya.

Adakah ALLAH SWT mengizinkan ayah saya untuk mengingat kembali Surah al-Fatihah pada saat kritikal ini sebagai nasihat yang terakhir kepada saya dan umat? Peristiwa ini merupakan kali terakhir ayah saya “bercakap” dengan saya.

“Siapakah seorang Muslim sejati?” ayah bertanya untuk mencabar saya berfikir secara kritis semasa saya baru bersungguh-sungguh belajar Islam pada umur 21 tahun. Saya terus menjawab dengan kiasu, “Muslim yang sejati adalah yang memperjuangkan penubuhan Negara Islam!”

Beliau senyum sinis dan berkata, “Muslim yang sejati berpegang pada ini: INNA SOLAATI WA NUSUKI WA MAHYAAYA WA MAMAATI LILLAAHI ROBBIL ‘AALAMIIN

“Bapak, apa maknanya? Saya belum belajar bahasa Arab.” Ayah menjawab, “Carilah sendiri! Jangan berhenti belajar.” Doakan yang terbaik untuk Tun.

-Penulis Abdul Naser Tun Abdul Rahman, Tokoh pendakwah Perak.
-Sinar Harian.

Saturday 17 January 2015

Gergaji Elektrik Membelah Dada Mahathir.


Gergaji Elektrik Membelah Dada Mahathir.

Tun Mahathir dikerjakan ke Hospital Besar Kuala Lumpur pada malam 17 Januari 1989 akibat serangan jantung yang serius. Seluruh ahli keluarga Tun Mahathir, termasuk Timbalan Perdana Menteri Tun Ghafar Baba turut dipanggil ke Hospital. Datuk Dr. Robaayah Zambahari yang bertanggungjawab ketika itu mengesahkan Tun Mahathir diserang sakit jantung dan memerlukan pembedahan dengan segera. Tun Mahathir diberi kata dua, samada mendapat rawatan di Kuala Lumpur atau di Amerika.

Tun Mahathir membuat keputusan untuk memilih tanah air sendiri, katanya beliau harus memberikan contoh kepada orang lain dengan memberi kepercayaan kepada perkhidmatan perubatan negara kita. Kerana sebelum ini, orang kenamaan semuanya berubat di luar negara jelas dinyatakan di dalam memoir beliau.

Tun Mahathir memutuskan Dr.Yahya dan Dr.Rozali anak tempatan diberi kepercayaan untuk membedah dada beliau. Cadangan daripada Doktor asing untuk Tun Mahathir mendapat rawatan luar negara terpaksa akur kerana keputusan telah dibuat dan muktamad.

Malah tawaran daripada Lee Kuan Yew Perdana Menteri Singapura ketika itu untuk menghantar pasukan pakar bedah terbaik daripada negaranya, berserta Doktor yang beliau syorkan sebagai terbaik dan berpengalaman menjalankan lebih 1,000 pembedahan jantung juga tidak mampu mengubah keputusan Tun Mahathir.

“Saya bertanya Dr Yahya bagaimana beliau dan pasukannya akan membelah dada saya. Katanya, mereka akan menggunakan gergaji elektrik.

"Terima kasih banyak-banyak," jawab saya, sambil menambah:

"Tak perlulah saya tahu lebih lanjut".

Petikan Temubual Tun Mahathir bersama Dr.Yahya di Halaman 676, Bab 43 Masalah Jantung. Sumber daripada Buku DOKTOR UMUM Memoir Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketika menjalani pembedahan di Hospital Besar Kuala Lumpur, Tun Mahathir menyedari dewan bedah yang digunakan di hospital berkenaan tidak cukup lengkap, selain banyak kekurangan untuk pembedahan, bahkan tidak sesuai untuk digunakan pembedahan jantung.

Sejarah IJN bermula dikenali sebagai Bahagian Kardiologi di Jabatan Perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada tahun 1977. Pada tahun 1982, ia beroperasi sebagai Klinik Kardiologi dan Klinik Pembedahan Jantung HKL. Dahulunya pusat rawatan jantung berpusat di Hospital Besar, komen Tun Mahathir dewan bedah untuk jantung perlu ruang yang lebih luas, bahkan tidak bersesuaian untuk pembedahan jantung yang rumit.

Pada halaman 678, Bab yang sama, Tun Mahathir memberitahu sebaik sahaja beliau sembuh, hasrat bagi menambaik kekurangan yang ada telah disuarakan sekumpulan doktor kepada beliau.

Doktor-doktor berkenaan memberitahu Tun Mahathir daripada melengkapkan dewan bedah adalah lebih baik dicadangan untuk mewujudkan sebuah Institut Jantung Negara, khusus kepada penyakit jantung sahaja.

Idea berkenaan dipersetujui oleh Tun Mahathir dan memutuskan bahawa kerajaan perlu memberi peruntukan bagi merealisasikan, Institut Jantung Negara untuk ditubuhkan.

INSTITUT MELAKAR KECERMERLANGAN

Pada tahun 1992 barulah IJN ditubuhkan di bawah Kementerian Kewangan dan memiliki bangunan sendiri di ibu negara. Selama 18 tahun penubuhannya, IJN telah merawat lebih dua juta pesakit tempatan dan antarabangsa.

Statistik IJN menunjukkan sejumlah 3,183 kes pembedahan pintasan jantung (koronari) dilakukan di institut itu antara tahun 2009 hingga 2011. Ini diikuti pembedahan injap jantung melibatkan 1,330 kes manakala 2,556 kes pembedahan jantung berlubang.

Dalam tempoh yang sama sebanyak 7,785 pesakit mendapatkan rawatan saluran darah jantung tersumbat, masalah denyutan jantung (2,383) dan jantung berlubang (296).

Setakat ini, lebih 18 orang telah menjalani pembedahan pemindahan jantung di IJN sejak tahun 1997 manakala tiga pemindahan paru-paru dilakukan sejak tahun 2005.

Antara kes yang mendapat perhatian rakyat Malaysia ialah pelajar sekolah dari Batu Pahat, Johor, Tee Hui Yee, 19, yang kini menjalani kehidupan normal selepas menerima jantung sebenar pada tahun 2006. Sebelum itu, Hui Yee memakai jantung mekanikal yang hanya boleh bertahan selama dua tahun.

Pembedahan pemindahan jantung pertama ke atas pesakit R. Sathrugnan pada tahun 1997.

Manakala Muhammad Fikri Nor Azmi ialah rakyat negara ini yang pertama menerima jantung mekanikal sebelum menjalani pembedahan pemindahan jantung sebenar pada tahun 2005.

Info & Sumber-.

*Sumber dipetik dan diubahsuai daripada DOKTOR UMUM Memoir Tun Dr Mahathir Mohamad, Halaman 672, Bab 43 Masalah Jantung.

*Maklumat Tambahan, dipetik dan diubahsuai daripada artikel Rencana “Doktor Bukan Tuhan” siaran Akhbar Kosmo Online

Peristiwa Charlie Hebdo Percayakah Kamu Ini Juga Konspirasi Jahat?


MAJALAH KONTROVERSI, MENCABAR DENGAN PROVOKASI, KATA MEREKA INI DEMOKRASI.

Kota Paris Berduka.

Malaysia antara negara tidak terkecuali mengutuk serangan Terrorist keatas syarikat penerbitan majalah kontroversi Perancis, Charlie Hebdo yang diserang tiga lelaki bersenjata pada Rabu lalu yang meragut 12 nyawa.

Serangan tidak berperikemanusiaan itu amat mengejutkan dunia kewartawanan, rentetan daripada itu kebanyakan laporan berita daripada agensi media antrabangsa dilihat mengulas cerita pelbagai cara untuk menzahirkan rasa sedih mereka atas insiden yang berlaku.

Selain pihak media, berkongsi rasa sedih bersama keluarga mangsa ialah beribu-ribu orang awam turut sama hadir berkumpul di ibu kota Paris untuk solidariti bagi mengecam serangan tersebut.

BBC dalam laporannya menyatakan beberapa orang awam turut dilaporkan cedera ekoran dilanggar oleh kereta yang dipandu tiga lelaki bersenjata sebelum mereka menyerbu masuk ke syarikat penerbitan Charlie Hebdo.

Menurut agensi berita AFP, mengesahkan saksi di tempat kejadian melihat dua orang lelaki yang menutup kepala memasuki bangunan berkenaan dengan senjatapi Kalashnikov dan pelancar roket kemudian melepaskan tembakan.

Rakaman amatur yang tersebar luas di internet juga menunjukan seorang lelaki bertopeng berpakaian serba hitam bersenjatakan raifal Kalasnikov bertindak kejam tanpa belas ihsan menembak mati seorang anggota Polis beragama Islam, Ahmed, 42 tahun warganegara Perancis. Sumber Dailymail.co.uk, menyatakan Ahmed meninggalkan dua orang anak dan seorang balu.

Ekoran serangan Terorist berkenaan di Paris, AFP melaporkan kawalan keselamatan keatas syarikat akhbar Denmark Jyllands-Posten dipertingkat bagi mengelak sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.

Syarikat akhbar Denmark berkenaan pernah mencetus kontroversi apabila menerbitkan kartun menghina Nabi Muhammad SAW pada 2005. Manakala syarikat penerbitan majalah Perancis, Charlie Hebdo mengulang cetak karikatur berkenaan pada 2011.

Presiden Perancis, Francois Hollande mengumumkan hari ini sebagai hari berkabung seluruh negara sebagai tanda bersedih atas kematian 12 orang dalam serangan bersenjata terhadap pejabat akhbar mingguan satira, Charlie Hebdo.

Hanya lima kali sejak tempoh 50 tahun lalu Perancis mengisytiharkan hari berkabung di negara itu.

"Perpaduan adalah senjata paling terbaik bagi kita," kata Hollande dalam siaran televisyen bagi mengumumkan perkara itu.

Beliau juga mengarahkan agar semua bendera negara dikibarkan separuh tiang selama tiga hari.

"Tiada apa yang boleh memecah-belahkan kita, tiada apa yang boleh pisahkan kita. Kebebasan sentiasa lebih kuat daripada kekejaman," katanya yang menyifatkan serangan itu sebagai tindakan tidak bertamadun.

Sebelum itu, Masjid dan surau menjadi sasaran pihak yang tidak berpuashati dengan kejadian serangan bersenjata terhadap syarikat akhbar, semalam.

Menurut laporan AFP, tiga bom dilontar ke sebuah masjid di bandar Le Mans, barat Paris. “Sebuah lubang kesan dari peluru juga ditemui.

Beberapa tembakan juga disasarkan ke sebuah dewan sembahyang, tidak lama selepas sembahyang Asar,” dipetik laporan itu.

Letupan berlaku di sebuah kedai kebab berdekatan dengan sebuah masjid di sebuah bandar di Perancis.

“NAK SAMAN, SAMANLAH, KAMI PERTAHAN HAK KAMI,
INI DEMOKRASI” – WAKIL CHARLIE HEBDO

Syarikat yang ditubuhkan pada 1970 berkenaan popular disebabkan kontroversi dengan kartun dan penulisan keras yang membabitkan ahli politik dan pelbagai agama.

Pada November 2011, pejabat Charlie Hebdo pernah dibakar kerana menerbitkan kartun Nabi Muhammad SAW pada muka depan majalah mereka. Kartun berkenaan menyelitkan lawak sinis mengenai hukuman rotan.

Pada 2012, dunia dikejutkan dengan filem 'Innocent of Muslims' dan Charlie Hebdo mengambil kesempatan tersebut untuk menerbitkan kartun Nabi Muhammad SAW, sekali lagi.

Susulan penerbitan kartun tersebut, sekolah dan kedutaan Amerika dan Perancis ditutup di lebih 20 negara sebagai langkah berjaga-jaga.

Memetik laporan BBC, seorang kakitangan Charlie Hebdo, Laurent Leger mempertahankan majalah tersebut, atas alasan kartun tersebut bukan bertujuan untuk menimbulkan kemarahan.

"Di Perancis, kami ada hak untuk menulis dan melukis," kata Laurent.

"Jika ada yang tersinggung, samanlah kami dan kami akan mempertahan hak kami. Ini demokrasi."

"Tapi jangan baling bom," tambahnya.
Menurut pandangan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sering kali terdapat tindakan Charlie Hebdo tidak menghormati orang Islam dan sering mempersenda Nabi Muhammad SAW melalui lukisan karikatur.

"Apakah perlunya mereka mempermainkan Nabi Muhammad sedangkan mereka tahu ini menyakitkan hati orang Islam. Kita menghormati agama mereka dan mereka mesti menghormati agama kita," sumber dipetik daripada akhbar Sinar Harian Online.

Serangan kali ini merupakan yang terburuk melibatkan agensi kewartawanan dunia pernah direkodkan, berbanding kematian wartawan ketika bertugas di lapangan.

-Artikel ini saya akan sambung kupasannya.


KELAB PENYOKONG POLIS

GELOBANG ANAK MUDA